Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) semakin mendapat perhatian sebagai destinasi pelaburan yang menarik buat syarikat yang sebelum ini tidak memerhatikan kedua-dua pasaran tersebut secara berasingan.
Zon itu juga boleh menjadi pemangkin bagi syarikat Singapura dan Malaysia meluaskan kehadiran mereka di rantau ini.
Dalam sesi dialog pada hari terakhir Sidang Kemuncak Masa Depan Asia (Asia Future Summit) 2025 di Hotel The Ritz-Carlton, Millenia Singapore, para anggota panel menekankan bagaimana JS-SEZ berpotensi menjadi pemangkin utama dalam membentuk landskap pelaburan masa depan Asia Tenggara, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Pengarah Pejabat Program JS-SEZ di Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Cik Esther Teo, berkata gabungan Johor dan Singapura di bawah satu zon telah menghasilkan tawaran nilai yang lebih menarik bagi syarikat global.
Menurutnya, inisiatif ini membantu EDB memperluas jangkauan kepada pelabur daripada sektor yang sebelum ini tidak diterokai.
“Apabila kedua-dua pasaran digabungkan, ia mewujudkan daya tarikan baru yang lebih luas dan memberi kami peluang untuk berhubung dengan lebih banyak perniagaan,” ujarnya.
Dalam separuh pertama 2025, Johor mencatat pelaburan berjumlah RM56 bilion ($17.2 bilion), didorong terutamanya oleh inisiatif seperti JS-SEZ.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, bersikap optimis bahawa negeri itu mampu mencapai sasaran pelaburan RM100 bilion menjelang akhir 2025.
Beliau menggesa syarikat Malaysia dan Singapura agar menilai semula strategi ekonomi mereka dengan memberi lebih tumpuan kepada pasaran Asean yang sedang berkembang pesat.
Dari sudut sektor swasta, kisah kejayaan turut dikongsi oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Q & M Dental Group (Singapura), Dr Ng Chin Siau.
Syarikatnya baru-baru ini memperoleh dana sebanyak $130 juta untuk memperluas operasi di Singapura, Johor dan China.
Q & M kini mempunyai 37 cawangan di Malaysia, termasuk 17 di Johor dan sembilan dalam kawasan JS-SEZ.
“Johor Selatan akan menjadi kawasan penting bagi kami untuk membina kemudahan yang lebih baik dan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk Johor, tetapi juga pesakit dari Singapura dan seluruh Malaysia,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa dengan pelaksanaan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS Link), akses rentas sempadan akan menjadi lebih mudah, lantas meningkatkan potensi ekonomi dan sosial kedua-dua wilayah.
“Apabila prasarana Johor Selatan siap sepenuhnya, kesannya akan sangat besar bagi masyarakat di kedua-dua belah sempadan,” katanya.
Ketua Eksekutif OCBC Malaysia, Encik Tan Chor Sen, pula menekankan bahawa kedudukan geografi JS-SEZ yang berhampiran dengan pusat kewangan seperti Singapura menjadikannya pilihan utama untuk pelabur.
Menurut beliau, separuh daripada syarikat yang berminat untuk melabur di zon tersebut datang dari China.
Ini membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi Johor-Singapura sebagai hab serantau baru.
Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Negeri Johor, Datuk Seri Utama Hasni Mohammad, menegaskan bahawa kedua-dua wilayah mempunyai kekuatan tersendiri.
Singapura sesuai berfungsi sebagai pusat bagi operasi ibu pejabat dan penyelidikan, manakala Johor menawarkan kelebihan dari segi kos.
Cik Teo turut menjelaskan bahawa Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia-Johor boleh membantu mengurangkan halangan birokrasi dan mempercepat urusan pelabur rentas sempadan.
“Kami juga bekerjasama untuk membina saluran bakat bagi syarikat di zon ini.
“Langkah-langkah kecil ini diharapkan dapat memperkukuh daya saing dan nilai tambah yang kami tawarkan,” tambahnya.
Dengan visi bersama yang semakin jelas, JS-SEZ bukan hanya sebuah projek ekonomi, malah menjadi jambatan baru yang menghubungkan peluang, bakat dan masyarakat di kedua-dua sisi Tambak Johor.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg