Pasaran sewa Singapura kembali mantap pada 2025, selepas kadar sewa kediaman privet merosot pada 2024, manakala pertumbuhan sewa estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pula menjadi perlahan dengan ketara.
Para penganalisis meramalkan peningkatan bekalan perumahan akan mengekang pertumbuhan sewa pada 2026.
Data Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) serta portal hartanah, Singapore Real Estate Exchange dan 99.co, menunjukkan kegiatan sewa mereda menjelang akhir 2025 di kedua-dua segmen.
Menurut penganalisis, keadaan itu lebih mencerminkan kelembapan bermusim akibat penyewa dan tuan rumah yang bercuti dan melancong, bukannya permintaan yang semakin lemah.
Dalam pasaran kediaman privet, Ketua Penyelidik dan Pakar Strategi Kumpulan Realion (OrangeTee & ETC), Cik Christine Sun, berkata kadar sewa secara umum kembali mantap pada 2025, dengan pertumbuhan sekitar 2.5 hingga 3 peratus, dan dijangka meningkat pada kadar hampir sama pada 2026.
Beliau menambah, kadar itu jauh lebih rendah berbanding lonjakan 29.7 peratus pada 2022 dan 8.7 peratus pada 2023.
Sewa kediaman privet melonjak pada 2022 dan mencapai paras tertinggi pada 2023, mengatasi kemuncak sebelum itu pada 2013, lapor The Straits Times (ST).
Pada 2024, kadar sewa merosot sebanyak 1.9 peratus sebelum memasuki kitaran mantap menjelang 2025.
Penganalisis berkata ledakan sewa pada 2022 didorong oleh pembukaan semula sempadan yang membawa masuk semula ekspatriat dan pekerja asing, ketika bekalan perumahan terhad akibat kelewatan penyiapan projek semasa pandemik Covid-19.
Harga terus meningkat hingga 2023 sebelum mereda pada 2024 apabila had kemampuan dicapai, syarikat mengambil pendekatan lebih terkawal dalam pengambilan pekerja, dan penawaran unit kediaman bertambah.
Dalam laporan tinjauan pasaran sewa OrangeTee bagi 2026, Cik Sun berkata pasaran menghadapi tekanan daripada peningkatan penyiapan kondominium serta jangkaan pengambilan pekerja yang lebih terkawal.
Namun, beliau menambah bahawa prospek ekonomi sedunia yang mantap serta kemasukan warga asing ke Singapura yang berterusan boleh membantu mengurangkan kesan tersebut.
Ekonomi Singapura kekal berdaya tahan meskipun terdapat ketegangan perdagangan sedunia, dengan eksport domestik bukan minyak meningkat 4.1 peratus dalam tempoh 10 bulan pertama 2025, berdasarkan data Enterprise Singapore (EnterpriseSG).
Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) meramalkan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) berkembang antara 1 dengan 3 peratus pada 2026, manakala jumlah warga asing meningkat 2.7 peratus kepada 1.91 juta pada Jun 2025.
Terdapat pertambahan 34,000 pekerja asing, merentasi semua jenis pas pekerjaan kecuali pembantu rumah, antara Jun 2024 dengan Jun 2025.
Menurut Huttons Asia, kadar sewa kategori hartanah mewah tidak berhalaman dijangka meningkat sekitar 2 peratus pada 2025, selepas merosot 4.3 peratus pada 2024.
Kategori itu merangkumi kondominium di Kawasan Tengah Utama (CCR) yang mempunyai keluasan sekurang-kurangnya 2,000 kaki persegi dan bernilai $5 juta ke atas.
Laporan tinjauan pasaran sewa Huttons 2026 mengunjurkan jumlah kontrak sewa kediaman privet tidak berhalaman meningkat sekitar 0.6 peratus pada 2025 kepada kira-kira 82,000.
Menurut Jabatan Perangkaan Singapura, sekitar 85.3 peratus isi rumah di hartanah privet tidak berhalaman merupakan pemilik yang tinggal sendiri pada 2024.
Namun, bekalan dijangka meningkat pada 2026.
Maklumat URA menunjukkan jumlah rumah privet yang memperoleh Permit Pendudukan Sementara (TOP) dijangka meningkat daripada 5,249 unit pada 2025 kepada 7,006 unit pada 2026, sebelum terus bertambah hingga 10,195 unit pada 2028.
Cik Sun berkata peningkatan bekalan itu akan meningkatkan persaingan antara tuan rumah, sekali gus mendorong sebahagian penyewa, khususnya ekspatriat bujang muda, beralih kepada flat baru di lokasi strategik demi penjimatan kos dan kemudahan.
Sementara itu, sewa HDB kekal stabil pada 2025.
Data SRX dan 99.co menunjukkan kadar sewa HDB dijangka meningkat sekitar 1.4 peratus pada 2025, jauh lebih rendah berbanding paras 2022 dan 2023.
Dari segi bulanan, sewa HDB meningkat 0.5 peratus pada November selepas tiga bulan penurunan, terutamanya didorong oleh permintaan bagi flat bersaiz kecil.
Ketua Pegawai Data dan analitik 99.co, Encik Luqman Hakim, berkata permintaan daripada penyewa yang peka terhadap bajet kekal berterusan walaupun kegiatan sewa keseluruhan semakin perlahan.
Seterusnya, penganalisis menjangkakan peningkatan ketara bilangan flat HDB yang mencapai Tempoh Penginapan Minimum (MOP) lima tahun akan menambah bekalan dan membataskan pertumbuhan sewa mulai 2026, khususnya di lokasi kurang strategik.
Namun, unit berhampiran stesen MRT dan kemudahan utama dijangka terus mencatat permintaan lebih berdaya tahan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg