Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Katerer butik The Plattering Co sediakan makanan halal

Oct 23, 2025 | 3:55 PM
Cater Wow, The Plattering Co
Pengasas yang menubuhkan The Plattering Co pada 2018, (dari kiri) Cik Yasmin Sim, Cik Pearl Chan, dan Cik Jessica Lim. - Foto BT

Katerer butik, The Plattering Co, yang terkenal dengan meja makanan artisanal dan persembahan visualnya, telah melancarkan jenama halal Cater Wow.

Ini menandakan kemasukan syarikat itu ke dalam bidang katering halal, langkah yang membolehkan mereka memenuhi keperluan lebih banyak pelanggan korporat, termasuk agensi awam, lapor akhbar The Business Times (BT).

Pengasas bersama syarikat itu, Cik Jessica Lim, berkata ia adalah langkah yang “semula jadi”, kerana ramai pelanggan The Plattering Co meminta makanan halal. 

“Namun, kami terpaksa minta rakan industri uruskannya, atau menolak pesanan itu,” tambahnya.

Cawangan baru itu beroperasi di bawah Singapore Food Services, sebuah entiti berasingan yang ditubuhkan oleh pengasas itu pada 2025 untuk menguruskan operasi halal dan satu perniagaan “makanan-sebagai-perkhidmatan”.

“Kami mahu mengekalkan entiti ini untuk perkhidmatan yang berkaitan dengan halal sepenuhnya,” kata Cik Lim. 

Beliau menambah bahawa dengan kemudahan itu, mereka mahu berkembang dalam aspek menawarkan makanan sebagai perkhidmatan dengan membantu peniaga lebih kecil menghasilkan makanan bemutu tanpa perlu dapur pusat sendiri.

Sebagai contoh, ia akan menghasilkan produk makanan siap dimakan (’ready-to-eat’) atau sudah diperap untuk perniagaan yang ingin berkembang tanpa perlu membuat pelaburan modal besar.

Para pengasas syarikat itu telah melaburkan kira-kira $3 juta untuk membina dan melengkapkan satu kemudahan pengeluaran halal di Bedok, yang seluas 10,000 kaki persegi, lima kali lebih besar daripada dapur sedia ada syarikat itu.

Pelaburan ini – yang dibiayai melalui gabungan keuntungan yang dikekal dan pinjaman bank – dijangka boleh didapatkan kembali dalam tempoh dua atau tiga tahun.

Jenama halal itu telah dilancarkan secara perlahan, dengan menu sudah tersedia bagi pelanggan yang mencari pilihan halal.

“Kini, apabila pelanggan mahu item halal, kami boleh katakan ‘ya’,” kata pengasas bersama, Cik Yasmin Sim, sambil menambah, operasi penuh akan bermula “dalam enam bulan”.

Perkembangan halal itu dibina atas perjalanan yang bermula dengan perniagaan jus kecil.

Pada 2014, Cik Sim bergabung dengan Cik Pearl Chan – pengasas bersama The Plattering Co – untuk menubuhkan Juix Up, satu jenama jus tekan sejuk. 

Apabila perniagaan itu tidak lagi dapat bertahan kerana kos tinggi, mereka berubah arah selepas seorang pelanggan korporat meminta mufin dan hidangan keju sebagai sampingan kepada jus mereka.

Pendekatan mereka – mengubah bufet korporat kepada hidangan yang menarik secara visual dengan papan kayu dan bunga segar – cepat mendapat perhatian.

Pada 2018, para pengasas itu menggunakan aliran tunai daripada Juix Up untuk membiayai The Plattering Co, dan kemudian menjual perniagaan jus itu bagi jumlah yang tidak didedahkan. 

Cik Lim, yang sebelum ini bekerja separuh masa dalam sebut harga dan pemasaran sambil berkhidmat di sebuah firma berbilang negara, menyertai syarikat itu sepenuh masa pada tahun yang sama.

Seperti banyak perniagaan makanan, The Plattering Co menghadapi banyak cabaran semasa pandemik Covid-19.

Pesanan korporat dibatalkan dalam sekelip mata, memaksa pasukan melancarkan kotak hidangan dan set hadiah untuk perayaan kecil di rumah. 

Selepas pandemik, pada 2022, hasil jualan meningkat kira-kira empat kali ganda berbanding tahap sebelum pandemik.

Dalam lima tahun terakhir, The Plattering Co telah mencatat kadar pertumbuhan tahunan kompaun sekitar 50 peratus.

Perniagaan itu menguntungkan setiap tahun kecuali pada 2020.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg