Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jualan Tesla catat kejatuhan terbesar dalam sedekad

Jul 24, 2025 | 2:25 PM
Jualan syarikat Tesla susut 12 peratus kepada AS$22.5 bilion ($28.7 bilion) pada suku kedua, iaitu penurunan paling ketara dalam sekurang-kurangnya sedekad.
Jualan syarikat Tesla susut 12 peratus kepada AS$22.5 bilion ($28.7 bilion) pada suku kedua, iaitu penurunan paling ketara dalam sekurang-kurangnya sedekad. - Foto REUTERS

AUSTIN (Texas): Tesla gagal memenuhi jangkaan pasaran Wall Street apabila mencatat prestasi suku tahunan terburuk dalam beberapa tahun, susulan persaingan yang semakin sengit dan reaksi negatif terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat, Encik Elon Musk.

Jualan syarikat susut 12 peratus kepada AS$22.5 bilion ($28.7 bilion) pada suku kedua – penurunan paling ketara dalam sekurang-kurangnya sedekad.

Syarikat kenderaan elektrik itu mencatat keuntungan sebanyak AS$1.2 bilion, merosot berbanding AS$1.4 bilion setahun lalu.

Tesla juga belum mencatat peningkatan keuntungan suku tahunan sejak suku ketiga 2024.

Meskipun Tesla terus menjalankan rancangan roboteksi serta kenderaan mampu miliknya susulan laporan kewangan suku kedua syarikat, sesi panggilan syarikat bersama penganalisis gagal meredakan kebimbangan terhadap hala tuju masa depannya.

Encik Musk meramalkan perkhidmatan roboteksi syarikat itu akan diperluas ke bandar-bandar baru menjelang akhir 2025, namun memberi amaran bahawa insentif untuk kenderaan elektrik (EV) yang bakal tamat tempoh akan menjejas perniagaan automotif teras syarikat.

Penurunan keuntungan Tesla berpunca daripada pengurangan penghantaran kenderaan, keuntungan lebih rendah daripada kredit kawal selia serta harga purata jualan kereta yang menurun.

Kredit kawal selia diberikan kepada pengeluar kenderaan yang mengeluarkan dan menjual kenderaan mesra alam.

Tesla turut melaporkan kemerosotan jualan dalam segmen penjanaan dan penyimpanan tenaganya.

Tesla mencatat peningkatan dalam segmen perniagaan yang merangkumi rangkaian pengecas pantas, namun Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Encik Vaibhav Taneja, memberi amaran bahawa Rang Undang-Undang cukai dan perbelanjaan yang baru diluluskan di Amerika Syarikat, serta tarif yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika, Encik Donald Trump, akan menjejas permintaan.

Harga saham jatuh semasa sesi sidang panggilan syarikat, merosot 5.2 peratus dalam dagangan lanjutan pada 23 Julai. Saham itu telah turun 18 peratus sejak awal 2025, namun sebahagian besarnya telah pulih daripada paras terendah yang dicatatkan pada Mac dan April.

Sesetengah pelabur melihat prospek Tesla menjangkaui hasil kewangannya yang tidak konsisten dan lebih tertumpu kepada janji Encik Musk tentang masa depan syarikat yang berasaskan kecerdasan buatan (AI), robot manusia dan teknologi pemanduan sendiri.

“Jika seseorang menganggap teras perniagaan Tesla hanyalah automotif, maka keputusan kewangan ini adalah buruk,” kata Encik Adam Crisafulli, pengasas firma perisikan pasaran Vital Knowledge.

“(Namun) jika seseorang melihat Tesla sebagai kuasa besar dalam bidang AI dan robotik, maka pandangan anda tentang prospek syarikat selepas keputusan suku kedua ini mungkin tidak akan berubah.”

Semasa sesi panggilan itu, Encik Musk menegaskan kepentingan teknologi pemanduan autonomi dan program robot manusia, Optimus, yang dibangunkan syarikat

“Jika Tesla terus berjaya melaksanakan teknologi autonomi untuk kenderaan dan robot manusia, ia akan menjadi syarikat paling bernilai di dunia,” jelas Encik Musk.

Sejak Encik Musk menyatakan sokongan terhadap Encik Trump, jenama Tesla semakin mencetuskan reaksi bercampur daripada masyarakat.

Semasa memainkan peranan singkat membantu pentadbiran itu, usaha Encik Musk untuk mengurangkan perbelanjaan pemerintah menerima kritikan daripada sebahagian pengguna Tesla yang cenderung menyokong dasar progresif, manakala sesetengah pelabur pula bimbang langkah itu akan mengalih perhatiannya daripada syarikat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg