Jualan rumah baru pada Jan turun 57%, dua projek baru dilancar
Jualan rumah baru pada Jan turun 57%, dua projek baru dilancar
Pada Januari, pemaju menjual 466 rumah persendirian (tidak termasuk kondominium eksekutif (EC) dan bilangan itu adalah 57 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada 2025.
Dua projek dilancarkan pada Januari.
Jualan pada Januari meningkat 136 peratus berbanding 197 unit yang dijual pada Disember 2025.
Demikian menurut data yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 16 Februari.
Sebanyak 990 unit dijual pada Januari dengan 1,534 unit dilancarkan, termasuk EC; berbanding 1,104 unit dijual dan 896 unit dilancarkan pada Januari 2025.
Sebagai perbandingan, 234 unit dijual dan 52 unit dilancarkan pada Disember 2025.
Sebanyak 786 unit memasuki pasaran pada Januari, kira-kira 15 kali ganda jumlah yang dilancarkan pada Disember 2025.
Namun, ia 12.3 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada 2025, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Huttons Asia, Encik Mark Yip.
Dua pelancaran kondominium, Narra Residences dan Newport Residences, menyumbang lebih separuh daripada jumlah jualan baru pada Januari, tambahnya.
Sekitar 82.6 peratus pembeli di Newport Residences, sebuah projek City Developments Limited di kawasan pusat perniagaan yang telah ditangguhkan sejak 2023, adalah rakyat Singapura, sementara warga asing membentuk 3 peratus.
Kadar pembelian asing adalah lebih tinggi di Newport Residences berbanding pelancaran lain di Kawasan Tengah Utama (CCR) sejak separuh kedua 2025, kata Encik Yip.
Harga median $3,070 setiap kaki persegi (psf) di Newport Residences menjadikannya titik harga yang “sangat menarik” untuk projek CCR berstatus pegangan bebas, berbanding dengan pelancaran pegangan 99 tahun baru-baru ini di kawasan utama.
Kira-kira 75 peratus unit yang dijual di projek itu ditawarkan pada harga $2.5 juta dan ke bawah, tambahnya.
Di Narra Residences yang terletak di Dairy Farm, sekitar 80 peratus pembeli membeli unit dengan harga $2 juta dan ke bawah, yang dianggap mampu dimiliki bagi mereka yang menaik taraf daripada perumahan awam, kata Encik Yip.
Dalam kalangan tiga segmen pasaran, Luar Kawasan Tengah (OCR) mendahului dalam jualan kondominium dan apartmen privet, menyumbang 39.3 peratus daripada jualan pada Januari.
Ini diikuti oleh CCR, yang menyumbang 34.8 peratus daripada jualan utama dan Baki Kawasan Tengah (RCR), yang membentuk 26 peratus daripada jualan baru pada Januari.
Dengan tiada projek baru yang mencatat jualan pada Februari ekoran kemerosotan semasa Tahun Baru Cina, jualan rumah dijangka merosot sebelum meningkat semula pada Mac.
Selepas tempoh perayaan, pelancaran baru yang sedang diproses termasuk River Modern oleh GuocoLand di kawasan River Valley, Pinery Residences oleh Hoi Hup dan Sunway, serta Rivelle Tampines EC oleh Sim Lian.

