Sebuah jawatankuasa pemerintah baru akan mengkaji semula peraturan, dengan tujuan mengurangkan kerenah atau masalah birokrasi, dan mewujudkan persekitaran yang lebih mesra perniagaan.
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata pada 24 Mei:
“Pemerintah mahu melakukan apa yang kami mampu untuk membantu syarikat kita mengurangkan kos urus niaga dan kawal selia, terutama apabila berurusan dengan pemerintah, memohon lesen, atau memulakan sesuatu idea perniagaan baru dan inovatif.”
Encik Chee berkata demikian dalam satu taklimat menjelang pertemuan dengan anggota Perikatan Untuk Bertindak (AfA) mengenai Daya Saing Perniagaan – satu kerjasama sektor awam dan swasta yang ditubuhkan pada Februari 2024, terdiri daripada 19 wakil daripada pemerintah, industri, persatuan dan dewan perniagaan, serta kesatuan sekerja.
Jawatankuasa semakan antara kementerian baru itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dan dianggotai Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, dan empat lagi menteri iaitu Encik Chee, Encik K. Shanmugam, Encik Tan See Leng dan Encik Desmond Lee.
Encik Chee berkata jawatankuasa tersebut akan berbincang dengan pelbagai kumpulan perniagaan berbeza untuk memahami pelbagai cabaran yang mereka hadapi, lapor The Straits Times (ST).
“Kami akan mendapatkan maklum balas dan cadangan mereka dan berbincang dengan rakan sekerja kami daripada pemerintah untuk melihat bagaimana kami boleh memperbaiki keadaan,” kata beliau.
Encik Chee menarik perhatian bahawa inisiatif seperti AfA mengenai Daya Saing Perniagaan mempunyai tujuan sama, namun jawatankuasa antara kementerian itu akan memberinya “dorongan lebih besar”.
“Kami fikir adalah penting bagi semua kementerian dan agensi pemerintah memulakan usaha semakan peraturan ini untuk melihat bagaimana kami boleh memperbaiki keadaan untuk rakyat dan perniagaan kita,” ujarnya.
Encik Chee juga menyatakan bahawa usaha menyemak peraturan perniagaan akan menjadi “perkara yang diutamakan” oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).
MOT akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam industri pengangkutan darat, laut dan udara untuk mengumpul maklum balas dan menyemak semula peraturan yang ada, katanya.
Beliau memberi satu contoh semakan sedemikian, iaitu, tindakan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) kini yang menilai semula keperluan kawal selia bagi pertunjukan dron tanpa pemandu.
Encik Chee menjelaskan bahawa peraturan yang ada sekarang memerlukan lesen bagi setiap dron – sesuatu yang tidak praktikal untuk pertunjukan cahaya mengguna 1,000 atau lebih dron.
CAAS telah mendapat maklum balas daripada salah sebuah syarikat pertunjukan cahaya.
CAAS bersetuju bahawa sebagai sebahagian semakan peraturan bagi menyokong perniagaan, Singapura boleh melakukan lebih baik dan mengguna pendekatan berbeza untuk membantu perniagaan tersebut, tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg