Pemaju di Singapura menjual 1,575 rumah privet pada Februari, kira-kira 10 kali ganda daripada 153 unit yang dijual pada Februari tahun lalu (2024), dan 45.4 peratus lebih daripada jumlah yang dijual pada Januari.
Ini menurut data yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 17 Februari.
Jumlah terkini jualan baru itu, yang tidak termasuk kondominium eksekutif (EC), juga menyaksikan jumlah tertinggi bagi unit kondominium pinggir bandar baru yang diurusniagakan pada harga sekurang-kurangnya $2 juta dalam satu bulan, menurut Cik Christine Sun, ketua penyelidik dan ahli strategi OrangeTee Group.
Jumlah rekod sebelumnya, sejak 1995 apabila data URA mula-mula tersedia, adalah pada November 2024 apabila terdapat 512 transaksi sedemikian, kata Cik Sun.
Menurut The Business Times, jualan pemaju pada Februari juga merupakan jualan kedua tertinggi bagi bulan itu dalam tempoh 13 tahun, sejak 2012 apabila 2,417 unit dijual.
Lonjakan pembelian yang bermula pada suku terakhir 2024 berterusan sehingga permulaan tahun baru dengan kadar yang pantas, kata penganalisis.
“Baru dua bulan dalam tahun baru ini (2025), dan sejumlah 2,658 jualan baru (tidak termasuk EC) telah direkodkan pada Januari dan Februari 2025,” kata Encik Leonard Tay, ketua penyelidikan di Knight Frank Singapore.
“Sebagai perbandingan, ia mengambil masa lapan bulan, dari Januari hingga Ogos pada 2024, untuk mencapai jumlah 2,714 unit, berdasarkan data jualan bulanan pemaju dengan hanya 2,503 unit terjual dari Januari hingga Julai 2024,” tambah beliau.
Jualan didorong oleh dua pelancaran utama pada Februari – Parktown Residence di Tampines dan Elta di Clementi.
Daripada 603 unit yang dijual pada harga sekurang-kurangnya $2 juta, hampir 400 telah diurus niaga di Parktown Residence, yang mana kira-kira 57 unit dijual dengan harga antara $3 juta dengan $5 juta, kata Cik Sun.
Rakyat Singapura membentuk 92.4 peratus pembeli pada Februari 2025, manakala penduduk tetap menyumbang 6.9 peratus, kata ketua penyelidikan Huttons, Encik Lee Sze Teck.
Dua rumah baru paling mahal yang dijual pada bulan itu ialah unit di 32 Gilstead, yang dibeli oleh warga asing, tambah Encik Lee.
Jika termasuk EC, 1,604 unit telah dijual pada Februari dengan 1,694 unit dilancarkan, berbanding 187 unit yang dijual dan 45 unit yang dilancarkan pada bulan yang sama pada 2024.
Sebagai perbandingan, 1,104 unit telah dijual dan 896 unit telah dilancarkan pada Januari 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg