Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tapak lama ibu pejabat ITE, kampus ITE Dover akan diroboh untuk perumahan baru 

Sep 15, 2025 | 2:57 PM
Tapak di 10 Dover Drive pernah menempatkan ibu pejabat Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dari 1995 hingga 2012, manakala tapak di 20 Dover Drive pula menempatkan kampus ITE Dover yang beroperasi dari 1995 hingga 2010.
Tapak di 10 Dover Drive pernah menempatkan ibu pejabat Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dari 1995 hingga 2012, manakala tapak di 20 Dover Drive pula menempatkan kampus ITE Dover yang beroperasi dari 1995 hingga 2010. - Foto ST

Tapak lama ibu pejabat Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan kampus ITE Dover di Dover Drive akan dirobohkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), dengan sebahagian besar tapak itu diperuntukkan bagi pembangunan perumahan baru.

Pada 14 Ogos, HDB mendapat kebenaran daripada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) untuk merobohkan dua tapak berkenaan. 

Tapak di 10 Dover Drive pernah menempatkan ibu pejabat ITE dari 1995 hingga 2012, manakala tapak di 20 Dover Drive, pula menempatkan kampus ITE Dover yang beroperasi dari 1995 hingga 2010.

Menurut Draf Pelan Induk URA 2025, sebahagian besar kawasan seluas 5.9 hektar itu akan dijadikan tapak perumahan baru dengan keluasan 3.8 hektar, bersamaan kira-kira lima padang bola sepak.

Pelan induk itu, yang menjadi panduan pembangunan negara bagi 10 hingga 15 tahun akan datang, dijangka berkuat kuasa pada akhir 2025, lapor The Straits Times (ST).

Menjawab pertanyaan mengenai tapak lama ITE itu, HDB pada 10 September berkata ia “akan melaksanakan kerja-kerja merobohkan bangunan di sana bagi pihak pemerintah, dan ia dijangka bermula pada separuh pertama 2026”.

Penganalisis hartanah menganggarkan tapak perumahan seluas 3.8 hektar itu – yang akan menjadi sebahagian kawasan kejiranan baru Dover-Medway – mampu menampung lebih 1,300 unit flat.

Ketika draf pelan induk itu diumumkan pada Jun, URA berkata fasa pertama kawasan kejiranan tersebut akan merangkumi sekitar 6,000 unit rumah awam dan privet.

Kawasan tersebut terletak di antara Sekolah Anglo-Chinese (Bebas) dengan kawasan one-north.

Projek pembangunan perumahan pertama itu akan dibina di tapak seluas 1.35 hektar di Dover Road dan dijadualkan dibuka untuk jualan pada November.

Tapak itu dapat menampung sekitar 625 unit rumah privet serta 3,000 meter persegi ruang komersial.

Meskipun ITE telah berpindah dari tapak tersebut pada awal 2010-an, premis di 10 dan 20 Dover Drive itu masih terus digunakan oleh institusi pendidikan lain.

Kampus di 20 Dover Drive dijadikan tapak sementara oleh Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) selama empat tahun dari Mei 2011.

Bangunan itu seterusnya digunakan oleh Institut Teknologi Singapura (SIT) sehingga 5 Mei 2025. Selain itu, SIT turut menggunakan bangunan di 10 Dover Drive dari 2014 hingga 5 Mei.

Ketua Penyelidik dan pakar strategi di Realion Group, Cik Christine Sun, berkata tapak perumahan seluas 3.8 hektar yang dirancang itu boleh menghasilkan sekitar 1,300 unit flat atau 1,900 unit kondominium. 

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Utama ERA Singapore, Encik Eugene Lim, pula berkata tapak berkenaan mampu menampung antara 1,700 dengan 1,900 unit flat.

Menurut Cik Sun, apabila estet kejiranan itu dibangunkan, lebih banyak sekolah rendah mungkin diperlukan kerana kebanyakan institusi pendidikan di kawasan berkenaan khusus bagi pelajar peringkat menengah dan ke atas.

Encik Lim pula berkata tapak seluas 3.8 hektar itu terletak sekitar 1 kilometer dari Sekolah Rendah Fairfield Methodist, yang mempunyai permintaan tinggi dan berpotensi meningkatkan daya tarikan projek perumahan baru yang akan dibangunkan.

Kedua-dua Cik Sun dan Encik Lim berkata sebarang projek Bina Ikut Tempahan (BTO) baru di tapak tersebut mungkin akan diletakkan di bawah klasifikasi flat Prime.

Walaupun ia merupakan sebahagian kawasan kejiranan baru, flat di Dover-Medway terletak di kawasan popular Queenstown, di mana lebih 110 unit telah bertukar tangan dengan harga sekurang-kurangnya $1 juta antara Januari dengan Ogos 2025, kata Encik Lim.

Disebabkan tapak tersebut terletak sekitar 1 kilometer dari stesen MRT one-north, ia meningkatkan kemungkinan flat di situ diletakkan di bawah klasifikasi Prime, tambah Encik Lim.

Tapak di Dover itu kini diuruskan oleh Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan disewa kepada SIT, kemudian akan diserahkan kepada HDB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg