Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jualan runcit S’pura turun 0.7% pada Nov

Prestasi keseluruhan industri bercampur-campur, dengan hanya separuh catat pertumbuhan
Jan 3, 2025 | 5:22 PM
Jualan runcit Singapura secara mengejut merosot sebanyak 0.7 peratus pada November 2024 dengan prestasi bercampur-campur merentas industri.
Jualan runcit Singapura secara mengejut merosot sebanyak 0.7 peratus pada November 2024 dengan prestasi bercampur-campur merentas industri. - Foto fail

Jualan runcit Singapura secara mengejut merosot sebanyak 0.7 peratus pada November 2024, membalikkan pertumbuhan 2.4 peratus yang dicatatkan bulan sebelumnya berdasarkan data Jabatan Perangkaan (SingStat) yang dikeluarkan pada 3 Januari.

Merentas industri, ia mencatatkan prestasi bercampur-campur, dengan hanya separuh menyaksikan pertumbuhan tahun ke tahun, laporan The Business Times.

Pakar ekonomi sektor swasta telah meramalkan pertumbuhan dengan ramalan median sebanyak 1.5 peratus dalam satu tinjauan Bloomberg.

Pada asas pelarasan musim bulan ke bulan, jualan runcit jatuh 2.8 peratus, berbeza berbanding kenaikan 0.3 peratus yang dicatatkan pada Oktober 2024.

Kecuali kenderaan bermotor, jualan runcit turun dengan lebih ketara sebanyak 1.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023, berbalik daripada kenaikan 0.5 peratus pada Oktober 2024.

Jualan runcit juga merosot secara berturutan sebanyak 2.1 peratus pada asas pelarasan musim, berbanding kenaikan 1.4 peratus pada Oktober.

Nilai keseluruhan jualan runcit yang dianggarkan untuk November 2024 adalah $4.1 bilion, dengan jualan dalam talian menyumbang 14.6 peratus, lebih tinggi berbanding 12.6 peratus pada Oktober 2024.

“Kadar jualan runcit dalam talian yang lebih besar adalah disebabkan peningkatan jualan dalam talian semasa acara beli-belah dalam talian hujung tahun seperti Singles Day (11.11) dan Black Friday,” kata SingStat.

Tahun ke tahun, tujuh kategori jualan runcit yang meningkat pada November ialah:

  1. Pasar raya dan pasar raya besar (2 peratus);
  2. Makanan dan alkohol (5.6 peratus);
  3. Kenderaan bermotor (5.2 peratus);
  4. Kosmetik, peralatan mandian dan barangan perubatan (1.7 peratus);
  5. Perabot dan kelengkapan rumah (1.9 peratus);
  6. Barangan riadah (2.7 peratus); dan
  7. Jam tangan serta barang kemas (2.2 peratus).

Sebaliknya, separuh lagi mencatat penurunan, dengan penyusutan terbesar adalah bagi peralatan komputer dan telekomunikasi, sebanyak 11 peratus.

Kategori lain yang mencatat penurunan ialah:

  1. Gedung serbaneka (-3.7 peratus);
  2. Pasar mini dan kedai serbaneka (-8.6 peratus);
  3. Stesen petrol (-5.4 peratus);
  4. Pakaian dan kasut (-3.8 peratus);
  5. Barangan optikal dan buku (-4.9 peratus); serta
  6. Lain-lain (-0.5 peratus).

Secara bulanan, selepas diselaraskan dengan musim, penurunan jualan dicatatkan dalam 13 daripada 14 kategori di atas.

Sementara itu, dalam indeks berasingan, jualan perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) meningkat 3.9 peratus berbanding 2023 pada November, serupa dengan Oktober.

Ia turun 2 peratus secara bulanan, selepas diselaraskan dengan musim.

Berdasarkan tahun, pertumbuhan dicatatkan di seluruh segmen F&B:

  1. Restoran (2.2 peratus);
  2. Kedai makanan segera (1.4 peratus);
  3. Khidmat katering makanan (19.7 peratus); dan
  4. Kafe, medan selera dan tempat makan lain (2.3 peratus).

Namun, semua industri kecuali khidmat katering makanan mencatatkan penurunan secara musiman berbanding Oktober.

Hasil penjualan F&B berjumlah $970 juta, dengan jualan dalam talian menyumbang 24.7 peratus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg