Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jetstar Asia mahu tawar tambang rendah ke destinasi unik dari S’pura

Sep 30, 2024 | 1:04 PM
Jetstar Asia yang berpangkalan di Singapura telah menyumbang lebih 10 peratus daripada jumlah hasil Jetstar Group dalam tempoh 15 tahun  lalu.
Jetstar Asia yang berpangkalan di Singapura telah menyumbang lebih 10 peratus daripada jumlah hasil Jetstar Group dalam tempoh 15 tahun lalu. - Foto JETSTAR ASIA

Ketika ia bersiap meraikan tahun ke-20 di Singapura, Jetstar Asia berhasrat meningkatkan tukikannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) yang menawarkan penerbangan tambang rendah ke destinasi serantau yang unik dari Lapangan Terbang Changi.

Jaminan ini dibuat ketua eksekutif syarikat penerbangan itu, Encik John Simeone, melihat peningkatan jumlah penumpang selepas tiga tahun yang melemahkan akibat Covid-19.

Ia berlaku walaupun jumlah pesawatnya kini lebih satu pertiga lebih kecil berbanding sebelum wabak itu.

“Kami punyai 18 pesawat sebelum wabak, tetapi kami kini mempunyai 11 pesawat yang berkhidmat ke 17 destinasi di lapan negara,” kata Encik Simeone, yang mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Jetstar Asia pada awal 2024, lapor The Straits Times.

“Kami akhirnya ingin kembali kepada 18 pesawat, tetapi buat masa ini, kami punyai saiz yang sesuai untuk mencipta pulangan pelaburan yang mencukupi.”

Syarikat penerbangan itu – 49 peratus dimiliki Qantas dan 51 peratus oleh syarikat Singapura Westbrook Investments – merancang menambah bilangan pesawatnya kepada 13 menjelang akhir 2024.

Jetstar Asia beroperasi di bawah naungan Jetstar Group, anak syarikat kos rendah Qantas.

LCC yang berpangkalan di Melbourne itu mencatatkan pendapatan A$4.9 bilion ($4.3 bilion) pada 2023, hanya lebih 20 peratus daripada pendapatan A$21.9 bilion kumpulan induk Qantas.

Jetstar Asia yang berpangkalan di Singapura menyumbang lebih 10 peratus daripada jumlah hasil Jetstar Group dalam tempoh 15 tahun yang lalu.

Dengan pandemik kini berlalu, Jetstar Asia telah meluaskan rangkaian serantau secara berterusan sepanjang tahun lalu dan kini mengendalikan 320 penerbangan seminggu.

Selain laluan baru seperti ke Haikou dan Broome, ia akan mulakan penerbangan ke destinasi baru seperti Colombo dan Medan tidak lama lagi.

Sambil melihat permintaan kukuh terhadap perkhidmatan ke bandar besar seperti Kuala Lumpur, Bangkok dan Jakarta, syarikat penerbangan itu juga memenuhi kabinnya ke pelbagai destinasi percutian seperti Okinawa, Krabi dan Wuxi.

“Kami akan terus memikirkan destinasi unik dari Changi,” kata Encik Simeone, yang sebelum ini merupakan naib presiden kanan Qantas bagi Asia.

“Kami telah menjual kira-kira dua juta tiket sejak awal 2023, dan dua pertiga daripadanya di bawah $100.”

Dengan kedudukan secara konsisten antara LCC teratas di Asia untuk keselamatan dan ketepatan masa, Jetstar Asia menggaji kira-kira 500 pekerja di Singapura, 70 peratus daripadanya warga Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg