Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura akan labur lebih $100j bagi penyelidikan maritim dalam 5 tahun
S’pura akan labur lebih $100j bagi penyelidikan maritim dalam 5 tahun
Jeffrey Siow: Pelan Hala Tuju Teknologi dan Penyelidikan Maritim S’pura akan pandu inovasi masa hadapan
S’pura akan labur lebih $100j bagi penyelidikan maritim dalam 5 tahun
Lebih $100 juta akan diketepikan dalam tempoh lima tahun akan datang untuk membiayai penyelidikan dan pembangunan dalam sektor maritim di bawah satu pelan induk baru, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.
Mengumumkan perkara itu pada majlis pembukaan Minggu Maritim Singapura pada 21 April, Encik Siow berkata Pelan Hala Tuju Teknologi dan Penyelidikan Maritim Singapura terbaru akan memandu inovasi masa hadapan dalam bidang seperti operasi pelabuhan autonomi, bahan api alternatif dan kapal bijak.
Minggu Maritim Singapura yang diadakan setiap tahun berlangsung dari 20 hingga 24 April di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec, mengumpulkan lebih 20,000 peserta dari hampir 80 negara.
Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata dalam satu kenyataan pada 21 April bahawa pelan hala tuju baru itu, yang dibangunkan berdasarkan edisi awal 2019, memberi tumpuan kepada penterjemahan penyelidikan kepada penyelesaian yang boleh digunakan.
Ia akan mengutamakan kemajuan teknologi digital, sokongan untuk kaedah penyahkarbonan praktikal, serta integrasi lebih baik merentasi operasi pelabuhan dan perkapalan.
Pelan induk itu juga akan menangani kekangan struktur seperti keperluan tenaga kerja, serta had ruang di darat dan di laut, ujar MPA.
Pelan hala tuju itu dibangunkan selepas rundingan dengan pihak industri dan masyarakat penyelidikan.
MPA menyatakan pelaburan lebih $100 juta itu akan menambah kepada lebih $500 juta dana yang telah diagihkan ke dalam penyelidikan dan pembangunan maritim di sini selama dua dekad lalu.
Encik Siow turut mengumumkan pembangunan OCEANS-X, satu platform MPA untuk membolehkan pertukaran data antara pengawal selia, pengendali pelabuhan, syarikat perkapalan dan rakan kongsi antarabangsa lain.
Platform itu akan membolehkan pelbagai sistem maritim bekerja bersama, menghubungkan pengguna terus kepada perkhidmatan digital dan data, tambahnya.
Dengan memuatkan lebih 100 set data, platform itu boleh, sebagai contoh, memudahkan perkongsian lokasi sesebuah kapal di perairan Singapura bagi membolehkan pengendali bot perkhidmatan bertolak dari pelabuhan tepat pada masanya untuk menemui kapal dengan selamat.
Syarikat dan ejen perkapalan juga boleh menghubungkan sistem dalaman atau sistem pihak ketiga mereka kepada OCEANS-X, supaya dokumen dan sijil yang diperlukan untuk pelepasan pelabuhan dapat dihantar terus kepada MPA.
“Ini menjimatkan masa, mengurangkan kesilapan dan membolehkan kapal memasuki Pelabuhan Singapura dengan lebih cekap,” kata MPA.
Sistem sambungan sistem-ke-sistem yang selamat pada platform itu akan membolehkan syarikat maritim dan agensi pemerintah bertukar data yang boleh dipercayai secara terus.
Ini akhirnya akan membolehkan perkhidmatan digital bersepadu, operasi pelabuhan yang lebih cekap, aliran perdagangan lebih lancar dan hubungan lebih kukuh dengan pelabuhan global, tambah MPA.
Encik Siow berkata di sebalik cabaran yang dihadapi industri maritim, ia mesti melabur dalam keupayaan baru.
Salah satu cabaran tersebut ialah ancaman siber yang berkembang lebih pantas daripada pertahanan yang dibina untuk menghadapinya.
Pada masa sama, kecerdasan buatan (AI) berkembang lebih cepat daripada kadar penggunaannya dalam industri, kata beliau.
Walaupun peralihan kepada bahan api alternatif dalam sektor maritim sedang berjalan, Encik Siow menyatakan bahawa teknologi, infrastruktur ‘bunkering’ (bahan api kapal) dan rangka kerja kawal selia “masih berpecah-belah”.
Dalam aspek AI, MPA dan Persatuan Perkapalan Singapura (SSA) menandatangani perjanjian pada 21 April untuk menyokong syarikat maritim dalam melaksanakan sistem sedemikian merentasi fungsi utama, termasuk operasi perkapalan dan ‘bunkering’, serta melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan.
