Parti Tindakan Rakyat (PAP) melancarkan manifestonya bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada 17 April, seminggu sebelum Hari Penamaan Calon.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang mengetuai kempen pilihan raya pertama beliau sebagai Setiausaha Agung PAP, menyifatkan manifesto tersebut sebagai janji parti itu kepada seluruh rakyat Singapura.
“Ia adalah hala tuju kita untuk mengharungi dunia yang kian berubah,” katanya semasa majlis pelancaran manifesto itu.
“Kami menampilkan satu pasukan baru untuk menangani pelbagai cabaran yang mendatang, dan kami bersedia untuk berkhidmat kepada semua rakyat Singapura dengan azam yang diperbaharui,” tambahnya.
Dengan meneruskan asas kukuh yang dibina oleh generasi terdahulu, Encik Wong berkata beliau berazam untuk memastikan keajaiban Singapura terus berlanjutan, dan meminta mandat daripada rakyat Singapura untuk memenuhi keperluan mereka, di samping terus memajukan negara ini dalam dunia yang kini kian berubah.
Berikut adalah ringkasan cadangan utama daripada manifesto PAP, dengan slogan, ‘Dunia Berkisar, Barisan Segar, Azam Berkobar – Demi Masa Depan Yang Lebih Cerah Untuk Anda’.
Penggal pilihan raya lalu bermula ketika kemuncak pandemik Covid-19, dan pemerintah telah bertindak pantas untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, contohnya, dengan memperkenalkan Skim Bantuan Pekerjaan (JSS), dan Skim Pelepasan Pendapatan bagi Individu Bekerja Sendiri (Sirs), menurut PAP.
Sejak itu, pertumbuhan telah pulih dan ekonomi Singapura berkembang sebanyak 4.4 peratus pada 2024, lapor The Straits Times.
PAP menyatakan bahawa ia akan membangunkan sebuah ekonomi dinamik yang dapat menjana pekerjaan dan peluang untuk semua.
Ia akan turut menyediakan lebih banyak sokongan bagi golongan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), serta memupuk lebih ramai pemimpin korporat Singapura.
Untuk memastikan persaingan yang adil dalam pasaran pekerjaan, pemerintah PAP akan memperkukuh perlindungan bagi pekerjaan yang adil, termasuk menerusi Akta Keadilan Di Tempat Kerja.
Pemerintah telah melaksanakan langkah besar untuk mengurangkan tekanan pendidikan dan mengubah suai pembelajaran sepanjang lima tahun lalu, kata PAP.
Ini termasuk menggantikan sistem aliran dengan Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB), dan menggantikan sistem skor-T Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dengan band pemarkahan lebih luas.
Selain itu, ia juga meniadakan peperiksaan pertengahan tahun di maktab rendah secara berperingkat.
Singapura turut menghadapi tekanan kos akibat peperangan dan gangguan rantaian bekalan.
Namun, rakyat Singapura telah menerima bantuan meluas untuk menangani inflasi yang meningkat, kata PAP.
Pakej Jaminan $10 bilion turut membantu mengurangkan kesan kenaikan kadar Cukai Barangan dan Prkhidmatan (GST) bagi kebanyakan isi rumah Singapura.
Isi rumah di sini akan terus menerima bantuan bagi perbelanjaan sara hidup mereka, seperti baucar CDC, bayaran tunai dan rebat bil api air, selagi perlu, kata PAP.
Ibu bapa akan terus menikmati cuti ibu bapa lebih panjang, dan yuran prasekolah lebih rendah, manakala keluarga besar turut menerima sokongan yang dipertingkat baru-baru ini.
Golongan warga emas pula dibantu dengan skim seperti Pakej Majulah bernilai $7 bilion, yang membantu mereka yang lahir pada 1973 atau sebelum itu, untuk menambah simpanan persaraan mereka.
Untuk membantu warga emas yang ingin terus bekerja, PAP akan meningkatkan umur bekerja semula, dan meningkatkan kadar caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi pekerja warga emas.
Bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin tua, rakyat Singapura telah menerima tokokan MediSave, manakala MediFund pula ditambah sebanyak $1.5 bilion pada 2023 untuk membantu para pesakit kurang berkemampuan.
Perlindungan insurans juga diperluaskan untuk merangkumi lebih banyak rawatan, manakala subsidi disediakan untuk membantu pembayaran premium insurans.
Pemerintah akan turut meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan dan mengurangkan masa menunggu, dengan menambah lagi 13,600 katil di sistem penjagaan kesihatan menjelang 2030.
PAP menyatakan ia berada di landasan untuk melancarkan sebanyak 100,000 flat antara 2021 dengan 2025 seperti yang dijanjikan; manakala langkah seperti undi tambahan bagi keluarga dan pasangan muda yang ingin membeli rumah pertama mereka, dan Geran Perumahan CPF yang dipertingkat telah membantu rakyat Singapura memiliki rumah.
Bandar lebih hijau
PAP berkata ia komited untuk terus mengurangkan pelepasan karbon untuk mencapai sasaran sifar bersih Singapura menjelang 2050.
Seni, budaya dan sukan
Untuk membawa seni, budaya dan sukan di Singapura ke tahap lebih tinggi, program pendedahan awal seni akan diperkenalkan di sekolah dan prasekolah.
Selain itu, lebih banyak latihan amali dan biasiswa seni akan turut ditawarkan.
“
Ia adalah hala tuju kita untuk mengharungi dunia yang kian berubah. Kami menampilkan satu pasukan baru untuk menangani pelbagai cabaran yang mendatang, dan kami bersedia untuk berkhidmat kepada semua rakyat Singapura dengan azam yang diperbaharui.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg