Mulai 25 September, jumlah maksimum wang yang boleh dikeluarkan daripada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) setiap hari akan dikurangkan untuk melindungi orang ramai daripada penipuan.
Lembaga CPF pada 22 Ogos menyatakan ia akan mengurangkan had pengeluaran wang daripada $200,000 kepada $50,000 sehari, sebagai langkah mencegah penipuan.
Pada November 2023, had pengeluaran wang CPF dalam talian sebanyak $2,000 sehari dikuat kuasa bagi semua pencarum berusia 55 tahun dan ke atas.
Pencarum CPF yang ingin menaikkan had pengeluaran tersebut perlu mengunjungi laman web CPF untuk berbuat demikian.
Mereka boleh menaikkannya hingga maksimum $200,000, lapor The Straits Times (ST).
Pada masa ini, pencarum CPF boleh menetapkan had tersebut kepada sebarang jumlah antara $0 dengan $200,000, tertakluk kepada langkah pengesahan yang dipertingkat, dan tempoh penilaian atau cooling period selama 12 jam supaya mereka dapat bertindak sekiranya had tersebut diubah tanpa kebenaran.
Mereka yang ingin menyekat pengeluaran dalam talian boleh mengaktifkan Kunci Pengeluaran CPF, yang akan menetapkan had pengeluaran kepada $0.
Ini bermakna pengeluaran hanya boleh dibuat secara peribadi di pusat perkhidmatan CPF.
Pencarum yang ingin membuat jumlah pengeluaran wang yang besar dalam talian dinasihatkan agar membuat perancangan awal.
Mereka yang perlu mengeluarkan lebih daripada $50,000 dinasihatkan mengeluarkan wang itu dalam talian dalam tempoh beberapa hari.
Ini akan menghalang seseorang menghadapi risiko kehilangan jumlah wang besar dalam masa sehari, jika dia menjadi mangsa penipuan.
Lebih 26,500 kes penipuan dilaporkan pada separuh pertama 2024, melibatkan kehilangan wang sekitar $385.6 juta.
Menjawab pertanyaan media, Lembaga CPF menyatakan kurang 0.1 peratus daripada kes penipuan melibatkan pengeluaran wang CPF, yang membentuk sekitar 0.7 peratus daripada jumlah wang yang hilang akibat penipuan.
Sekitar $2.5 juta wang CPF dianggarkan hilang akibat penipuan.
Jurucakap Lembaga CPF berkata: “Ini pada umumnya disebabkan penipuan penyamaran pegawai pemerintah dan penipuan pelaburan.
“Bagi semua kes ini, mangsa membenarkan pengeluaran wang daripada akaun CPF mereka, yang kemudian dipindahkan ke akaun bank mereka sebelum dipindahkan keluar.”
Kebanyakan mangsa penipuan turut menaikkan had pengeluaran harian mereka melebihi paras $2,000 sebelum memindahkan wang itu.
“Walaupun semua pengeluaran wang dibenarkan oleh mangsa, kesannya besar kepada mangsa, terutamanya jika mereka meningkatkan had pengeluaran harian untuk membuat pengeluaran lebih besar secara dalam talian,” tambah Lembaga CPF.
Oleh itu, mengurangkan had pengeluaran CPF boleh memberi pencarum perlindungan lebih baik daripada penipu dan mengehadkan potensi kerugian dalam kes penipuan, jelasnya.
Pencarum juga dinasihatkan agar menghubungi Lembaga CPF jika mereka mengesyaki mereka telah menjadi mangsa penipuan yang melibatkan simpanan CPF mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg