Semangat hendak berbakti kepada masyarakat sangat kental dalam jiwa Encik Mohamed Ilzymanshah Kamarudin, 21 tahun.
Setelah tamat pengajian Diploma Reka Bentuk Pengalaman dan Komunikasi di Politeknik Singapura (SP), beliau menubuhkan syarikat pemula Assistive Technologies – didorong oleh pengalaman keluarga dan adik bongsunya, Mohamed Ilhanshah Kamarudin, 11 tahun, yang mengalami gangguan spektrum autisme (ASD).
ASD adalah gangguan perkembangan dan neurologi yang mempengaruhi cara individu berkomunikasi, berinteraksi, belajar, dan berperilaku. Antara gejalanya ialah kesulitan dalam berinteraksi dan komunikasi sosial.
Kesukaran menghubungi Ilhanshah di luar memberi Encik Ilzymanshah inspirasi untuk mereka sebuah aplikasi komunikasi augmentatif dan alternatif (AAC) – @Messenger – demi memudahkan komunikasi antara ibu dengan adiknya.
Alat AAC adalah kaedah komunikasi yang menggantikan pertuturan dan penulisan bagi mereka yang mengalami kesulitan dalam memahami bahasa lisan atau tulisan.
Bagi mereka aplikasi itu, Encik Ilzymanshah dibantu seorang lagi adiknya, Encik Irhamshah Kamarudin, 19 tahun, dan kawannya, Encik Muhammad Husaini Muhammad Haizal Bonawi, 21 tahun, sebagai pembantu perisian.
Encik Irhamshah pelajar tahun ketiga Diploma Teknologi Maklumat di SP, manakala Encik Husaini kawan Encik Ilzymanshah dalam Perkhidmatan Negara (NS).
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Ilzymanshah berkata: “Kadang-kadang ibu saya risau jika bas sekolah terlambat dan dia tidak tahu di mana adik saya Ilhan berada, lebih-lebih lagi ada kes anak tidak pulang rumah tepat pada waktunya.
“Ini mendorong saya mereka aplikasi @Messenger untuk memudahkan komunikasi antara penjaga dengan anak yang menghidapi ASD, terutamanya apabila mereka tidak berada bersama.”
Menurut Encik Ilzymanshah, mereka yang mengalami ASD sukar menggunakan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp dan Telegram.
Aplikasi AAC lain pula tidak merangkumi banyak fungsi yang menepati keperluan ibu bapa dan mereka yang alami ASD atau mengenakan bayaran untuk mendapat akses kepada fungsi lain yang lebih canggih, ujarnya, yang juga anggota Alumni Startups (SP) bersama Minggu Inovasi dan Teknologi (Switch) 2024, sebuah acara tahunan anjuran Enterprise Singapore.
“Dalam @Messenger, pengguna dapat berkomunikasi melalui tiga peringkat, iaitu secara pendengaran, visual dan lisan.
“Jika si anak menggunakan perkataan yang baru dipelajari, ibu bapa dapat memadankan perkataan tersebut dengan gambar visual atau merakamkan suara mereka ketika menyebut perkataan itu.
“Kami mengenakan bayaran $20 setahun, lengkap dengan semua fungsi, untuk memastikan kos tetap dimampui,” kata beliau.
Di samping itu, pengguna @Messenger dapat menyesuaikan kekunci mengikut keselesaan dan tahap penggunaan mereka.
Proses itu juga dapat meluaskan kosa kata pengguna ASD dengan menekan tile, atau jubin, bergambar sambil mendengar audio yang dihasilkan secara automatik.
Aplikasi itu juga membantu dalam aspek pendidikan dan memantau perkembangan pengguna ASD dalam bertutur, tambah Encik Ilzymanshah.
“Ibu bapa atau pendidik dapat memantau penggunaan bahasa yang sering digunakan anak mereka, termasuk cara mereka menggunakan @Messenger dan konteks perbualan mereka setiap hari,” katanya.
“Dengan ini, ibu bapa dapat menyesuaikan kosa kata kepada pemahaman anak mereka dengan mudah,” tambahnya lagi.
Mengenai pengalaman peribadinya bersama Ilhanshah, Encik Ilzymanshah berkata:
“Anak-anak ASD mempunyai kesukaan mereka sendiri, contohnya alat permainan, rancangan kanak-kanak, makanan dan sebagainya.
“Adik saya gemar memakan nuget ayam. Kami pun menyerap unsur kegemarannya dalam @Messenger untuk meningkatkan kemampuan mempelajari kosa kata baru dan memudahkan komunikasi.”
Memandang ke hadapan, Encik Ilzy ingin bekerjasama dengan pendidik dan juga jurupulih untuk memperhalusi kegunaan dan fungsi dalam aplikasi @Messenger demi meluaskan manfaatnya kepada masyarakat terutama bagi pengguna ASD.
Aplikasi @Messenger akan dilancarkan melalui App Store dan Google Store pada Januari 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg