Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluhan peniaga makanan: Antara kos, tenaga kerja serta tekanan jadi ‘viral’

Sep 14, 2025 | 5:30 AM
the shakehouse, tutup, tessensohn road
The Shakehouse yang terletak di 33 Tessensohn Road, Farrer Park di Instagram baru-baru ini telah membuat pengumuman bahawa restoran mereka akan berhenti operasi pada Mac 2026. - Foto THE SHAKEHOUSE

Sedang beberapa perniagaan terkenal gulung tikar baru-baru ini, beberapa peniaga di sini berkata mereka terus dibayangi cabaran seperti kos sewa, isu pekerja dan perubahan cita rasa pelanggan.

Mereka juga akur faktor ‘virality’ atau pemasaran tular di media sosial tidak menjamin keupayaan restoran untuk terus bertahan.

Penutupan kedai biasanya merupakan gabungan pelbagai cabaran yang dihadapi, kata peniaga kepada Berita Minggu (BM).

Beban kos, isu pekerja 

“Kos sewa merupakan bahagian perbelanjaan paling tinggi dalam operasi perniagaan saya.

“Sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kos bulanan habis dibayar untuk sewa, diikuti dengan perbelanjaan bagi barangan dan kakitangan,” kongsi Encik Suhari Mustaffa, pemilik The Shakehouse.

The Shakehouse, yang terletak di Tessensohn Road, Farrer Park di Instagram baru-baru ini, telah membuat pengumuman bahawa restoran mereka akan tutup pada Mac 2026. 

Encik Mustaffa Kamal, pengasas The Black Hole Group yang juga anggota lembaga Dewan Perniagaan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) menjelaskan penutupan perniagaan makanan selalunya didorong oleh gabungan kos operasi yang tinggi dan corak pengguna yang berubah-ubah. 

“Sewa, utiliti dan tenaga kerja kekal sebagai tekanan kos terbesar, sementara pengambilan dan pengekalan pekerja terus menjadi cabaran yang berterusan,” terang Encik Mustaffa.

Pemilik restoran Pham Quyen, Encik Fahmy Nasir di luar salah satu cawangan kedai makanan mereka di Simpang Bedok yang ditutup pada Jun 2025.
Pemilik restoran Pham Quyen, Encik Fahmy Nasir di luar salah satu cawangan kedai makanan mereka di Simpang Bedok yang ditutup pada Jun 2025. - Foto ihsan FAHMY NASIR

Pemilik restoran Pham Quyen, Encik Fahmy Nasir, bersetuju dan menyuarakan kesukaran mendapatkan warga Singapura untuk bekerja di dalam industri makanan merupakan cabaran utama yang beliau hadapi. 

“Pemilik perniagaan makanan mahu melihat harga sewa turun agar kita dapat beri lebih banyak faedah kepada kakitangan, seperti masa kerja yang lebih pendek, atau menawarkan gaji yang lebih lumayan, supaya dapat tarik lebih ramai pekerja warga Singapura. 

“Dengan kuota pekerja asing yang ketat, peniaga makanan perlu mengambil lebih ramai pekerja Singapura. 

“Tetapi itulah, kalau pekerja Singapura, mereka lebih suka masa kerja yang lebih pendek.

“Mereka tidak mahu bekerja 12 hingga 16 jam lamanya. 

“Saya pernah cuba pendekkan masa kerja kakitangan saya, tetapi tidak dapat melaksanakannya lama kerana ia memberi kesan kepada perniagaan pula.” 

Pham Quyen yang terletak di Pasir Panjang Road, menyediakan makanan Vietnam halal serta baru-baru ini, telah menawarkan hidangan set nasi lemak di bawah jenama Lerrmak.

Pham Quyen menyediakan makanan Vietnam halal serta hidangan set nasi lemak di bawah jenama baru, Lerrmak di cawangan mereka yang terletak di Pasir Panjang.
Pham Quyen menyediakan makanan Vietnam halal serta hidangan set nasi lemak di bawah jenama baru, Lerrmak di cawangan mereka yang terletak di Pasir Panjang. - Foto PHAM QUYEN

Tingkah laku pelanggan berubah

Selain kos dan tenaga kerja, perubahan gaya hidup warga Singapura yang gemar berbelanja di luar negara, menjadi antara keresahan banyak peniaga. 

Encik Mustafa tidak menolak bahawa ia disebabkan mata wang Singapura yang kuat. 

“Dolar Singapura yang kukuh menggalakkan lebih ramai rakyat Singapura untuk berbelanja di luar negara, terutamanya untuk melancong dan menjamu selera.

“Ditambah dengan pasaran makanan tempatan yang sengit, banyak peniaga mendapati diri mereka dihimpit kenaikan kos, margin yang semakin menipis dan permintaan pasaran domestik yang lemah,” kata Encik Mustafa. 

Di samping itu, profil masyarakat Singapura, di mana rata-rata berkerjaya, membuatkan kehidupan di Singapura menjadi serba pantas dan keperluan harus tersedia di hujung jari. 

“Dengan jadual yang semakin sibuk, pelanggan mahu kemudahan. 

“Mereka lebih suka menempah makanan di aplikasi tempahan makanan dan ini merupakan antara faktor yang boleh mengurangkan jualan untuk restoran seperti kami.

“Sukar untuk kami sediakan tempahan, bayangkan menghantar daging stik kepada pelanggan anda?” luah Encik Mohamad Hafiz Salim Alkhatib, pengasas rangkaian restoran terkenal, The Malayan Council yang mempunyai lima cawangan di serata Singapura. 

Terbaru, Encik Hafiz telah membuka The Malayan Settlement di Clarke Quay yang menyajikan pelbagai sajian klasik Barat.

Encik Mohamad Hafiz Salim Alkhatib, pengasas rangkaian restoran terkenal, The Malayan Council yang mempunyai lima cawangan di serata Singapura serta yang terbaru, The Malayan Settlement yang terletak di Clarke Quay.
Encik Mohamad Hafiz Salim Alkhatib, pengasas rangkaian restoran terkenal, The Malayan Council yang mempunyai lima cawangan di serata Singapura serta yang terbaru, The Malayan Settlement yang terletak di Clarke Quay. - Foto ST

Pensyarah Kanan, Jabatan Pemasaran Sekolah Perniagaan, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Samer Elhajjar tidak menyangkal tentang perubahan profil penduduk Singapura yang berpendidikan tinggi, menyebabkan mereka menitikberatkan tentang nilai khasiat makanan yang diserap tubuh.

“Kesihatan dan kemampanan adalah pemacu yang lebih kuat daripada sebelumnya. 

“Pelanggan ingin mengetahui dari mana datangnya makanan mereka dan sama ada perniagaan bertindak secara bertanggungjawab,” jelas Dr Samer. 

Beliau turut menambah sejak pandemik Covid-19, pelanggan sangat mementingkan kebersihan dalam pengendalian makanan. 

Pensyarah Kanan, Jabatan Pemasaran Sekolah Perniagaan, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Samer Elhajjar.
Pensyarah Kanan, Jabatan Pemasaran Sekolah Perniagaan, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Samer Elhajjar. - Foto NUS

Peranan media sosial, dan faktor ‘viral’

Satu lagi penyumbang kepada tingkah laku pelanggan yang tidak dapat diketepikan ialah peranan media sosial.

Menurut Statista, syarikat yang mempunyai kepakaran dalam pengumpulan data, setiap pengguna Internet di dunia ini menghabiskan secara purata, dua jam 30 minit setiap hari di media sosial pada 2023, dengan Facebook sekitar 4.75 bilion perkongsian, diikuti dengan Instagram (1.3 bilion) dan TikTok (23 juta) setiap hari.

Lantas, ada peniaga meletakkan keutamaan kepada pemasaran kandungan tular melalui wadah media sosial.

Ini kerana perkara yang sedang tular pasti menarik perhatian orang ramai.

Ia akan membuatkannya popular sehingga menjadi sohor kini (trending) dalam sekelip mata.

“Bukti sosial, atau social proof, memainkan peranan yang sangat penting pada dunia masa ini,”  terang Dr Samer. 

Bukti sosial adalah satu fenomena psikologi di mana kita mengikut-ikut orang lain apabila berada dalam situasi tidak pasti, misalnya, jika tempat makan itu sedap atau tidak. 

“Ulasan, siaran Instagram, dan video TikTok sering mempengaruhi pilihan kita lebih daripada iklan biasa,” tambah beliau.

Namun pemasaran sebegini hanya memberi kesan jangka masa pendek sahaja. 

Untuk hala tuju jangka masa panjang, Dr Samer berkata peniaga perlu fikirkan tentang kualiti pengalaman yang konsisten agar dapat mengekalkan pelanggan tetap. 

Perbelanjaan pemasaran tular

Sementara itu, pemasaran tular tentunya berisiko tinggi kerana banyak modal perlu dikeluarkan dahulu untuk menghasilkan kandungan video.

“Kadang-kadang ia boleh mencecah puluhan ribu dolar. 

“Itu pun tidak menjanjikan jika video itu akan berjaya menjadi tular atau sebaliknya.

“Ini kerana untuk mereka video yang tular, ia kadangkala memerlukan kandungan yang kontroversi dan ini juga boleh menjadi halangan untuk pelanggan baru datang.

“Jadi bagi saya, pemasaran tular boleh membunuh atau meningkatkan populariti  jenama,” ujar Encik Hafiz.

Cik Raudhah Osman yang merupakan pemilik Yaksok, bersama suaminya, penyanyi tempatan, Ryan Sufiyan, tidak menafikan bahawa pemasaran di media sosial main peranan penting dalam menarik pelanggan, terutama dalam kalangan Generasi Z (Gen Z).

Kongsi Cik Raudhah: 

“Kami telah memperuntuk sejumlah wang untuk pemasaran di restoran baru kami di Bali Lane, dengan melibatkan beberapa pencipta kandungan. 

“Bali Lane yang terletak di kawasan Kampong Gelam, tempat ‘lepak’ orang muda. 

“Oleh yang demikian, penting untuk kami melabur dalam mencipta kandungan TikTok yang menarik, agar dapat memikat hati generasi muda datang ke restoran kami. 

“Sebelum ini, jika anda lihat hantaran di Instagram kami, kebanyakannya statik dan bilangan video yang dimuat naik pun sedikit. 

“Kalau ada video pun, ia mengenai makanan sahaja.”

Apabila ditanya mengenai konsep kandungan video mereka, Cik Raudhah ketawa lalu berkata beliau dan Ryan lebih konservatif dan tidak berani untuk membuat kandungan yang akan menimbulkan kontroversi. 

“Kami lebih selesa mengambil jalan yang selamat (dalam penciptaan kandungan) kerana itulah personaliti kami yang tidak suka berkelakuan melampau.

“Namun ini semua bergantung kepada individu,” ujar Cik Raudhah.

Yaksok menjual hidangan campuran Korea dan Jepun di restorannya.

Sebelum ini, Yaksok beroperasi di Amoy Street, Tanjong Pagar sebelum tutup dan berpindah ke Bali Lane pada Ogos. 

Berkembang terlalu cepat bawa padah

Kebanyakan usahawan mempunyai aspirasi untuk membuka cawangan seterusnya apabila mereka membuka sesebuah perniagaan.

“Saya rasa setiap usahawan sebelum memulakan perniagaan, mereka sudah menyimpan impian untuk mengembangkan syarikat atau jenama mereka dengan membuka lebih banyak cawangan,” ujar Encik Fahmy. 

Presiden DPPMS, Dr Malik Hassan, yang juga pengarah Selera Rasa Nasi Lemak dan pengasas bersama Crave Nasi Lemak.
Presiden DPPMS, Dr Malik Hassan, yang juga pengarah Selera Rasa Nasi Lemak dan pengasas bersama Crave Nasi Lemak. - Foto fail

Namun menurut Presiden DPPMS, Dr Malik Hassan, yang juga pengarah Selera Rasa Nasi Lemak dan pengasas bersama Crave Nasi Lemak, berkembang terlalu cepat tanpa perancangan dan sistem yang betul boleh menyebabkan ketegangan operasi dan kemunduran jangka panjang. 

“Penting bagi perniagaan untuk menilai terlebih dahulu kesediaan dalaman mereka seperti kapasiti pasukan, SOP (prosedur operasi standard) dan kestabilan kewangan sebelum buka lebih banyak cawangan. 

“Pertumbuhan yang mampan hendaklah strategik, berpandukan data, sejajar dengan matlamat perniagaan yang jelas dan memilih model pengembangan yang betul, sama ada melalui francais, pelesenan atau usaha sama. 

“Jika boleh, peniaga harus mempertimbangkan partnership (perkongsian) dan bukannya membuka cawangan baru secara sendiri agar dapat mengurus risiko dengan lebih baik dan memanfaatkan pengetahuan pasaran tempatan,” nasihat Dr Malik.

Strategi yang boleh dilaksanakan 

Setiap peniaga mempunyai harapan yang berbeza berdasarkan faktor apa yang paling memberikan kesan kepada mereka. 

Bagi Ryan dan Cik Raudhah, sambutan daripada pelanggan yang diterima mereka ke atas Yaksok baik-baik sahaja tetapi bilangannya tidak meningkat. 

“Kami tidak minta banyak. Apa yang kami harapkan daripada pelanggan adalah untuk suka dan kongsi kandungan kami di media sosial kerana itu sahaja saya fikir dapat membantu kami menarik pelanggan untuk datang,” kata Cik Raudhah. 

Bagi Encik Fahmy isu tenaga pekerja warga Singapura adalah cabaran paling utama untuk perniagaannya. 

“Mengenai kuota tenaga kerja, saya berpendapat pihak berkepentingan perlu melakukan semakan semula. 

“Mereka seharusnya tidak ‘melonggokkan’ industri makanan dengan industri runcit yang lain dalam satu sektor iaitu perkhidmatan.

“Para pencari pekerja warga Singapura, pastinya lebih cenderung untuk memilih bertugas sebagai jurujual atau juruwang, kerana ia menawarkan persekitaran kerja yang lebih selesa.

“Siapalah yang ingin bekerja di dapur, sudahlah bahang, masa kerja yang panjang dan perlu kerja macam lipas kudung kalau ramai pelanggan.

“Justeru, adalah wajar kuota dibahagikan mengikut industri,” saran Encik Fahmy dengan penuh harapan. 

Encik Suhari akui pemerintah telah memberi beberapa geran untuk tenaga kerja tetapi kumpulan rakyat Singapura yang bekerja dalam industri makanan sangat sukar dicari. 

Beliau bagaimanapun, melihat kos sewa sebagai cabaran paling utama bagi perniagaannya dan menyarankan agar lebih banyak campur tangan daripada pemerintah dalam mengawal harga sewa.

Dengan nada kekhuatiran Encik Suhari meluahkan: 

“Pelabur asing membeli hartanah kerana mereka mempunyai poket yang besar dan membuat tawaran misalnya, harga sewa yang jauh lebih tinggi.

“Ini membuat peniaga tempatan secara tidak langsung, ‘tewas’ dalam bidaan dan akhirnya hartanah itu jatuh ke tangan mereka. 

“Ini tidak akan membantu usahawan tempatan, malah ia memusnahkan impian rakyat biasa seperti kami untuk mempunyai perniagaan yang berjaya.”

Menurut Dr Samer, beliau positif bahawa penggubal dasar awam di Singapura sedar tentang cabaran yang dihadapi peniaga di Singapura.

“Perkara paling penting adalah bagaimana mereka (penggubal dasar) mengatur strategi.

“Saya ramal, kita akan melihat lebih banyak insentif kewangan serta program latihan untuk usahawan sertai agar dapat menambah baik prestasi syarikat mereka dan terus berkembang maju dalam industri makanan,” kata Dr Samer.  

Dr Malik bersependapat bahawa meningkatkan kemahiran pemilik perniagaan dalam bidang seperti penjenamaan, pemasaran digital dan perancangan kewangan melalui program berstruktur, kekal sebagai strategi utama untuk perusahaan tempatan.

“Selain itu, pemerolehan pensijilan perniagaan seperti pensijilan Muslim-Owned Establishment atau Perusahaan Milik Muslim juga boleh meningkatkan kredibiliti, meningkatkan kepercayaan dan membuka peluang pertumbuhan baru. 

“Sijil tersebut mempromosi dan mengiktiraf perniagaan yang dimiliki individu beragama Islam dengan memastikan pematuhan terhadap prinsip Islam.

“Memperkukuh rangkaian perniagaan dan menggalakkan kerjasama, seperti melalui sumber yang dikongsi atau pemasaran bersama, juga boleh meningkatkan keterlihatan dan mengurangkan kos operasi,” tambah Dr Malik. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg