Pengeluar kereta mewah China, Hongqi, yang terkenal sebagai pembuat limousin yang digunakan oleh Presiden China, Encik Xi Jinping, dan pemimpin tertinggi negara itu, akan memasuki pasaran Singapura.
Syarikat Eurokars Group akan menjadi pengedar jenama kereta tersebut bermula separuh pertama 2026, dengan bilik pamerannya terletak di 19 Leng Kee Road, berhampiran Queenstown.
Model kereta pertama yang akan diperkenalkan di Singapura ialah E-HS9, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik yang lebih besar daripada Range Rover.
Sekurang-kurangnya tiga model kenderaan lain turut dirancang untuk dipasarkan di Singapura, termasuk sebuah kereta salun elektrik dan dua SUV bersaiz sederhana, kata Eurokars pada 17 Julai.
Syarikat tersebut akan menyasarkan pembeli dalam kategori pertengahan hingga mewah, dan model kereta yang ditawarkan tidak terhad pada kenderaan elektrik (EV) semata-mata.
Versi atau spesifikasi khusus kenderaan bagi pasaran Singapura masih belum disahkan.
Namun, model kereta E-HS9, yang sudah menembusi pasaran negara lain, mempunyai pelbagai pilihan motor dan bateri, termasuk satu versi kereta yang mampu mencapai jarak perjalanan lebih 500 kilometer apabila dicas sepenuhnya.
Hongqi adalah sebahagian daripada FAW Group milik China.
Ditubuhkan pada 1958, ia merupakan jenama kereta tempatan paling lama di negara itu.
Hari ini, jenama tersebut menawarkan pelbagai model kereta salun dan SUV di pasaran China.
Pengerusi Eurokars Group, Encik Karsono Kwee, berkata masanya kini sesuai untuk Hongqi memasuki pasaran Singapura, lapor The Straits Times (ST).
Beliau menyatakan bahawa pengguna di sini kini semakin menyambut baik jenama dan model kereta dari China, hasil kemasukan pelbagai jenama kereta dari negara itu.
Walaupun harga kereta Hongqi berada dalam lingkungan “pertengahan”, beliau berkata harganya mungkin lebih mahal sedikit berbanding jenama pesaing lain yang lebih popular dari China.
Ini kerana kereta Hongqi lebih premium atau mewah dari segi reka bentuk dan kemasan, tambahnya.
Singapura akan menjadi antara pasaran pertama bagi Hongqi di Asia Tenggara, selepas pelancaran keretanya di Myanmar pada Mei.
Ini merupakan sebahagian daripada strategi pemasaran sejagat syarikat itu, yang melibatkan model EV dan hibrid petrol-elektrik.
Jenama tersebut sudah bertapak di Timur Tengah dan beberapa negara Eropah.
Hongqi akan menjadi jenama kereta China ke-10 diperkenalkan di Singapura sejak Januari 2024.
Antara jenama kereta yang telah memasuki pasaran Singapura termasuk Aion, Deepal, Dongfeng, Xpeng dan Zeekr.
Pengedar kereta di Singapura semakin berminat mengambil peluang daripada penggunaan EV yang kian meningkat di sini, khususnya jenama dari China.
Ia dilihat sebagai lebih maju dari segi teknologi berbanding syarikat pengeluar kereta terkenal dari Jepun dan Jerman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg