Perkaya kemahiran, latihan untuk luaskan peluang kerja
Majikan tidak lagi lihat pada kelayakan akademik semata-mata
Tidak mudah bagi lulusan politeknik dan universiti baru mencari pekerjaan dalam pasaran pekerjaan yang sengit hari ini.
Bukan sahaja majikan melihat kelulusan akademik tetapi kemahiran dan latihan industri yang baik juga amat dititikberatkan.
Hasil Laporan terbaru Tinjauan Pekerjaan Lulusan Politeknik oleh lima politeknik yang dikeluarkan pada 15 Januari menunjukkan bahawa 54.2 peratus daripada mereka mempunyai pekerjaan tetap sepenuh masa pada 2025.
Ia merosot berbanding 54.6 peratus pada 2024.
Gaji bulanan kasar median meningkat daripada $2,900 pada 2024 kepada $3,000 pada 2025.
Secara keseluruhan, 90 peratus lulusan politeknik berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian atau selepas menyelesaikan perkhidmatan negara (NS) sepenuh masa pada 2025.
Ini berbanding 90.4 peratus pada 2024.
Perangkaan itu dikeluarkan di tengah-tengah kebimbangan dalam kalangan lulusan institusi pengajian tinggi mengenai prospek pekerjaan mereka dalam pasaran pekerjaan yang tidak menentu dan iklim ekonomi yang tidak stabil.
Keadaan pasaran kerja bagi lulusan politeknik atau pun universiti telah berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia mencerminkan peralihan yang lebih luas daripada pengambilan pekerja oleh majikan berdasarkan kelayakan calon semata-mata.
Majikan kini meminta pendedahan latihan industri yang relevan, kemahiran praktikal yang berguna bagi pekerjaan yang dipilih.
Oleh itu, calon pekerja ketika masih di bangku sekolah harus lebih memilih dalam mengikuti latihan industri yang relevan dan luas yang dapat memperkayakan resume mereka.
Kemahiran yang ditimba dalam syarikat-syarikat yang menawarkan latihan industri yang baik akan memberi mereka kelebihan dalam memilih pekerjaan yang ingin mereka ceburi.
Mereka juga harus lebih peka mengenai trend industri yang berubah demi memastikan kemahiran mereka kekal relevan.
Misalnya, sedang banyak syarikat melihat kepentingan analitik data atau kecerdasan buatan (AI) dalam operasi mereka, lulusan universiti atau pun politeknik bolehlah melengkapkan diri mereka dengan kemahiran itu dengan mengikuti kursus yang disediakan.
Selain itu, kemahiran penting seperti komunikasi dan keupayaan bekerja dalam pasukan yang baik juga amat perlu dalam pasaran pekerjaan hari ini.
Calon pekerja yang memerlukan bantuan dalam pencarian kerja boleh menghubungi politeknik atau universiti masing-masing untuk mendapatkan kaunseling kerjaya dan menghadiri pameran kerjaya.
Mereka juga boleh mendapatkan bantuan dari Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) atau Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), serta meneroka Program Pelatih Industri bagi Lepasan Baru (Grit) dan Grit@Gov yang dilancarkan pada Oktober 2025.
Berdasarkan perangkaan Kementerian Tenaga Manusia (MOM), jumlah pekerjaan terus meningkat kepada 39,000 pada September 2025, berbanding 26,000 pada September 2024.
Bagi pekerja muda yang baru mendapat pekerjaan dalam tempoh setahun, ia juga amat penting bagi mereka mendalami pekerjaan itu secukupnya.
Sering pekerja generasi muda mudah bosan dengan apa yang mereka lakukan dan mempunyai tanggapan bahawa mereka sudah pelajarinya semuanya dalam tempoh masa yang singkat.
Hakikatnya, dalam dunia pekerjaan, banyak lagi yang boleh mereka pelajari jika mereka dahagakan ilmu untuk terus memperbaiki diri.
Sikap angkuh hanya memakan diri jika mereka tidak mempunyai kerendahan hati untuk terus memperbaiki tugas mereka.
Contohnya, dalam bidang kewartawanan, ia memakan bertahun lamanya untuk memperbaiki bentuk penulisan yang berbeza seperti penulisan laporan berita dan pandangan.
Justeru jika seseorang ingin mendalami bidang ini, ia tidak boleh dicapai dalam tempoh yang pantas.
Majikan juga akan tertanya jika calon pekerja mempunyai kesungguhan untuk kekal dalam pekerjaan itu jika pekerja kerap menukar pekerjaan dalam tempoh masa yang singkat.
Dalam pasaran pekerjaan hari ini, majikan boleh menunggu lebih lama untuk mencari pekerja berdedikasi yang sesuai.
Oleh itu, pekerja juga harus lebih peka dengan keperluan majikan.
Apabila mendapat pekerjaan yang baik, berusahalah menjadi pekerja contoh yang menaiki tangga kerjaya hasil usaha dan ketekunan sendiri kerana pekerjaan itu adalah amanah yang akan disoal kelak.

