Bank darah tali pusat swasta, Cordlife, berdepan tuntutan sekurang-kurangnya $5.45 juta daripada ibu bapa yang menyimpan darah tali pusat dengan bank tersebut tetapi kemudian dimaklumkan darah itu telah rosak atau berisiko tinggi akan rosak.
Dalam satu pemfailan bursa pada 2 Disember, Cordlife Group berkata ia dimaklumkan pada 1 Disember mengenai pemfailan tuntutan sivil itu di Mahkamah Tinggi.
Tuntutan itu dibuat oleh seorang individu yang mewakili sekumpulan individu yang telah menyimpan 109 unit darah tali pusat dengan Cordlife.
Menurut syarikat itu, kumpulan yang sama itu juga telah menghantar surat tuntutan kepada Cordlife pada 28 Mac, yang kemudiannya diumumkan syarikat pada 1 April.
Menurut pemfailan bursa terkini, para individu yang telah mengemukakan tuntutan, meminta Cordlife mengisytiharkan ia bertanggungjawab ke atas kerugian dan kerosakan yang timbul daripada kecuaian dan/atau pelanggaran kontrak dalam menyimpan dan memelihara unit darah tali pusat dengan betul, yang mengakibatkan kerosakan yang tidak dapat diperbaik.
Mereka juga menuntut ganti rugi pada nilai pasaran $50,000 bagi setiap unit rosak, atau mana-mana jumlah lain yang ditentukan mahkamah, serta pampasan perbelanjaan yang sia-sia, atau mahkamah mengarahkan penilaian ganti rugi.
Cordlife dalam pemfailannya berkata jumlah tuntutan tersebut sekurang-kurangnya $5.45 juta dan syarikat sedang mendapatkan nasihat mengenai langkah seterusnya.
Namun, syarikat menegaskan tuntutan itu hanya berkaitan dengan operasi Cordlife di Singapura dan kumpulan itu kekal beroperasi sepenuhnya di pasaran lain.
Lembaga pengarah Cordlife sedang menilai kesan tuntutan itu terhadap prestasi kewangannya bagi tahun kewangan semasa, yang berakhir pada 31 Disember.
Syarikat berkata sekiranya Cordlife diarahkan membayar tuntutan tersebut, kedudukan kewangannya akan terjejas.
Dalam dua pemfailan bursa pada 2 Disember, Cordlife mengumumkan pelantikan Encik Wu Gang, 48 tahun, sebagai pengerusi bukan eksekutif bukan bebas, berkuat kuasa mulai 2 Disember.
Beliau juga dilantik serentak sebagai ahli jawatankuasa pencalonan syarikat.
Encik Wu, yang menetap di China, juga merupakan pengarah di syarikat pemegang saham utama Cordlife, Nanjing Xinjiekou Department Store, yang berpangkalan di China.
Dalam pemfailan bursa pada 1 Disember, Cordlife mengesahkan ia telah menerima notis tindakan pengawalseliaan pada 26 November daripada Kementerian Kesihatan (MOH).
Sebelum ini, Cordlife berdepan kemungkinan penggantungan operasi selama setahun oleh MOH susulan ‘kecuaian serius’ yang ditemui semasa audit pertengahan tahun Cordlife pada Julai.
Sebaliknya, MOH mengeluarkan notis tindakan pengawalseliaan untuk menghentikan Cordlife daripada mengumpul, menguji, memproses dan/atau menyimpan darah tali pusat baru dengan serta-merta, meskipun syarikat itu telah secara sukarela melakukan demikian sejak 30 September.
Berdasarkan notis tersebut, ketua pengarah kesihatan syarikat tersebut telah memutuskan untuk mengubah syarat lesen syarikat, jelas Cordlife.
Syarikat, bersama penasihat profesional dan pasukan teknikal, sedang menyemak notis itu dan mendapatkan nasihat mengenai langkah seterusnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg