Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jualan rumah privet capai paras tertinggi pada Ogos

Jualan laris antara lain disebabkan harga menarik, lokasi baik, kadar faedah berkurangan
Sep 15, 2025 | 4:50 PM
privet, jualan, perumahan
Jumlah jualan rumah privet pada Ogos 2025 - tidak termasuk kondominium eksekutif (EC) - adalah paras tertinggi bagi bulan itu. - Foto fail

Pemaju di Singapura menjual sebanyak 2,142 rumah privet pada Ogos 2025, lebih 10 kali ganda berbanding 211 unit yang dijual pada Ogos 2024, menurut data yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 15 September.

Jumlah jualan rumah privet pada Ogos 2025 – tidak termasuk kondominium eksekutif (EC) – adalah paras tertinggi bagi Ogos, kata Ketua Penyelidik dan Pakar Strategi di agensi hartanah Realion, Cik Christine Sun.

Ia juga lebih seganda tinggi berbanding 940 unit rumah yang dijual pada Julai.

Termasuk EC, sebanyak 2,338 unit rumah dijual pada Ogos daripada 2,496 unit yang dilancarkan.

Ini berbanding 247 unit yang dijual dan 272 unit yang dipasarkan pada Ogos 2024.

Sebagai perbandingan, sebanyak 1,311 unit dijual dan 2,275 unit dilancarkan pada Julai 2025, lapor The Business Times (BT).

Lima projek kondominium baru – Artisan 8, Canberra Crescent Residence, Promenade Peak, River Green dan Springleaf Residences – membentuk sebahagian besar jualan rumah privet baru, dengan 2,471 unit dilancarkan dan 1,894 unit dijual.

Pengarah kanan analisis data di Huttons Asia, Encik Lee Sze Teck, berkata prestasi jualan “luar biasa” itu disebabkan harga menarik dan lokasi baik kondominium baru, di samping kadar faedah yang kian berkurangan dan prestasi ekonomi lebih cerah.

Sebagai contoh, harga di Canberra Crescent Residences dan Springleaf Residences di kawasan utara bermula daripada $1,851 setiap kaki persegi (psf).

Kedua-dua projek tersebut berjaya menjual lebih 1,000 unit pada Ogos, kata Encik Lee.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi hartanah ERA Singapore, Encik Marcus Chu, menarik perhatian bahawa kondominium Promenade Peak dan River Green di Kawasan Tengah Utama (CCR) mencatat jualan 784 unit pada harga median, masing-masing $2,919 psf dan $3,111 psf.

Daripada tiga segmen pasaran, jualan kondominium dan apartmen privet di Luar Kawasan Tengah (OCR) adalah paling laris, membentuk 53.8 peratus daripada jualan Ogos.

Ini diikuti CCR, yang membentuk 23.9 peratus daripada jualan utama dan Baki Kawasan Tengah (RCR) yang mencatat 22.2 peratus jualan baru pada Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg