Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadar sewa kedai HDB milik privet naik dua kali ganda

Sep 1, 2025 | 2:06 PM
sewa, kedai, privet, HDP
Sewa median bagi kedai HDB privet di kawasan perumahan naik daripada $3.51 kepada $7.34 setiap kaki persegi antara suku kedua 2024 dengan suku kedua 2025. - Foto ST

Kadar sewa untuk kedai Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang dipegang pemilik privet naik lebih dua kali ganda, terutama dalam tempoh setahun lalu, manakala kadar sewa untuk kedai yang disewa terus daripada HDB kebanyakannya kekal stabil.

Sewa median untuk kedai-kedai di kawasan perumahan yang dimiliki oleh pemilik privet hartanah itu naik daripada $3.51 setiap kaki persegi (psf) pada suku kedua 2024 kepada $7.34 psf pada suku kedua 2025, lapor The Straits Times (ST).

Ini merupakan kadar sewa tertinggi pernah dicatat untuk kedai HDB privet, berdasarkan data daripada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) yang direkodkan sejak 1999.

Sementara itu, kedai yang disewa terus daripada HDB menyaksikan kenaikan kadar sewa yang lebih perlahan.

HDB memaklumkan sewa untuk sembilan daripada setiap 10 kedai tersebut kekal hampir tidak berubah dalam tempoh lima tahun.

Penganalisis dan ejen hartanah berkata kenaikan sewa kedai HDB privet didorong oleh permintaan lebih tinggi selepas pandemik, meskipun kini mula menunjukkan penyusutan.

Kedai HDB boleh disewa daripada pemilik privet atau pemerintah.

Terdapat sekitar 8,500 kedai HDB privet, manakala baki 7,000 kedai disewa terus oleh pemerintah.

Pada 1998, pemerintah menghentikan penjualan kedai HDB kepada pemilik privet, dan sejak itu HDB menyewakannya secara langsung.

HDB berkata ini membolehkan mereka menentukan jenis perniagaan yang sesuai dengan keperluan penduduk setempat.

Kenaikan sewa membebankan beberapa kedai di kawasan perumahan HDB, menyebabkan mereka terpaksa berpindah, mengecilkan ruang atau menutup kedai.

Untuk mengatasi kenaikan sewa privet, sesetengah pemilik perniagaan menyewakan sebahagian kedai mereka.

Contohnya, rangkaian kedai roti milik, Encik Ken Seng Guan, telah menyewakan sebahagian ruang sekitar 250 psf daripada kedai seluas 600 psf di Pek Kio kepada pelbagai kedai selama 10 tahun.

Pengarah Bakery Cuisine itu berkata sewanya – kini $12,000 sebulan – meningkat sekitar 40 peratus dalam tempoh satu dekad, atau sekitar 10 peratus setiap tiga tahun.

Pendapatan kira-kira $3,800 sebulan daripada sewa semula membantu Bakery Cuisine mengekalkan operasi kedai privet di Pek Kio meskipun kos semakin meningkat, kata Encik Ken.

Walaupun sewa HDB stabil, beliau terus menyewa daripada pemilik privet kerana kedai yang dibina sebelum 1998 biasanya terletak berhampiran pusat bandar dengan laluan pejalan kaki yang tinggi.

Tiada data tersedia mengenai berapa ramai penyewa kedai HDB privet menyewakan semula unit mereka.

HDB memaklumkan kira-kira 4 peratus daripada 7,000 kedai yang disewa terus menyewakan semula unit mereka.

Perangkaan itu tidak termasuk kira-kira 500 kedai kopi, pasar dan kedai barangan pasar.

Perniagaan lain pula terpaksa mengecilkan ruang kedai.

Pada Mac 2024, peruncit telefon bimbit Erajaya berpindah dari kedai 500 psf di kawasan atrium HDB Hub, Toa Payoh ke kedai lebih kecil 300 psf di blok berhampiran selepas pemilik privet hartanah itu menaikkan sewa 20 hingga 30 peratus.

Perniagaan tersebut sebelum ini membayar kira-kira $28,000 sebulan.

Pengurus operasi kedai itu hingga awal Ogos, Encik Jeff Ho, berkata kenaikan sewa itu tidak mampu ditanggung.

“Kami hanya cukup-cukup makan. Margin keuntungan kecil disebabkan sewa yang tinggi,” katanya.

Beliau menambah sewa untuk kedai semasa di Blok 190, Lorong 6 Toa Payoh, adalah sekitar 20 peratus lebih rendah, tetapi ruang untuk mempamer dan melayan pelanggan juga berkurang.

Walaupun sewa kedai HDB milik privet lebih tidak menentu, ejen hartanah berkata banyak perniagaan masih memilih untuk menyewa daripada pemilik privet kerana kedai-kedai tersebut terletak di kawasan lama yang dibina sebelum 1998.

Kedai HDB privet juga boleh disewa kepada mana-mana perniagaan, selagi ia termasuk dalam senarai perdagangan dibenarkan HDB.

Sebaliknya, unit yang disewa terus oleh HDB terikat dengan jenis perniagaan tertentu mengikut perjanjian sewa – contohnya, unit yang ditetapkan untuk kemudahan perubatan tidak boleh disewa untuk kedai makan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg