Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jualan rumah privet baru naik hampir 40% pada Mei

Jun 16, 2025 | 6:38 PM
Kondominium dan apartmen privet yang terletak di Baki Kawasan Tengah (RCR) mencapai jualan tertinggi, membentuk 61.2 peratus daripada jumlah jualan pada Mei. 
Kondominium dan apartmen privet yang terletak di Baki Kawasan Tengah (RCR) mencapai jualan tertinggi, membentuk 61.2 peratus daripada jumlah jualan pada Mei.  - Foto BT

Para pemaju di Singapura menjual sebanyak 312 rumah privet pada Mei 2025, melonjak hampir 40 peratus berbanding 223 rumah yang dijual pada Mei 2024, menurut data yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 16 Jun.

Namun, perangkaan jualan terkini pada Mei itu, yang tidak termasuk kondominium eksekutif (EC), adalah kurang daripada separuh berbanding 663 unit rumah privet yang dijual pada April.

Ia juga merupakan jualan bulanan terendah yang dicatatkan setakat ini bagi 2025, disebabkan ketiadaan pelancaran projek baru rumah privet.

Ia juga disebabkan oleh jualan pada kadar lebih perlahan di tengah-tengah kehangatan kempen Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di Singapura, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OrangeTee & Tie, Encik Justin Quek.

Ketua Pegawai Penyelidikan di laman hartanah Mogul.sg, Encik Nicholas Mak, menambah bahawa keadaan ekonomi dan pasaran pekerjaan tidak menentu yang masih berterusan, telah mengurangkan permintaan dan bekalan rumah, lapor The Business Times (BT).

“Pemaju sedang menunggu keadaan pasaran yang lebih menguntungkan sebelum melancarkan projek kediaman masing-masing, manakala pembeli rumah pula menantikan pelancaran projek kediaman pilihan, pada harga lebih rendah,” ujar beliau.

Termasuk EC, sebanyak 336 unit rumah privet dijual pada Mei 2025 dengan hanya 20 unit rumah baru dilancarkan, berbanding 263 unit rumah yang dijual dan 238 unit rumah dilancarkan pada Mei 2024.

Sebagai perbandingan, sebanyak 759 unit rumah privet bertukar tangan dengan 1,344 unit rumah dilancarkan pada April.

Bagaimanapun, Encik Quek menarik perhatian bahawa masih terdapat minat terhadap pasaran rumah amat mewah, dengan tiga transaksi pada harga lebih $10 juta dicatatkan pada Mei – hampir sama dengan transaksi pada April.

Urus niaga paling mahal melibatkan sebuah unit kondominium pegangan bebas 21 Anderson seluas 4,489 kaki persegi, yang bertukar tangan pada harga $24 juta.

Terdapat sembilan rumah baru tidak berhalaman yang dijual pada harga antara $5 juta dengan $10 juta pada Mei, meningkat berbanding dua rumah yang dijual-beli dalam julat harga sama pada April.

Kondominium dan apartmen privet yang terletak di Baki Kawasan Tengah (RCR) mencapai jualan tertinggi - membentuk 61.2 peratus daripada jumlah jualan pada Mei.

Ini diikuti oleh daerah Luar Kawasan Tengah (OCR), yang mencatat 34 peratus daripada jualan utama rumah privet.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg