Hab maritim seperti Singapura sangat penting dalam memastikan perdagangan terus berjalan ketika gangguan di Selat Hormuz memberi kesan berangkai kepada ekonomi sejagat, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, pada 21 April.

Krisis di laluan perkapalan yang sempit itu bukan sekadar isu serantau, malah merupakan satu “kejutan sistemik” yang memberi kesan kepada harga tenaga, kos pengangkutan serta rantaian pengeluaran.

Demikian kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, ketika menyampaikan Ceramah Maritim Singapura (SML) di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapore.

Encik Gan memberitahu hadirin pada pembukaan acara tahunan Minggu Maritim Singapura bahawa hab maritim memainkan peranan dalam memberi kestabilan, dengan mengekalkan ketersambungan dalam persekitaran yang tidak menentu.

Kekangan yang sedang berlaku di Timur Tengah, tambah beliau, telah menyerlahkan kepentingan hab maritim yang mampu menawarkan kelenturan, sekali gus membolehkan perdagangan dialihkan dengan pantas dan cekap.

Pelabuhan Singapura adalah salah satu contoh hab maritim sedemikian, kata Encik Gan, sambil menarik perhatian ia merupakan pelabuhan pemunggahan paling sibuk di dunia dan terhubung dengan lebih 600 pelabuhan lain di serata dunia.

Apabila Pelabuhan Tuas siap sepenuhnya pada 2040-an, ia akan membolehkan Singapura mengendalikan jumlah kontena lebih besar, memperkukuh ketersambungan pelabuhan, serta membolehkan negara bertindak terhadap sebarang gangguan dengan lebih berkesan, jelas Encik Gan.

“Dalam dunia yang semakin tidak menentu, ketersambungan sedemikian bukan sekadar satu aset ekonomi. Ia adalah aspek penting dalam daya tahan, bukan sahaja untuk diri kita, malah untuk seluruh dunia,” kata Encik Gan.

Selain ketersambungan fizikal, hab maritim juga akan mencorak piawaian bagi masa depan perdagangan melalui laut, terutama dalam bidang pendigitalan dan penyahkarbonan.

Dengan berbuat demikian, ia akan memastikan “sistem maritim generasi seterusnya kekal terbuka, boleh beroperasi secara bersama, dan terhubung”.

Ini seterusnya memberi kejelasan kepada para pelabur dalam membuat keputusan pelaburan dan membolehkan penyelarasan rentas sempadan, serta mengelakkan perpecahan, tambah Encik Gan.

Selain bergantung kepada prasarana, industri perkapalan turut bergantung kepada keyakinan terhadap asas tertentu, seperti mematuhi kerangka antarabangsa dan memastikan peraturan dilaksana secara tekal, jelas Encik Gan.

Ekosistem maritim Singapura dibina atas asas seperti kedaulatan undang-undang yang teguh, serta tadbir urus yang telus, kata beliau.

Encik Gan menegaskan negara itu terus menjadi “pendukung teguh” Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos), yang menetapkan hak laluan transit melalui selat yang digunakan untuk pelayaran antarabangsa.

Beliau menambah, Singapura kekal komited mendukung Unclos sebagai kerangka perundangan bagi hak dan kebebasan pelayaran dalam ruang maritim.

Perkara itu sangat penting bagi kelangsungan Singapura sebagai hab maritim dan juga penting kepada negara lain yang bergantung kepada ketersambungan maritim serta perdagangan, tambah Encik Gan.

Keadaan tidak menentu berkaitan Selat Hormuz menjadi peringatan jelas tentang kebergantungan ekonomi sejagat terhadap beberapa titik genting, serta peranan kerangka dan norma antarabangsa dalam mengekalkan sistem maritim berasas peraturan, kata Encik Gan.

Gangguan tersebut juga merupakan peringatan ketersambungan tidak terjamin dan perlu dikekalkan, diperkukuh serta dibina semula apabila perlu, tambah beliau.

“Pada tahun-tahun mendatang, persoalannya bukan sama ada kejutan akan berlaku atau tidak.

“Persoalannya adalah sama ada sistem kita mampu menyerap kejutan tersebut dan terus berfungsi dengan baik,” kata Encik Gan.

“Itulah tugas yang menanti kita – dan kita mesti menanganinya dengan keazaman, kerjasama, serta komitmen bersama untuk memastikan dunia kekal terhubung.”