Jualan runcit terus perlahan pada Disember 2024, sebahagiannya disebabkan lebih ramai penduduk melancong ke luar negara semasa cuti sekolah hujung tahun, kata penganalisis.
Hasil jualan runcit turun 2.9 peratus pada tempoh itu, selepas turun 0.5 peratus pada November 2024, menurut Jabatan Perangkaan (DOS) pada 5 Februari.
Jika jualan kenderaan bermotor dikecualikan, perolehan runcit turun 4 peratus pada Disember 2024, meneruskan penurunan 1.1 peratus pada November 2024.
Menurut Ahli Ekonomi UOB, Encik Jester Koh, kelemahan dalam jualan runcit mungkin disebabkan oleh penduduk yang berbelanja di luar negara ekoran kekuatan pada dolar Singapura.
Sembilan daripada 14 kategori mengalami penurunan tahun ke tahun pada Disember 2024, berbanding tujuh kategori pada November 2024, lapor The Straits Times (ST).
Penurunan terbesar tahun ke tahun direkodkan dalam kategori peralatan komputer dan telekomunikasi (turun 13.1 peratus), diikuti dengan jualan pasar mini dan kedai serbaneka (turun 9.3 peratus), serta pakaian dan kasut (turun 6.7 peratus).
Daripada lima kategori yang menyaksikan peningkatan tahun ke tahun, makanan dan alkohol mencatatkan prestasi terbaik (naik 9.4 peratus), diikuti dengan kenderaan bermotor (naik 6 peratus).
Jumlah jualan runcit pada Disember 2024 dianggarkan bernilai $4.6 bilion.
Pembelian dalam talian menyumbang sekitar 13.4 peratus daripada jumlah tersebut, sedikit rendah berbanding 14.7 peratus yang dicatatkan pada November 2024.
Jualan perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) meningkat 1 peratus tahun ke tahun pada Disember 2024, berbanding pertumbuhan 4 peratus pada November 2024.
Berdasarkan penyelarasan bermusim, jualan perkhidmatan F&B turun 2.2 peratus pada Disember 2024 berbanding November 2024.
Jumlah nilai jualan perkhidmatan F&B dianggarkan berjumlah $1 bilion, dengan kira-kira 24.8 peratus hasil datang daripada penjualan dalam talian.
Pendapatan daripada katering makanan naik 16.7 peratus, perolehan restoran pula naik 0.2 peratus, dan kedai makanan segera mencatatkan peningkatan 1.4 peratus.
Ahli ekonomi OCBC, Cik Selena Ling, meramalkan jualan runcit pada 2025 akan meningkat sekitar 2 peratus tahun ke tahun, berbanding pertumbuhan 1.2 peratus yang direkodkan pada 2024 dan 2.3 peratus pada 2023.
“Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menjangkakan kedatangan pelancong sebanyak 18 juta pada 2025, lebih tinggi daripada 16.5 juta pada 2024, yang dijangka menghasilkan pendapatan pelancongan sekitar $30 bilion,” kata Cik Ling.
Beliau menambah: “Secara berasingan, pasaran tenaga kerja domestik kekal kukuh dengan kadar pengangguran yang rendah, dan ini seharusnya mendorong pembelian domestik.”
Pada 2025, pembukaan tarikan baru di Universal Studios Singapore pada Februari dan taman zoologi kelima Singapura, Rainforest Wild Asia pada Mac, dijangka dapat mengukuhkan pelancongan domestik dan memacu kedatangan pelancong, kata Encik Koh.
Selain itu, Belanjawan 2025 dan langkah sokongan lanjut seperti skim baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan sokongan tunai lebih tinggi di bawah Pakej Jaminan dapat membantu jualan runcit, tambah Encik Koh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg