Pekerja di beberapa hab perkilangan pakaian terbesar dunia di Bangladesh, Vietnam dan Pakistan semakin terdedah kepada cuaca panas melampau akibat perubahan iklim yang menyebabkan suhu meningkat, menurut laporan pada 8 Disember, satu masalah yang perlu ditangani oleh pengeluar dan jenama multinasional.
Peraturan baru Kesatuan Eropah (EU) menjadikan peruncit seperti Inditex, H&M dan Nike bertanggungjawab secara sah bagi keadaan di kilang pembekal masing-masing.
Ini memberi tekanan kepada syarikat itu untuk melaburkan wang bagi menyejukkan kilang-kilang pembekalnya.
Di Dhaka, Hanoi, Bandar Ho Chi Minh, Phnom Penh dan Karachi, jumlah hari dengan suhu bebuli basah atau wet-bulb – ukuran yang mengambil kira kesan kelembapan dan suhu udara – melebihi 30.5 darjah Celsius, meningkat sebanyak 42 peratus dalam tempoh 2020 hingga 2024 berbanding 2005 hingga 2009.
Demikian menurut pengkaji di Institut Buruh Global Universiti Cornell.
Apabila suhu melebihi batas tersebut, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengesyorkan tempoh kerja dan rehat yang sama setiap jam bagi memastikan suhu badan berada dalam keadaan selamat.
Laporan tersebut hanya mengenal pasti tiga peruncit – Nike, Levi’s dan VF Corp – yang secara khusus menyertakan protokol melindungi pekerja daripada kelesuan haba dalam tatalaku pembekal mereka.
“Sudah lama kami berbincang dengan syarikat mengenai masalah ini, namun hanya sekarang mereka memerhatikannya,” kata Encik Jason Judd, pengarah eksekutif di Institut Buruh Global Universiti Cornell, kepada Reuters.
“Jika syarikat sedar bahawa suhu di kilang terlalu tinggi sehingga menjejaskan kesihatan pekerja, maka mereka diwajibkan di bawah set peraturan baru ini untuk melakukan sesuatu mengenainya,” tambahnya.
Arahan Penilaian Wajar Kemampanan Korporat EU dikuat kuasa pada Julai dan akan dikenakan kepada syarikat besar mulai pertengahan 2027.
Pembaikan menyejukkan kilang boleh termasuk pengudaraan lebih baik serta sistem pendinginan penyejatan air, berbanding penghawa dingin yang memerlukan tenaga dan kos tinggi, serta meningkatkan pelepasan karbon pengilang.
Pemilik kilang mungkin akan bersedia membuat pelaburan sedemikian memandangkan bagaimana kelesuan haba dapat memberi kesan yang signifikan terhadap produktiviti, kata Encik Judd.
Namun peraturan EU turut menekankan tanggungjawab peruncit untuk menangani isu tersebut.
Laporan itu juga menggesa peruncit agar melabur dalam gaji yang lebih tinggi dan perlindungan kesihatan supaya pekerja dapat menguruskan risiko ketinggalan hari kerja akibat gelombang haba.
Cuaca panas melampau dan banjir boleh meluputkan AS$65 bilion ($87 bilion) hasil eksport pakaian dari Bangladesh, Kemboja, Pakistan dan Vietnam menjelang 2030, menurut penyelidikan daripada pengurus aset, Schroders, dan Institut Buruh Global pada 2023. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg