Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NTUC: Agoda akui tidak wajar sekat akses pekerja kepada kesatuan, pihak berkuasa

Sep 20, 2025 | 1:20 PM
agoda, buang pekerja
Dalam dokumen pampasan yang tersebar di media sosial, kakitangan Agoda diarahkan supaya tidak melaporkan pemberhentian tersebut kepada agensi pemerintah, badan berkanun dan kesatuan sekerja. - Foto ST

Platform pelancongan dalam talian, Agoda berkata ia akur majikan tidak seharusnya mendorong kakitangan supaya tidak mendapatkan bantuan daripada kesatuan sekerja dan agensi pemerintah, kata pergerakan pekerja.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan lewat 19 September, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Kesatuan Pekerja Perkhidmatan dan Industri Singapura (Siseu) berkata mereka telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan Agoda.

“Menerusi perbincangan itu… Agoda akur adalah tidak wajar bagi majikan mengadakan peruntukan yang menyekat atau tidak menggalak pekerja daripada mendapatkan bantuan daripada kesatuan sekerja, agensi pemerintah atau badan berkanun dalam apa jua keadaan,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan berasingan pada 19 September, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata majikan tidak sepatutnya menghalang kakitangan yang diberhentikan daripada menghubungi kesatuan atau pihak berkuasa, jika mereka mempunyai keprihatinan nyata.

Kenyataan-kenyataan ini dibuat menyusuli langkah pemberhentian kira-kira 50 pekerja oleh Agoda di Singapura pada awal September.

Pemberhentian pekerja itu merupakan sebahagian daripada langkah penstrukturan semula global yang lebih besar oleh Agoda yang mempunyai ibu pejabat di sini.

Dalam dokumen pemberhentian yang tersebar di media sosial, kakitangan terjejas diarahkan supaya tidak melaporkan pemberhentian kerja kepada MOM, Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (Tafep), agensi pemerintah, badan berkanun dan kesatuan sekerja.

Menurut dokumen itu, kakitangan yang berbuat demikian akan kehilangan faedah pampasan mereka.

Ia turut menambah bahawa kakitangan yang diberhentikan dan cuba membuat tuntutan terhadap Agoda akan menanggung kos yang ditanggung syarikat akibat tindakan tersebut.

Keputusan itu telah menarik kritikan meluas daripada orang ramai, termasuk beberapa ahli politik.

“Memang menambah sakit hati apabila anda memberitahu kakitangan bahawa mereka tidak lagi mempunyai pekerjaan, dan kemudian memberitahu mereka bahawa faedah pampasan mereka akan ditarik jika mereka menghubungi MOM dan Tafep,” kata Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Encik Shawn Loh.

MOM berkata dalam kenyataannya bahawa pemberhentian kerja menimbulkan keadaan sukar dan tekanan emosi ke atas pekerja terjejas.

“NTUC, Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) serta Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) bersedia memberikan sokongan kepada pekerja melalui program kami, termasuk pemadanan pekerjaan dan bimbingan kerjaya,” kata MOM.

Ia menambah, “meskipun majikan boleh membuat perjanjian pampasan dengan pekerja yang diberhentikan, mereka tidak sepatutnya menghalang pekerja daripada menghubungi pihak berkuasa dan kesatuan sekerja, sekiranya pekerja itu mempunyai keprihatinan nyata”.

“Majikan mesti menegakkan semangat amalan pekerjaan yang adil dan progresif, terutama ketika proses perubahan besar dalam tenaga kerja seperti pemberhentian pekerja.”

Dalam kenyataan terkini itu, NTUC dan Siseu berkata susulan langkah pemberhentian itu, Agoda telah berurusan dengan kesatuan sekerja dan agensi pemerintah.

“Kami merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Agoda kerana mengambil pendekatan proaktif dalam berhubung dengan NTUC, Siseu dan pemerintah, serta atas ketelusan mereka dalam berkongsi maklumat mengenai langkah pemberhentian ini.”

Kenyataan itu menambah bahawa pakej pampasan yang diberikan adalah selaras dengan norma pasaran dan mengikut garis panduan industri.

Agoda juga telah membuat komitmen untuk bekerjasama rapat dengan pergerakan buruh bagi menyokong pekerja terjejas, sepanjang tempoh peralihan mereka, menurut NTUC dan Siseu.

“Siseu sedang menghubungi ahli kesatuan dan pekerja terjejas untuk memberikan panduan serta sokongan sepanjang tempoh peralihan ini,” menurut kenyataan itu.

Undang-undang Singapura tidak mewajibkan bayaran pampasan, namun ia disyorkan di bawah Garis Panduan Tiga Pihak bagi Pengurusan Tenaga Kerja Berlebihan dan Pemberhentian Bertanggungjawab. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg