Kadar 4 peratus untuk faedah yang diperoleh atas semua wang Akaun Khas, MediSave dan Persaraan (SMRA) telah dilanjutkan selama setahun lagi sehingga 31 Disember 2025.
Dalam kenyataan bersama pada 20 September, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) berkata pelanjutan mulai 1 Januari 2025, akan “terus memberikan anggota CPF kepastian tentang pulangan simpanan CPF mereka di ambang persekitaran kadar faedah yang tidak menentu”.
Sejak 2008, simpanan dalam SMRA telah dilaburkan dalam Sekuriti Pemerintah Singapura Khas, yang memperoleh kadar faedah berdasarkan hasil purata 12 bulan bagi Sekuriti Pemerintah Singapura 10 tahun ditambah 1 peratus.
Dari 1 Oktober hingga 31 Disember, kadar faedah SMRA akan ditetapkan pada 4.14 peratus, peningkatan daripada 4.08 peratus pada suku ketiga, disebabkan kadar tambatan melebihi 4 peratus.
Kadar faedah Akaun Biasa (OA) akan kekal pada 2.5 peratus dari 1 Oktober hingga 31 Disember, kerana kadar tambatan OA kekal di bawah kadar 2.5 peratus.
Sejajar dengan itu, kadar faedah konsesi untuk pinjaman perumahan HDB, yang disandarkan pada 0.1 peratus di atas kadar faedah OA, akan kekal tidak berubah pada 2.6 peratus pada suku keempat.
Sebagai sebahagian daripada usaha pemerintah untuk meningkatkan simpanan persaraan anggota CPF, anggota akan terus memperoleh faedah tambahan ke atas simpanan CPF mereka.
Anggota CPF berumur di bawah 55 tahun akan terus memperoleh faedah tambahan 1 peratus pada $60,000 pertama dari akaun gabungan mereka, dihadkan pada $20,000 untuk OA.
Mereka yang berumur 55 tahun ke atas akan terus memperoleh faedah tambahan 2 peratus pada $30,000 pertama gabungan akaun mereka, dihadkan pada $20,000 untuk OA dan tambahan 1 peratus pada $30,000 seterusnya.
Faedah tambahan yang diperoleh daripada baki OA akan dimasukkan ke dalam Akaun Khas atau Akaun Persaraan ahli.
Jika anggota berumur 55 tahun ke atas dan menyertai CPF LIFE (Pendapatan Sepanjang Hayat Bagi Orang Yang Lanjut Usia), faedah tambahan masih akan diperoleh ke atas baki CPF gabungannya, termasuk simpanan yang digunakan untuk CPF LIFE.
CPF LIFE menyediakan pembayaran bulanan kepada ahli CPF selagi mereka hidup, walaupun selepas simpanan dalam Akaun Persaraan mereka telah habis.
Untuk maklumat lanjut tentang kadar faedah CPF dan pengiraannya, sila lungsur laman web CPF.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg