Kadar kekosongan ruang runcit di merata Singapura meningkat pada suku pertama 2025.
Ini disebabkan kadar penyewaan kedai runcit yang lebih perlahan, selain bekalan ruang runcit baru yang kini ditawarkan di pasaran.
Di samping itu, ejen penyewaan ruang runcit turut mendapati semakin ramai penyewa kedai runcit ingin menamatkan pajakan mereka lebih awal.
Menurut data pemerintah, kadar kekosongan ruang runcit di merata negara naik 6.8 peratus pada suku pertama 2025, berbanding 6.2 peratus pada suku sebelumnya.
Berdasarkan laporan oleh syarikat pemasaran hartanah, Savills Singapore, terdapat bekalan sekitar 323,000 kaki persegi ruang runcit baru untuk disewa pada suku pertama 2025.
Namun, ruang runcit yang dikosongkan ialah 129,000 kaki persegi lebih besar daripada ruang runcit yang disewa pada tempoh tersebut.
Ini mengakhiri trend penyewaan positif selama tempoh lima suku tahun berturut-turut, iaitu apabila keluasan ruang runcit yang disewa melebihi keluasan yang dikosongkan.
Kadar penghunian yang merosot itu berlaku di kebanyakan kawasan, lapor The Business Times (BT).
Pengarah Eksekutif bagi Runcit dan Gaya Hidup di Savills Singapore, Cik Sulian Tan-Wijaya, menarik perhatian bahawa lebih ramai penyewa kini ingin menamatkan pajakan mereka lebih awal.
“Keadaan ini seharusnya menyebabkan kadar kekosongan ruang runcit meningkat, jika bukan kerana kemasukan penyewa baru yang mengambil alih ruang kosong.
“Bagi pembangunan di kawasan bukan utama, ia mungkin mengambil masa lebih lama untuk menyewakan ruang kosong, memandangkan keadaan pasaran ketika ini menyebabkan ramai pemilik perniagaan memilih untuk tunggu dan lihat,” tambah beliau.
Ketua peruncitan di syarikat runding cara hartanah, Knight Frank Singapore, Encik Ethan Hsu, berkata kelembapan dalam sektor runcit dan makanan di Singapura telah berterusan untuk tempoh agak lama, didorong oleh tekanan inflasi dan kekurangan tenaga kerja yang berpanjangan, serta permintaan pengguna yang lebih lemah.
“Dengan kos yang meningkat, tenaga kerja berkurangan, dan persaingan semakin sengit daripada penyewa baru, sebilangan peruncit dan pengusaha makanan dan minuman (F&B) memilih untuk keluar daripada pasaran ini bagi mengelakkan kerugian berterusan,” tambahnya.
Ketua peruncitan di sebuah lagi syarikat runding cara hartanah, CBRE, Cik Joan Chen, pula berkata penyewa yang tidak dapat mengekalkan perniagaan biasanya berada di kawasan yang kurang penduduk atau mempunyai kadar kunjungan pelanggan yang rendah.
Terdapat juga kes penyewa di lokasi utama dengan kadar kunjungan tinggi, seperti di Kawasan Pusat Bandar (CBD), yang menjalankan perniagaan yang rancak.
Bagaimanapun, tetap sukar bagi mereka bertahan disebabkan sewa tinggi yang telah mereka persetujui untuk mendapatkan ruang kedai tersebut, tambah beliau.
Kadar sewa di pusat beli-belah utama sepanjang Orchard Road kekal kukuh disebabkan bekalan ruang runcit yang terhad di kawasan tersebut.
Oleh itu, pemilik hartanah tersebut masih dapat berunding untuk meraih kadar sewa lebih tinggi, kata Savills.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg