Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir M’sia: Penduduk bersih kediaman ala kadar, bimbang gelombang kedua

Dec 5, 2024 | 3:49 PM
Kerja-kerja membaiki jalan yang musnah di Kampung Jubakar Pantai, Tumpat, Kelantan, susulan banjir giat dijalankan pada 5 Disember.
Kerja-kerja membaiki jalan yang musnah di Kampung Jubakar Pantai, Tumpat, Kelantan, susulan banjir giat dijalankan pada 5 Disember. - Foto BERNAMA

RANTAU PANJANG (Kelantan): Penduduk Kelantan yang teruk terjejas akibat banjir mula membersihkan kediaman dan kawasan rumah, namun hanya melakukannya ala kadar kerana bimbang gelombang kedua bah melanda.

Menurut penduduk, mereka hanya berani melakukan proses pembersihan rumah secara menyeluruh selepas tamat musim monsun atau gelombang ketiga yang dijangka pada Februari 2025.

Ketua Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang, Kelantan, Encik Ariffin Ismail, berkata saban tahun, penduduk akan berdepan sehingga tiga gelombang banjir.

“Ini baru gelombang pertama, namun sudah teruk dan penduduk juga bimbang untuk melakukan pembersihan kerana gelombang kedua dijangka berlaku dalam masa terdekat.

“Selalunya hanya selepas gelombang ketiga baru penduduk membuat pembersihan dan menurunkan barangan yang diletakkan di tempat tinggi. Ketika ini kami masih berjaga-jaga untuk menghadapi dua lagi gelombang,” katanya lapor Harian Metro.

Malah, katanya sehingga kini, masih ramai penduduk kampung berkenaan masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir termenung (banjir bertakung).

Di Kampung Tersang, Rantau Panjang, lebih 300 penduduk masih berteduh di PPS kerana bekalan elektrik di kediaman masing-masing belum disambung.

Selain tiada bekalan elektrik, halaman rumah mereka masih digenangi banjir sehingga paras 0.3 meter, selain cuaca tidak menentu menyebabkan mereka enggan mengambil risiko pulang ke rumah.

“Nak balik macam mana, elektrik pun masih tiada. Mungkin tunggu elektrik sudah dipasang semula barulah penduduk pulang ke rumah,” kata Encik Irwan Faizal, 40 tahun.

Lain pula ceritanya buat Cik Fatimah Hamat, 80 tahun. Ketika mangsa banjir lain sibuk membersihkan rumah, beliau pula masih buntu memikirkan nasib selepas kediamannya dihanyutkan air banjir.

Rumah yang didiami Cik Fatimah dan anak sulungnya berusia 50-an tahun di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang, itu dibawa arus sehingga 10 meter dengan keadaan rumahnya yang rosak teruk akibat ditenggelami air.

“Sedih tak terkata, mak cik hanya mampu menitiskan air mata melihat rumah berusia 30 tahun ini runtuh dibadai banjir. Ini banjir paling sedih buat mak cik sehingga rumah pun dibawa arus.

“Sejak tiga tahun lalu setiap kali banjir, rumah mak cik akan tenggelam dan nampak bumbung saja. Namun, kali ini ujian lebih berat. Mak cik harap ada pihak sudi membantu memberikan rumah untuk mak cik,” katanya.

Banjir yang kian pulih membolehkan hanya kira-kira 39,000 mangsa masih berada di PPS di tujuh negeri pada petang 5 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg