Lebih banyak syarikat tersenarai di Singapura kini mempunyai ahli lembaga pengarah yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 peratus wanita berbanding lima tahun lalu, menurut hasil satu kajian yang dikeluarkan pada 20 Januari.
Namun peratusan lembaga yang mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga pengarahnya daripada budaya bukan majoriti jatuh.
Ini antara penemuan Indeks Kepelbagaian Lembaga 2025, yang dibangunkan oleh Institut Pengarah Singapura (SID) dengan firma penasihat global WTW dan Universiti James Cook.
Kajian itu mendapati kebanyakan lembaga pengarah syarikat kini mempunyai campuran yang lebih besar, berbanding kajian terdahulu pada 2020, lapor The Straits Times (ST).
Lapan ciri telah dipantau: umur, jantina, pengalaman perusahaan, domain atau kepakaran fungsi, pengalaman antarabangsa, etnik budaya, kebebasan lembaga pengarah dan tempoh jawatan pengarah.
Kajian terbaru itu melihat pendedahan awam daripada 553 syarikat, seperti laporan tahunan, tapak web dan biografi pengarah mereka, pada September 2024.
Syarikat-syarikat ini termasuk amanah pelaburan hartanah dan syarikat tersenarai Catalist.
Ketua Eksekutif SID, Encik Terence Quek, berkata: “Kami berbesar hati melihat kemajuan yang dibuat oleh syarikat yang ditinjau sejak laporan terakhir pada 2020.
“Penemuan Indeks Kepelbagaian Lembaga 2025 menunjukkan kemajuan dan cabaran yang masih ada.
“Ia menekankan nilai yang tidak dapat dinafikan yang dibawa oleh kepelbagaian kepada bilik lembaga pengarah: keupayaan membuat keputusan yang dipertingkatkan, inovasi dan daya tahan dalam menghadapi kerumitan.”
Lembaga-lembaga pengarah mencapai kemajuan yang ketara dalam peratusan ahli wanita.
Bilangan firma dengan lembaga pengarah di mana wanita membentuk 30 peratus hingga 70 peratus pengarahnya meningkat daripada 8 peratus pada 2020 kepada 17 peratus pada 2025.
Sebanyak 36 peratus lembaga pengarah tidak mempunyai wanita sama sekali dalam kajian terbaru itu, berbanding 49 peratus pada 2020.
Majlis Kepelbagaian Lembaga Pengarah telah menetapkan sasaran untuk 100 syarikat tersenarai teratas di Singapura mempunyai sekurang-kurangnya 25 peratus penyertaan wanita dalam lembaga pengarah menjelang 2025, dengan sasaran untuk meningkatkannya kepada 30 peratus menjelang 2030.
Terdapat juga peningkatan dalam bilangan ahli lembaga pengarah di mana sekurang-kurangnya 75 peratus daripada pengarahnya adalah bebas, daripada 9 peratus syarikat tersenarai pada 2020 kepada 13 peratus pada 2025.
Pengarah urusan WTW dan pemimpin amalan sejagat, Encik Shai Ganu, berkata: “Peraturan sembilan tahun nampaknya telah membantu meningkatkan kepelbagaian dalam lembaga pengarah Singapura.
“Tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan, terutamanya untuk syarikat bermodal kecil dan dalam senarai Catalist.”
Peraturan penyenaraian baru yang dilaksanakan mulai 2024 itu menyatakan bahawa pengarah yang telah menduduki kerusi lembaga pengarah dalam syarikat yang sama lebih daripada sembilan tahun tidak lagi dianggap bebas.
Syarikat terpaksa melaraskan lembaga mereka menjelang April 2024.
Encik Ganu berkata: “Adalah penting bagi lembaga pengarah untuk memastikan bahawa mereka mempunyai kepelbagaian kognitif – iaitu kepelbagaian pemikiran, perspektif dan pengalaman untuk meningkatkan mutu perbincangan bilik mesyuarat.”
Lebih banyak lembaga juga mempunyai gabungan pelbagai pengetahuan domain dan kepakaran perusahaan.
Peratusan syarikat dengan ahli lembaga pengarah yang mewakili lima atau lebih bidang pengetahuan domain yang berbeza meningkat daripada 14 peratus pada 2020 kepada 29 peratus dalam kajian terbaru itu.
Bagaimanapun, kepelbagaian budaya lembaga pengarah syarikat tersenarai Singapura semakin merosot.
Peratusan lembaga pengarah yang mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga pengarah daripada budaya bukan majoriti jatuh daripada 18 peratus pada 2020 kepada 14 peratus pada 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg