Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasangan muda buka kedai runcit unik, lengkap dengan ruang sosial

Maggie Kedai Runcit kenang nostalgia snek lama, sedia pelbagai kegiatan buat pelanggan 
Aug 4, 2025 | 5:30 AM
Nira Sahara Md Khairul, Maggie Kedai Runcit, Mohamed Naim Abdullah
Cik Nira Sahara Md Khairul menguruskan Maggie Kedai Runcit, yang lahir daripada impian suaminya, Encik Mohamed Naim Abdullah, untuk memiliki kedai runcit sendiri. Kedai runcit mereka menjual barangan keperluan dapur, snek nostalgia dan pelbagai permainan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Di celah-celah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan kedai kopi, wujud sebuah kedai runcit yang sudah sekian lama menjadi nadi kehidupan harian penduduk di situ untuk membeli roti, beras mahupun susu pekat.

Namun, Maggie Kedai Runcit yang terletak di Blok 655, Jalan Tenaga, berdekatan Kaki Bukit dan Ubi itu, ia menawarkan lebih daripada sekadar keperluan dapur.

Kedai yang dikendalikan oleh Cik Nira Sahara Md Khairul, 23 tahun, menyuntik nafas segar ke dalam warisan lama Singapura, menggabungkan unsur nostalgia dengan cita rasa generasi muda hari ini.

Dalam kedai berdinding putih itu, tersusun rapi rak-rak barangan harian dan snek nostalgia, disertai sudut santai tempat pelanggan boleh menikmati mi segera panas, stesen DIY (buat sendiri) penyangkut kunci, bermain permainan papan dan mengumpul kad Pokémon.

Antara kegiatan menarik di Maggie Kedai Runcit ialah membuat penyangkut kunci sendiri.
Antara kegiatan menarik di Maggie Kedai Runcit ialah membuat penyangkut kunci sendiri. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Ciri demikian menjadikan kedai runcit tersebut bukan sekadar tempat membeli barangan runcit, malah ruang untuk pelanggan berkumpul dan bersantai.

Berkongsi dengan Berita Harian (BH) di kedainya, Cik Sahara berkata:

“Saya dan suami suka keluar meluangkan masa di tempat yang sederhana dengan harga jualan yang berpatutan. Konsep yang kami gemari ialah ‘dating secara bajet’.

“Jadi, kami terfikir, mengapa tidak wujudkan ruang yang membolehkan orang lain juga menikmati suasana sebegitu?”

Justeru, sudut lepak tersebut diwujudkan agar orang ramai boleh duduk, makan mi segera, bermain permainan dan meluangkan masa bersama tanpa perlu berbelanja besar.

“Kami mahu kedai runcit ini menjadi lebih daripada sekadar sebuah kedai runcit untuk beli keperluan harian.

“Ia adalah ruang untuk semua lapisan masyarakat,” ujar Cik Sahara, yang mengimbangi tanggungjawab mengendalikan kedai tersebut dari 9 pagi hingga 10 malam, di samping menjaga tiga anaknya.

Selain membeli barangan harian, pelanggan boleh bersantai sambil menikmati mi segera dalam cawan di Maggie Kedai Runcit.
Selain membeli barangan harian, pelanggan boleh bersantai sambil menikmati mi segera dalam cawan di Maggie Kedai Runcit. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Dibuka pada Jun 2025, Maggie Kedai Runcit, tercetus daripada impian suaminya, Encik Mohamed Naim Abdullah, 23 tahun, untuk memiliki kedai runcit sendiri.

Hasil cetusan idea bersama, pasangan muda itu ingin menghidupkan semula semangat kedai runcit bawah blok tetapi dengan sentuhan moden yang dekat di hati golongan muda.

“Anak muda sekarang suka lepak di kawasan seperti Haji Lane. 

“Kami cuba membawa konsep yang serupa, tapi dengan cara tersendiri – iaitu satu sudut untuk pelanggan kami lepak di sini,” jelas Cik Sahara.

Maggie Kedai Runcit membawa nafas baru kepada konsep kedai runcit tradisional dengan menggabungkan unsur nostalgia dengan sentuhan moden, menjadikannya bukan sekadar tempat membeli-belah, malah ruang untuk berkumpul, bersantai dan berinteraksi.
Maggie Kedai Runcit membawa nafas baru kepada konsep kedai runcit tradisional dengan menggabungkan unsur nostalgia dengan sentuhan moden, menjadikannya bukan sekadar tempat membeli-belah, malah ruang untuk berkumpul, bersantai dan berinteraksi. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Keunikan Maggie Kedai Runcit turut terserlah pada namanya.

‘Maggie’ bukan sahaja merujuk kepada mi segera yang menjadi kegemaran ramai, malah mencerminkan identiti keluarganya.

Suami serta ketiga-tiga anaknya – yang berusia empat, dua dan setahun – semuanya berambut keriting seperti ‘mi Maggi’ dan sama-sama menggemari mi segera tersebut.

Dari segi barangan yang dijual, Maggie Kedai Runcit diurus dengan penuh teliti.

Cik Sahara kerap mencuba menjual produk dalam jumlah kecil – daripada barangan keperluan dapur hingga jajan klasik – untuk menguji sambutan pelanggan sebelum menambah bekalan.

Harga barangan pula dikekalkan pada kadar berpatutan, sejajar dengan prinsip ingin berkhidmat buat masyarakat terlebih dahulu.

Bagi kekal relevan, kedai runcitnya turut menerima bayaran tanpa tunai, menyertai inisiatif baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan giat memanfaatkan media sosial seperti TikTok dan Instagram untuk menarik minat generasi muda.

Menurut Cik Sahara, yang sebelum ini merupakan suri rumah sepenuh masa, kedai runcit yang dahulu hanya bersifat urus niaga kini berkembang menjadi ruang sosial, mencerminkan perubahan gaya hidup dan keperluan masyarakat setempat.

“Peniaga generasi muda kini membawa banyak idea baru untuk mengubah konsep pasar raya mini atau ‘minimart’.

“Menerusi gabungan elemen lama dan moden, ia menjadi ruang untuk membina hubungan dan masyarakat di samping menarik lebih banyak minat,” ujar beliau.

Meskipun perniagaannya masih baru, impian Cik Sahara jelas.Sebagaimana katanya:

“Saya mahu Maggie Kedai Runcit menjadi sebahagian daripada rutin harian penduduk – tempat lepak yang ringkas tetapi bermakna.”

Kami mahu kedai runcit ini menjadi lebih daripada sekadar sebuah kedai runcit untuk beli keperluan harian.  Ia adalah ruang untuk semua lapisan masyarakat. ... Saya mahu Maggie Kedai Runcit menjadi sebahagian daripada rutin harian penduduk – tempat lepak yang ringkas tetapi bermakna.
Cik Nira Sahara Md Khairul, pemilik Maggie Kedai Runcit.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg