Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurulatih penerbangan di tangga atas gaji median tertinggi di S’pura

Aug 25, 2025 | 5:57 PM
pilot, highest median pay
Seorang jurulatih penerbangan sedang mengajar seorang pelajar menggunakan simulator penerbangan pesawat A320 di WingsAcademy.sg. - Foto ST

Jurulatih penerbangan muncul sebagai penerima gaji tertinggi di Singapura – sekurang-kurangnya berdasarkan gaji kasar median bulanan, yang mencapai $20,000.

Broker pertukaran asing menduduki tangga kedua dengan gaji median $19,750 sebulan, manakala peguam dalaman berada di tangga ketiga dengan gaji $17,972 sebulan.

Data gaji tersebut didedahkan dalam Tinjauan Gaji Pekerjaan terkini oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Ogos.

Tinjauan yang dijalankan dari Julai hingga Disember 2024 itu merangkumi sampel perwakilan seramai 407,800 pekerja sepenuh masa yang menetap di Singapura –daripada syarikat sektor swasta yang mempunyai sekurang-kurangnya 25 pekerja.

Kakitangan sektor awam tidak disertakan dalam tinjauan tersebut.

Oleh itu, hasil tinjauan tersebut tidak menggambarkan gaji bagi jawatan seperti jurulatih penerbangan tentera udara Singapura, dan peguam dalaman di badan kehakiman dan kementerian, lapor The Straits Times (ST).

Atendan bas, pekerja kejuruteraan awam dan pekerja pembinaan bangunan, serta pekerja dobi adalah antara mereka yang menerima gaji median terendah, iaitu antara $1,400 dengan $1,560.

Data MOM juga menunjukkan gaji bagi setiap pekerjaan pada persentil ke-25 dan ke-75 – kecuali saiz sampel bagi beberapa pekerjaan khusus yang didapati terlalu kecil.

Pada persentil ke-75, jurulatih penerbangan masih membawa pulang gaji tertinggi yang lumayan berbanding pekerjaan lain, iaitu $30,000 sebulan.

Namun, mereka yang berada pada persentil ke-25 memperoleh gaji $8,050, menjadikan kerjaya ini mempunyai jurang gaji paling luas antara golongan bergaji lebih rendah dan lebih tinggi.

Data tersebut tidak mengejutkan seorang perunding penerbangan di WingsAcademy.sg, Encik Fabian Lim, yang menggajikan beberapa jurulatih penerbangan sepenuh masa untuk membimbing pelanggan melalui pengalaman simulator penerbangan riadah.

“Sesiapa sahaja dalam industri ini akan berkata hanya sebilangan kecil jurulatih penerbangan menikmati gaji $20,000 atau lebih,” katanya.

Beliau menjelaskan penerima gaji tertinggi biasanya adalah jurulatih juruterbang syarikat penerbangan komersial dengan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 tahun pengalaman penerbangan.

Sebaliknya, mereka yang mengajar kelas privet biasanya adalah juruterbang komersial atau tentera yang telah bersara, dan tidak mengutamakan jumlah gaji tinggi.

Terdapat juga jurulatih junior yang bekerja untuk mengumpul 1,500 jam penerbangan bagi mendapatkan lesen juruterbang pengangkutan udara, dan pendapatan mereka biasanya berada di hujung bawah julat gaji, tambah Encik Lim.

Ketua juruterbang di Hab Penerbangan dan seorang jurulatih, Encik Jezreel Mok, berkongsi pandangan serupa.

“Jika anda melatih juruterbang untuk menerbangkan pesawat Airbus atau Boeing, anda akan meraih gaji lebih tinggi,” ujar beliau.

Jurujual, konsultan pengurusan, dan pengarah syarikat di syarikat lebih besar juga menikmati gaji yang jauh lebih tinggi berbanding rakan sejawat mereka di syarikat lebih kecil.

Namun, karyawan tertentu, seperti doktor perubatan am (GP), peguam bela dan peguam cara, serta aktuari yang menganalisis dan mengurus risiko kewangan, biasanya meraih pendapatan lebih tinggi apabila bekerja di syarikat lebih kecil yang mempunyai kurang 200 pekerja.

Penerima gaji tertinggi Singapura

10 pekerjaan yang membayar gaji kasar median bulanan tertinggi di Singapura.

* Jurulatih penerbangan (kecuali tentera udara) – $20,000

* Broker pertukaran asing – $19,750

* Peguam dalaman (kecuali yang berkhidmat di badan kehakiman, kementerian dan lembaga berkanun) – $17,972

* Pedagang komoditi (tidak termasuk minyak dan ‘bunker’) – $16,000

* Ketua pegawai maklumat / teknologi / keselamatan – $15,258

* Pedagang minyak dan kekubu (‘bunker’) – $14,896

* Juruterbang syarikat penerbangan komersial – $13,878

* Pedagang pertukaran asing – $13,583

* Broker perdagangan – $13,500

* Pengarah urusan / Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) – $13,000

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg