Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasar raya di S’pura perlu ‘meriah’ tidak sekadar tempat beli barang keperluan

Tabiat beli barangan runcit kian berubah, pasar raya moden perlu tawarkan lebih daripada setakat diskaun
May 11, 2025 | 5:30 AM
supermarket, pasa raya, runcit
Suasana pasar raya semakin berdaya saing, dengan pemain seperti FairPrice dan Sheng Siong meningkatkan tawaran digital, manakala pembeli yang ingin berjimat cermat mencari barangan bernilai lebih baik, di mana sahaja ia boleh diperoleh dengan mudah. - Foto ST

KAREN TEE

Sebagai seorang milenial yang hampir ketagih kepada kemudahan, saya akui bahawa telefon bimbit sayalah yang banyak membantu dalam pembelian barangan keperluan rumah saya setiap minggu.

Saya membuat pesanan bagi kebanyakan barangan keperluan dapur saya secara dalam talian di wadah digital, RedMart, membeli secara pukal barangan keperluan rumah seperti kertas tandas dan sabun pencuci baju di wadah seperti Lazada atau Shopee semasa promosi jualan dalam talian seperti 5/5 (5 Mei) atau 6/6 (6 Jun), dan sesekali menikmati makanan istimewa seperti strawberi Korea atau sashimi Jepun, dengan membuat pesanan di kedai dalam talian.

Walaupun saya masih melawat pasar raya berdekatan, ia biasanya hanya untuk singgah sebentar bagi mendapatkan barangan keperluan harian seperti telur atau roti segar, apabila diperlukan segera.

Itulah sebabnya, apabila berita tersebar pada Mac bahawa semua cawangan pasar raya Cold Storage dan Giant di Singapura akan dijual kepada syarikat kumpulan runcit Malaysia, Macrovalue, saya tidak terkejut.

Lagipun, ramai di antara kita sudah pun mempelbagaikan tabiat membeli-belah, beralih antara wadah digital dengan kedai fizikal – sesuatu yang pasar raya tradisional masih bergelut untuk membuat penyesuaian.

Secara khusus, DFI Retail Group, yang memiliki dan mengendalikan rangkaian Cold Storage dan Giant, telah menutup cawangan yang tidak menguntungkan sejak beberapa tahun lalu. Operasi pasar raya DFI hanya mula mencatat keuntungan pada 2024, selepas beberapa tahun mengalami kerugian.

Kita sedang melihat suasana pasar raya yang semakin berdaya saing, dengan pemain seperti FairPrice dan Sheng Siong meningkatkan tawaran digital, manakala pembeli yang ingin berjimat cermat mencari barangan bernilai lebih baik, di mana sahaja ia boleh diperoleh dengan mudah.

Wajah baru pembelian barangan runcit

Saya bukan satu-satunya pelanggan yang beralih daripada pembelian barangan secara fizikal di pasar raya, kepada pembelian dalam talian.

Laporan Statista 2024 mengenai kekerapan membeli barangan runcit dalam talian di Singapura mendapati bahawa sebanyak 19 peratus responden membeli barangan runcit secara dalam talian sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Pandemik Covid-19 menjadi mangkin kepada tabiat pembelian barangan runcit dalam talian, dan membuatkan kita terbiasa membuat bayaran di halaman pembayaran (checkout) dari atas sofa sahaja.

Disebabkan terpaksa menetap di rumah, kita mula memesan barangan keperluan harian yang dihantar ke rumah secara berkala, dan sejak itu, kita tidak menoleh ke belakang lagi.

Selain memberikan kemudahan, membeli-belah dalam talian membolehkan pengguna membandingkan harga dengan mudah di pelbagai wadah, mencari dan mengumpul kod diskaun, serta memanfaatkan tawaran pembelian pukal atau jualan kilat yang tidak selalu ditawarkan di kedai fizikal.

Sudah tentu, peralihan ini tidak sama untuk semua, dan ramai pengguna kini turut menerapkan amalan membeli-belah secara fizikal dalam rutin mereka, terutamanya untuk hasil segar dan daging – dengan mereka lebih suka melihat dan menghidu (produk yang diingini).

Tambahan lagi, membeli-belah secara peribadi tidak semestinya berlaku di cawangan FairPrice atau Cold Storage.

Rakyat Singapura sememangnya gemar melakukan perjalanan hujung minggu ke Johor Bahru, dengan mereka juga agak sering singgah ke pasar raya Malaysia untuk mendapatkan tawaran menarik.

Kini, dengan sempadan dibuka semula dan kembali seperti sebelum Covid-19, ramai rakyat Singapura telah menghidupkan semula tabiat popular ini untuk menjamu selera seperti snek dan kuih-muih musim perayaan, atau membeli produk penjagaan diri.

Di kawasan kejiranan pula, pasar basah kini semakin rancak dengan kehadiran para penggemar makanan dan pembeli muda yang ingin tahu sumber sesuatu produk makanan, dan ingin menjalin hubungan lebih peribadi dengan makanan.

Walaupun saya mementingkan kemudahan, saya masih suka melawat pasar basah sekali-sekala kerana ada sesuatu yang menarik tentang mendapatkan cadangan daripada makcik pemilik gerai, atau meminta tip memasak daripada penjual daging.

Walaupun ini masih menjadi tabiat khusus dalam kalangan generasi muda, ia menunjukkan kemungkinan peralihan ke arah cara membeli-belah yang lebih terancang dan berakar umbi dalam masyarakat, yang mungkin sukar ditiru oleh pasar raya, baik secara fizikal mahupun digital.

Trend baru dalam pembelian barangan runcit

Dalam pada itu, wadah lain juga bersaing untuk mendapatkan bahagian masing-masing dalam pasaran runcit. TikTok, yang sudah menjadi tapak permulaan bagi terlalu banyak trend yang menjadi tular, juga telah menimbulkan pelbagai kegemaran sementara terhadap makanan ringan, seperti video ‘mukbang’ (penstriman yang mengetengahkan seseorang makan dalam jumlah yang banyak sambil berinteraksi dengan penonton) berhubung mi segera Korea yang lebih pedas atau penkek souffle Jepun yang sangat gebu.

Kegemaran sementara terhadap makanan ini bukan sekadar menghiburkan, ia sering menyebabkan lonjakan mendadak dalam jualan, terutama apabila digabungkan dengan ciri TikTok Shop yang mendorong pembelian spontan seperti acara beli-belah secara langsung, tawaran kilat dan pilihan “tambah ke troli”.

Terdapat juga pelbagai kumpulan sembang bagi pembelian berkumpulan di Telegram dan WhatsApp – kebanyakannya bermula ketika pandemik – yang kini semakin berkembang.

Hos kumpulan sedemikian mengumpulkan permintaan untuk makanan laut segar, buah-buahan bermusim atau makanan import untuk menawarkan harga kepada pembeli, yang kadangkala lebih murah daripada pasar raya.

Namun, pembelian berkumpulan juga unik kerana ia menawarkan kemudahan dengan unsur penemuan yang menjadikan aktiviti beli-belah lebih menyeronokkan.

Dengan mendapatkan cadangan daripada hos atau orang lain dalam kumpulan sembang, pembeli boleh menemui pelbagai produk menarik yang jarang didapati – daripada pes masakan Thai yang kurang dikenali hingga ke snek buatan sendiri dari Taiwan.

Bagi saya, baru-baru ini saya menemui satu khidmat langganan buah-buahan dan sayur-sayuran organik segar yang turut menghantar kotak misteri mengandungi hasil tani ke depan pintu saya setiap dua minggu.

Pada satu minggu, kotak tersebut mengandungi labu mentega dan terung, dan dua minggu kemudian, ia mengandungi lobak merah dan kubis bunga.

Unsur kejutan ini mendorong saya keluar daripada kebiasaan memasak saya dan menggalak saya mencuba resipi yang biasanya saya tidak fikirkan.

Ia menambahkan keseronokan kepada tugas di rumah yang sering dianggap membosankan, malah memberi saya sesuatu untuk dikongsi di media sosial.

Mungkin inilah yang menjadi tarikan trend pembelian barangan runcit baru ini – rasa keseronokan dan penemuan melalui pengembaraan makanan.

Menarik pelanggan

Inilah dunia pembelian barangan runcit baru yang akan diterokai oleh Macrovalue. Jelas sekali bahawa pembeli yang sudah pun tertekan dengan inflasi dan keadaan tidak menentu di seluruh dunia, akan memerhati harga dengan teliti seperti burung helang (yang melihat dengan tajam).

Malah, ia sudah pun menangani kebimbangan mengenai harga yang meningkat, selepas penjualan tersebut.

Pengasas bersama kumpulan itu, Encik Andrew Lim, berkata bahawa sebahagian strategi kumpulannya ialah mencapai skala ekonomi untuk menawarkan tawaran barangan keperluan rumah yang lebih baik kepada pelanggan.

Pada masa sama, beliau komited untuk meneruskan program pelanggan setia yang menggunakan aplikasi yuu , dan memastikan produk jenama dalaman Meadows terus berada di rak Cold Storage, yang kedua-duanya membantu mengurangkan bil runcit.

Namun, dalam landskap persaingan amat sengit ini, tawaran yang lebih daripada sekadar harga menarik dan tawaran murah diperlukan, untuk menarik orang ramai datang membeli-belah di pasar raya.

Pasar raya mesti berubah daripada sekadar tempat singgah untuk barang keperluan harian, kepada destinasi makanan yang meriah.

Format pasar raya mungkin perlu direka semula – daripada lorong panjang kepada susun atur yang menawarkan paparan bertema, atau barangan ‘grab and go’ (ambil dan beredar).

Sebagai contoh, saya sering tertanya mengapa pasar raya tidak membuat sudut khas untuk memaparkan makanan yang tular, seperti mi segera Korea.

Bayangkan melangkah masuk ke sebuah pasar raya dan menemui sudut “Apa Yang Sedang Tular di TikTok”, lengkap dengan semua bahan yang anda perlukan untuk membuat pasta feta bakar, atau hidangan berasaskan mentega atas papan (butter board) – yang semuanya mudah didapatkan.

Lebih menarik lagi jika ia disertakan kod QR yang dihubungkan ke tutorial video tentang cara menyediakan sajian tersebut.

Pemasaran pintar seperti ini boleh merapatkan jurang antara kandungan (digital) dengan (aktiviti) pembelian. Lagipun, banyak wadah dalam talian sudah pun melakukan perkara serupa, namun pasar raya fizikal mempunyai kelebihan tambahan kerana dapat memberikan pengalaman sentuhan yang menarik kepada pengguna.

Pasar raya wajar berfikir seperti tukang cerita, dengan menyusun barangan (mengikut konsep), dan memberi sebab kepada pelanggan untuk terus berada lebih lama (di pasar raya) daripada yang dirancang. Dan ada pasar raya yang sudah mula bergerak ke arah itu.

Pasar raya Jepun seperti Isetan dan Don Don Donki, yang menyedari populariti makanan Jepun di Singapura, telah menjadikan bahagian hidangan sedia untuk dimakan, sebagai tarikan utama.

Saya sudah sering masuk ke kedai Don Don Donki untuk membeli makanan lazat pada harga berpatutan, semasa dalam perjalanan, tetapi akhirnya tersasar berjalan-jalan di lorong untuk memilih barangan dan snek istimewa lain bagi keperluan rumah saya.

Pasar raya butik atau premium seperti Little Farms, FairPrice Finest dan CS Fresh menawarkan pengalaman seperti sesi mencuba makanan dan demonstrasi memasak. Ini adalah sesuatu yang boleh diperkenalkan semula di pasar raya arus perdana selepas ia terhenti semasa pandemik.

Dan paling penting, perlu diingat bahawa pengguna Singapura, sebagai peminat makanan, memang gemar memanjakan diri sekali-sekala dengan hidangan harian yang istimewa.

Kita suka keju Perancis, pasta Italy dan stik Australia, dan akan berbelanja lebih untuk bahan-bahan premium ini jika kita rasa ia berbaloi.

Jadi, daripada meletakkan bahan premium di sudut yang sukar ditemui, mengapa tidak letakkan bahan ini di bahagian hadapan dengan format yang lebih mudah diakses? Ia boleh diletakkan di bahagian bertema, mempunyai papan tanda yang jelas, atau malah melalui cadangan padanan minuman.

Kita mungkin ingin berjimat, namun kita akan menghargai pengalaman lebih menarik dalam pembelian barangan harian.

Secara peribadi, saya suka sekiranya pasar raya FairPrice di kejiranan saya berminat mencuba pendekatan ini. Bukan semua barangan perlu kelihatan mewah seperti roti sourdough buatan sendiri atau coklat dari sebuah ladang. Namun, sedikit imaginasi akan mendorong saya untuk luangkan lebih masa (dan berbelanja lebih) di pasar raya.

Buat masa ini, saya akan bertukar-tukar antara menggunakan aplikasi beli-belah dan berkunjung ke pasar raya fizikal, sambil mengimbangi antara kemudahan, kos, dengan kegemaran saya terhadap avokado organik mewah.

Penulis menulis mengenai pelbagai isu gaya hidup dari Singapura. Rencana ini kali pertama disiarkan di akhbar The Straits Times.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg