Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kakitangan Twelve Cupcakes terima sokongan kewangan, kerjaya dari kesatuan sekerja

Nov 5, 2025 | 3:19 PM
twelve cupcakes, ntuc
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Kesatuan Gabungan Pekerja-Pekerja Minuman dan Makanan (FDAWU) bertemu bekas kakitangan Twelve Cupcakes pada 4 November untuk menawarkan sokongan kewangan dan kerjaya, serta berkongsi peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti makanan dan minuman (F&B), runcit dan hospitaliti. - Foto ST

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan kesatuan gabungannya, Kesatuan Gabungan Pekerja-Pekerja Minuman dan Makanan (FDAWU), pada 4 November, telah bertemu dengan bekas kakitangan Twelve Cupcakes untuk menawarkan sokongan kewangan dan kerjaya.

Kesatuan itu berkongsi senarai syarikat yang sedang mengambil pekerja dalam pelbagai sektor, termasuk makanan dan minuman (F&B), runcit dan hospitaliti, dengan pekerja yang terjejas dalam satu pertemuan di FDAWU Tower di River Valley Road, lapor The Business Times (BT).

Anggota kesatuan pula diberi baucar pasar raya bernilai antara $150 dengan $200 setiap seorang, manakala bukan anggota kesatuan tidak menerima sebarang baucar, kata seorang wakil NTUC kepada BT.

Dengan penutupan mendadak rangkaian bakeri itu, gaji pekerjanya tertunggak. 

Dalam mesyuarat pada 4 November, wakil NTUC dan FDAWU memberi panduan kepada pekerja tentang cara membuat tuntutan, dan menyediakan maklumat kepada pihak pengurus aset.

“Kami masih menunggu (mesyuarat dengan) pihak pengurus aset pada 26 November berkenaan tuntutan (berkenaan gaji) kami,” kata seorang bekas pekerja Twelve Cupcakes, Cik Josephine Janopol, 34 tahun. 

“Tiada jaminan, tetapi kami berharap dapat menuntut semula apa-apa jumlah yang boleh,” tambahnya.

Para pekerja itu dijangka menerima e-mel pada 6 November, yang akan mengesahkan waktu mesyuarat dalam talian melalui Zoom dengan pihak pengurus aset.

Pada masa ini, ada antara pekerja itu terpaksa meminjam wang daripada rakan dan keluarga untuk membayar sewa kediaman mereka, manakala yang lain meminta lanjutan pembayaran, atau sekadar berpindah keluar.

“Sewa saya $750 sebulan – buat masa ini, saya telah dapat bayar kira-kira separuh jumlah itu (untuk Oktober),” kata Cik Janopol, yang memegang pas lawatan jangka panjang. 

“Tetapi duit ini datang daripada gabungan pinjaman dan wang daripada barang yang saya jual untuk bertahan,” ujarnya.

Bekas pengurus cawangan Twelve Cupcakes, Encik Parmjeet Sharma, 37 tahun, berkata ada kakitangan yang menjual barang peribadi kepada rakan atau anggota keluarga, terutamanya untuk menampung kos sewa mereka.

“Ramai pekerja kini mendapatkan wang yang diperlukan dengan menjual barang kemas atau emas kepada kedai pajak gadai,” katanya.

Satu kebimbangan besar ketika ini adalah sama ada tempoh 30 hari (untuk pemegang Pas S) atau tujuh hari (untuk pemegang permit kerja) cukup bagi pekerja mencari pekerjaan baru.

“Masalah ini memang memberi tekanan kepada kami semua,” kata Encik Sharma.

“Jika kami tidak dapat mencari pekerjaan dalam tempoh ini, kami semua perlu pulang (ke negara asal).”

BT telah menghantar pertanyaan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengenai kemungkinan lanjutan visa pekerja asing diberikan atas dasar kemanusiaan kepada pekerja tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg