Bagi sesetengah peniaga seperti Encik Osman Sudin, beliau melihat baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bukan sahaja dapat meringankan kewangan pelanggan namun golongan sepertinya juga.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) di majlis pelancaran baucar bantuan CDC ketujuh – bernilai $500 – di Kelab Masyarakat Nee Soon pada 13 Mei, Encik Osman, 56 tahun, berkata baucar itu memberi manfaat kepada kededua peniaga dan juga pelanggan.
“CDC meringankan beban pelanggan terutama dengan kos kehidupan yang semakin tinggi.
“Saya sebagai peniaga, juga dapat lihat keuntungan sebanyak 40 peratus kerana apabila baucar CDC diberikan, pelanggan akan sering pergi ke kedai pusat penjaja dan berbelanja, lantas meningkatkan perniagaan kami juga,” katanya.
Encik Osman merupakan pemilik, Pak Din Ayam Bakar, serta Pengerusi Peniaga-Peniaga Pasar Geylang Serai.
Beliau berkata walau terdapat bantuan CDC, golongan yang lebih berusia – kededua pelanggan dan peniaga – tetap mengalami kesukaran dalam menavigasi cara menggunakan baucar tersebut.
“Terdapat juga kedai yang tidak mahu gunakannya (baucar CDC). Mereka hanya terima wang tunai sebab tidak tahu bagaimana ingin gunakan sistem CDC.
“Saya juga pernah temui seorang pelanggan yang mempunyai baki baucar yang banyak walaupun tarikh tamat tempoh ialah pada keesokan harinya kerana tidak tahu bagaimana untuk menggunakannya,” ujarnya.
Gerainya antara gerai pusat penjaja yang menerima baucar CDC.
Pada 13 Mei, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, melancarkan baucar tersebut yang bertujuan membantu isi rumah menangani cabaran kos sara hidup.
Ia akan dibahagikan secara sama rata – $250 dibelanjakan untuk penjaja di kawasan kejiranan yang mengambil bahagian, dan $250 lagi untuk perbelanjaan di pasar raya yang mengambil bahagian.
Majlis pelancaran itu dianjurkan oleh kelima-lima mayor – Pengerusi Jawatankuasa Mayor yang juga Mayor CDC South West, Cik Low Yen Ling; Mayor CDC South East, Encik Fahmi Aliman; Mayor CDC North West, Encik Alex Yam; Mayor CDC Central, Cik Denise Phua Lay Peng; dan Mayor CDC North East, Encik Desmond Choo.
Bercakap kepada media di acara itu, Cik Low, berkata setakat ini pemerintah telah membentuk rangkaian yang merangkumi lebih 23,000 kedai dan penjaja di kawasan kejiranan, satu peningkatan sejak kali pertama ia dilancarkan pada Disember 2021.
“Kami amat berbesar hati melihat sepanjang 18 bulan yang lalu, semakin banyak kedai di kawasan kejiranan seperti penjaja termasuk pengendali rangkaian kedai kopi dan pasar raya telah tampil untuk menawarkan diskaun dan barangan promosi berkaitan baucar CDC, bagi membantu rakyat Singapura memanfaatkan sepenuhnya nilai baucar tersebut,” katanya.
Antaranya, pasar raya Sheng Siong yang menawarkan diskaun khas sehingga 50 peratus bagi barangan terpilih – termasuk telur dan beras – apabila pelanggan membelanjakan sekurang-kurangnya $50 dalam satu resit menggunakan baucar CDC dari 13 Mei hingga 11 Jun.
Secara keseluruhannya, lebih $1.92 bilion telah dibelanjakan sejak pelancaran skim baucar CDC pada Disember 2021.
Jumlah sebanyak $1.06 bilion dibelanjakan di gerai penjaja dan peniaga kawasan kejiranan, manakala lebih daripada $857 juta dibelanjakan di pasar raya.
Warga Singapura yang menghadapi kesukaran mendapat akses Baucar Digital CDC boleh mendapatkan bantuan di Kelab Masyarakat dan Hab Masyarakat Digital SG.
Laluan keutamaan akan disediakan untuk warga emas dan individu kurang upaya.
Pada minggu pertama sejak pelancaran baucar CDC, lebih daripada 200 sukarelawan belia akan berada di pusat masyarakat terpilih bersama duta CDC. Sukarelawan daripada agensi awam juga akan turut serta.
Dari 13 hingga 26 Mei, duta digital dari Pejabat Digital SG dan Duta Kesejahteraan Infokom Warga Emas akan berada di pusat masyarakat untuk membantu penduduk menebus baucar digital mereka.
Sokongan tambahan juga akan diberikan kepada penduduk yang tidak mempunyai telefon pintar atau yang memerlukan bantuan untuk menyediakan akaun Singpass mereka atau menetapkan semula kata laluan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg