Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Instagram hadkan ciri tertentu bagi pengguna bawah umur di S’pura 

Jan 21, 2025 | 5:25 PM
Pengguna bawah 16 tahun perlu mendapat kelulusan ibu bapa untuk mengubah tetapan privasi akaun, supaya keselamatan mereka dalam talian lebih terjaga.
Pengguna bawah 16 tahun perlu mendapat kelulusan ibu bapa untuk mengubah tetapan privasi akaun, supaya keselamatan mereka dalam talian lebih terjaga. - Foto META

Mulai 21 Januari, akaun Instagram milik pengguna bawah 18 tahun di Singapura akan mempunyai ciri yang lebih ketat, berikutan tekanan untuk melindungi kanak-kanak dalam talian.

Pengguna yang disyaki bawah umur akan diminta mengesahkan usia mereka dengan menyediakan gambar atau menghantar video swafoto.

Langkah ini, yang bermula di Amerika Syarikat dan Britain pada akhir 2024, bertujuan menghapuskan akaun pengguna yang menipu tentang umur mereka.

Ia dilakukan untuk melindungi kanak-kanak daripada ketagihan, pembulian siber dan kandungan berbahaya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta, Encik Mark Zuckerberg, telah dikritik selepas peguam di Amerika mendakwa Meta membiarkan kanak-kanak ketagih dengan aplikasinya tanpa mengambil langkah mengurangkan risiko tersebut, lapor The Straits Times (ST).

Ciri Akaun Remaja Instagram akan diaktifkan jika pengguna tidak dapat membuktikan umur mereka.

Antara ciri tersebut termasuk akaun yang tidak dapat dilihat oleh golongan awam dan hanya menerima mesej daripada profil yang diikuti.

Kandungan sensitif seperti video pergaduhan dan adegan ganas juga akan disekat daripada akaun remaja.

Cik Tara Hopkins, Pengarah Dasar Awam Global Meta untuk Instagram dan Threads, berkata perkembangan terkini ini, yang sedang diperkenalkan secara berperingkat di Asia, akan mengubah pengalaman aplikasi bagi jutaan pengguna di seluruh dunia.

Langkah ini bertujuan memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa pengalaman dalam talian kanak-kanak lebih selamat dan mengurangkan kebergantungan pada pengisytiharan umur.

Instagram menggunakan teknologi imbasan wajah masa nyata dihasilkan syarikat Yoti, yang dianggap terbaik walaupun tidak sempurna.

Meta juga boleh memeriksa akaun media sosial lain yang terhubung dengan nombor telefon atau emel pengguna.

Syarikat tersebut juga sedang membangunkan teknologi untuk mengesan pengguna yang memberi maklumat umur palsu, dengan menganalisis gambar profil dan pengikut mereka.

Perubahan Instagram ini menggantikan amalan lama yang hanya menerima pengisytiharan umur pengguna.

TikTok juga telah menghapuskan lebih 7.2 juta akaun bawah umur pada 2021.

Cik Hopkins menjelaskan bahawa usaha untuk memantau pembulian siber, kandungan ganas dan bahan berbahaya lain masih diteruskan.

Ibu bapa boleh menghubungkan akaun mereka dengan akaun anak mereka untuk mengubah sekatan dan memperkenalkan ciri baru secara berperingkat.

Pengguna bawah 16 tahun yang cuba ubah ciri privasi perlu mendapat kelulusan ibu bapa dahulu. Remaja antara 16 hingga 18 tahun pula boleh memilih untuk keluar dari sekatan ini.

Remaja yang mengubah umur dalam profil akan diminta mengesahkan umur dengan kad pengenalan atau imbasan umur.

Ibu bapa boleh membuat akaun penyeliaan untuk memantau masa penggunaan Instagram, menetapkan had masa skrin dan menghantar peringatan untuk berehat.

Ibu bapa juga boleh melihat butiran profil individu yang anak mereka hubungi dan yang telah disekat di Instagram.

Ibu bapa boleh tahu siapa yang anak mereka hubungi, tetapi tidak dapat melihat kandungan mesej. Tujuannya adalah untuk memberi maklumat kepada ibu bapa bagi memulakan perbincangan secara bersemuka dengan remaja mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg