Menurut sebuah kajian, beberapa pelabur pasaran saham di Singapura lebih mementingkan bagaimana syarikat merancang dan melaksanakan strategi mereka, berbanding berapa banyak wang yang diagihkan kepada pemegang saham.
Kajian oleh Stewardship Asia Centre (SAC) juga mendapati kebanyakan pemegang saham bersedia mengabaikan prestasi jangka pendek jika syarikat dapat berkomunikasi dengan jelas mengenai rancangan jangka panjang mereka.
Namun, masih ada syarikat yang belum menyedari hal tersebut, menunjukkan perlunya penyelarasan yang lebih baik dalam hubungan pelabur, walaupun usaha penyusunan semula pasaran saham tempatan sedang giat dijalankan, kata SAC dalam laporannya pada 28 Oktober, lapor akhbar The Straits Times (ST).
SAC adalah sebuah organisasi bukan meraih untung yang berusaha untuk menyokong pertumbuhan perniagaan dan kemakmuran masyarakat.
Ia adalah penerima manfaat daripada Temasek Trust, cabang filantropi Temasek.
Kajian itu menumpukan pada hubungan antara syarikat dengan pelabur institusi serta impaknya terhadap penentuan pengagihan modal dan nilai jangka panjang syarikat.
Kajian itu berdasarkan tinjauan dengan 220 responden, terdiri daripada 110 pelabur dan 110 syarikat, yang dijalankan secara dalam talian antara 28 Julai dengan 31 Ogos.
Daripada 110 respons syarikat, 85 adalah daripada syarikat yang tersenarai di Bursa Singapura (SGX) dan 25 daripada syarikat yang ingin disenaraikan di SGX.
Laporan tersebut, yang dikeluarkan dengan kerjasama Penguasa Kewangan Singapura (MAS), turut mendapati kebanyakan responden percaya penglibatan yang telus dan bermutu tinggi bukan sahaja membina kepercayaan antara syarikat dengan pemegang saham, malah boleh mempengaruhi penilaian syarikat.
Kajian turut mendapati sembilan daripada 10 pelabur dan syarikat bersetuju bahawa penglibatan mempengaruhi keputusan penilaian.
Menariknya, 95 peratus pelabur sanggup bertolak ansur dengan prestasi jangka pendek yang kurang baik asalkan syarikat mempunyai strategi jangka panjang yang jelas dan dipercayai.
Laporan tersebut menekankan pentingnya penyelarasan motivasi antara pelabur dengan syarikat.
Walaupun 25 peratus pelabur mengutamakan strategi syarikat, hanya 14 peratus syarikat yang menyedarinya, sementara kebanyakan syarikat beranggapan dividen adalah keutamaan pelabur.
Selain itu, 29 peratus pelabur menganggap visi dan pelaksanaan pengurusan “sangat signifikan” dalam pandangan pelaburan mereka, tetapi hanya 16 peratus syarikat yang menyedari hal itu.
Namun, syarikat perlu menetapkan harapan yang realistik, kerana “penglibatan yang kuat pun tidak dapat menggantikan kekangan struktural pasaran”.
Walaupun lebih 80 peratus syarikat tersenarai di SGX bertemu pelabur utama sekurang-kurangnya sekali setiap suku tahun, pertemuan tetap tidak selalu meningkatkan penilaian, kerana faktor seperti harga saham, kecairan pasaran, dan sentimen pasaran turut mempengaruhi penilaian, kata SAC.
Untuk mengurangkan perbezaan dan menyelaraskan jangkaan, syarikat progresif menyesuaikan penglibatan mengikut jenis pelabur, pegangan, dan jangka masa, bagi memastikan interaksi yang lebih strategik.
Penglibatan merapatkan jurang maklumat, membina keyakinan, dan boleh memberi kesan positif terhadap penilaian, kos modal, dan potensi pertumbuhan, kata pengarah eksekutif bahagian kewangan korporat dan pendedahan MAS, Encik Kee Rui Xiong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg