Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jollibean disiasat MOM, setuju bayar gaji tertunggak kepada pekerja

Jul 13, 2025 | 3:48 PM
Pekerja di Singapura yang tidak dibayar gaji tepat pada masa boleh membuat tuntutan mereka melalui Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian (TADM).
Pekerja di Singapura yang tidak dibayar gaji tepat pada masa boleh membuat tuntutan mereka melalui Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian (TADM). - Foto ST

Syarikat yang menjual susu kacang soya Jollibean telah bersetuju membayar gaji tertunggak kepada 22 pekerjanya secara ansuran, dengan syarikat itu sedang disiasat Tenaga Manusia (MOM) atas kesalahan di bawah Akta Pekerjaan.

Tribunal Tuntutan Pekerjaan (ECT) juga telah mengarahkan Jollibean Foods untuk membayar gaji kepada tiga pekerja, manakala empat kes lain sedang dalam proses pengantaraan atau menunggu keputusan ECT.

Ini membawa jumlah pekerja yang menerima bantuan berkenaan gaji tertunggak kepada 29 orang, kata Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian (TADM) dan MOM, dalam respons kepada pertanyaan The Straits Times (ST).

Agensi-agensi tersebut memberi respon kepada laporan mengenai gaji yang tidak dibayar atau yang dibayar lewat sejak Disember 2024.

MOM akan terus memberi bantuan kepada pekerja yang terjejas, kata TADM dan MOM dalam kenyataan bersama tersebut.

“Kami ingin mengingatkan majikan agar membayar gaji dan sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) tepat pada waktunya kepada pekerja mereka.”

Mereka menambah bahawa pekerja di Singapura yang tidak dibayar gaji tepat pada waktunya boleh membuat tuntutan kepada TADM, yang akan membantu pekerja sama ada melalui pengantaraan atau merujuk kes ke ECT. 

ECT mempunyai kuasa undang-undang untuk mengarahkan majikan membayar gaji yang tertunggak.

Pekerja yang memerlukan bantuan boleh menghubungi TADM di tal.sg/tadm/contact-us.

Pengarah Jollibean Foods, Encik Shahrul Nazrin Mohd Dahlan, dilaporkan berkata syarikat itu kini mempunyai pemilik baru dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu gaji menjelang akhir Julai.

Seorang kakitangan kaunter yang ditemui oleh ST pada 11 Julai berkata gajinya untuk Mei dan Jun belum dibayar, dan gajinya untuk Disember 2024 telah tertunda selama kira-kira tiga minggu.

Beliau terpaksa menggunakan simpanannya untuk membayar sewa dan perbelanjaan peribadi, katanya, sambil menambah bahawa staf barisan hadapan lain juga masih menunggu gaji dibayar.

“Tiada sebarang isyarat awal. Ia lebih melegakan jika pengurusan sekurang-kurangnya memberi amaran bahawa syarikat sedang menghadapi kesukaran tetapi berharap keadaan akan pulih di bawah pemilik baru,” kata pekerja tersebut.

Peguam pekerjaan, Cik Goh Seow Hui, memberitahu ST bahawa pekerja mengambil risiko jika mereka terus bekerja sedangkan gaji mereka belum dibayar, walaupun syarikat yang menggajikan mereka berjanji membuat bayaran selepas pemiliknya berubah.

“Janji majikan tidak perbaiki kedudukan undang-undang pekerja. Jika terdapat peluang alternatif yang lebih baik, pekerja sebaik-sebaiknya meletak jawatan dan membuat tuntutan undang-undang untuk mendapatkan gaji yang tertunggak,” kata Cik Goh, seorang rakan kongsi di Bird & Bird ATMD.

Proses peralihan pemilikan yang sedang berlangsung tidak boleh dijadikan alasan yang sah bagi gaji yang tertunggak, kata beliau lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg