Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOM: Gaji sebenar di S’pura naik 3.2% pada 2024, namun dijangka tumbuh perlahan pada 2025

May 28, 2025 | 4:22 PM
Gaji sebenar meningkat 3.2 peratus pada 2024, naik dari 0.4 peratus yang dicatatkan pada 2023 susulan kadar inflasi yang semakin reda.
Gaji sebenar meningkat 3.2 peratus pada 2024, naik dari 0.4 peratus yang dicatatkan pada 2023 susulan kadar inflasi yang semakin reda. - Foto fail

Pertumbuhan gaji sebenar di Singapura meningkat pada 2024 apabila kadar inflasi semakin reda, namun pertumbuhan itu dijangka perlahan tahun ini akibat ketegangan geopolitik berterusan dan ketidaktentuan dalam perdagangan global, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Gaji nominal keseluruhan meningkat sebanyak 5.6 peratus pada 2024 sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang berterusan – kadar yang hampir sama dengan peningkatan 5.2 peratus pada 2023.

Selepas mengambil kira inflasi yang lebih rendah berbanding 2023, gaji sebenar meningkat 3.2 peratus pada 2024, berbanding hanya 0.4 peratus pada 2023, menurut MOM dalam laporan amalan gaji tahunan yang dikeluarkan pada 28 Mei.

Berbeza dengan gaji sebenar, gaji nominal merujuk kepada jumlah gaji tanpa mengambil kira kadar inflasi.

Tinjauan MOM yang dijalankan pada suku pertama 2025 menunjukkan penurunan dalam peratusan firma yang merancang menaikkan gaji pekerja, iaitu 22 peratus pada Mac 2025 berbanding 32 peratus pada Disember 2024.

“Trend ini menunjukkan kemungkinan pertumbuhan gaji nominal yang lebih perlahan pada 2025 berbanding 2024, khususnya dalam sektor yang bergantung kepada perdagangan seperti perkilangan dan perdagangan borong,” kata MOM.

Menurut MOM, lapan daripada 10 perusahaan kekal mencatat keuntungan pada 2024, sedikit rendah berbanding 82.1 peratus yang direkodkan pada 2023.

Sektor perkilangan mencatat peningkatan dalam bilangan firma yang menguntungkan, manakala prestasi sektor perkhidmatan hartanah, pembinaan dan perdagangan borong tidak begitu memberangsangkan.

Meskipun lebih banyak firma menaikkan gaji pekerja pada 2024, ia dilakukan sebagai ganjaran atas prestasi organisasi sebelum ini, bukan petanda keyakinan terhadap masa depan, tambah MOM.

Tinjauan itu mendapati hanya 3.2 peratus firma melaksanakan pemotongan gaji pada 2024, turun daripada 6.5 peratus yang dicatatkan pada 2023, lapor The Straits Times (ST).

MOM berkata terdapat permintaan berterusan untuk pekerja mahir dalam sektor seperti perkhidmatan pentadbiran dan sokongan, perkhidmatan kewangan, serta perkhidmatan masyarakat, sosial dan peribadi.

Sektor perkhidmatan pentadbiran dan sokongan mencatat pertumbuhan gaji tertinggi sebanyak 8.7 peratus pada 2024, sebahagian besarnya didorong oleh Model Gaji Progresif (PWM). 

Ini diikuti sektor perkhidmatan kewangan pada 6.7 peratus, dan sektor perkhidmatan masyarakat, sosial serta peribadi pada 5.7 peratus.

Namun, pertumbuhan gaji dalam sektor perkilangan dan perdagangan borong adalah di bawah purata, masing-masing pada 5.1 peratus dan 4.2 peratus.

Penurunan ini disebabkan ketegangan geopolitik dan perdagangan yang masih berterusan. 

Kedua-dua sektor yang bergantung pada perdagangan ini dijangka mengalami pertumbuhan gaji yang lebih sederhana pada 2025.

Pekerja biasa dan pengurusan rendah mencatat pertumbuhan gaji lebih tinggi sedikit, masing-masing pada 5.8 peratus dan 5.6 peratus, berbanding pengurusan atasan yang meningkat hanya 5.1 peratus.

Faktor dasar seperti peningkatan gaji kelayakan tempatan dan pelaksanaan inisiatif PWM turut mempengaruhi kenaikan gaji yang lebih tinggi dalam kalangan pekerja berpendapatan rendah,” kata kementerian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg