Pengerusi Eksekutif Cordlife telah meletak jawatan kurang lima bulan selepas beliau memegang jawatan tersebut, walaupun bank darah tali pusat swasta itu sedang berdepan dengan kemungkinan penggantungan perkhidmatan selama setahun selepas beberapa kelemahan besar ditemui dalam audit.
Perletakan jawatan Encik Zhai Lingyun akan berkuat kuasa pada 5 November.
Beliau akan memberi tumpuan kepada “komitmen perniagaan dan peribadi lain,” umum Cordlife Group dalam pemfailan bursa pada 30 Oktober, lapor The Straits Times (ST).
Encik Zhai, 52 tahun, juga akan meletakkan jawatan sebagai pengarah syarikat itu dan berhenti menjadi ahli jawatankuasa pencalonan.
Namun begitu, beliau akan terus berkhidmat dalam “kapasiti pengurusan tertentu” dalam kumpulan tersebut. Tiada butiran lanjut diberikan mengenainya.
Encik Zhai pertama kali dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas Cordlife pada 12 Disember 2019.
Beliau telah dilantik semula sebagai pengerusi bukan eksekutif bukan bebas pada 7 Januari 2025, menggantikan Encik Teo Tong Kooi, yang meletak jawatan selepas kurang daripada lapan bulan memegang jawatan pengerusi.
Encik Zhai kemudiannya dilantik semula sebagai pengerusi eksekutif Cordlife mulai 16 Jun. Ini menyusuli persetujuannya untuk dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) HealthBaby Biotech (Hong Kong), sebuah anak syarikat Cordlife Group.
Dalam pemfailan bursa yang berasingan pada 30 Oktober, Cordlife Group berkata lembaga pengarahnya akan melantik pengerusi baru pada masa yang sesuai.
Cordlife berdepan dengan kemungkinan penggantungan selama setahun, yang akan diputuskan oleh pihak pengawal selia, iaitu Kementerian Kesihatan (MOH).
MOH turut mengesahkan ia telah menerima perwakilan bertulis daripada Cordlife pada 27 Oktober dan kini sedang menilai perkara tersebut.
“MOH akan memaklumkan keputusan semakannya kepada Cordlife pada masa yang sesuai,” kata jurucakap MOH.
MOH pada 29 September telah mengeluarkan Notis Niat kepada Cordlife supaya menggantung perkhidmatan bank darah tali pusatnya selama setahun, selepas kelemahan besar ditemui semasa audit MOH pada Julai.
Antara kelemahan tersebut adalah kegagalan Cordlife mematuhi pelbagai keperluan peraturan, termasuk tadbir urus, pelaporan dan pengurusan insiden, serta proses pengumpulan, ujian dan pemprosesan unit darah tali pusat (CBU) baru.
Darah tali pusat mengandungi sel tunjang yang boleh digunakan untuk merawat penyakit darah dan beberapa jenis barah, seperti leukemia dan limfoma, sekiranya bayi berkenaan menghidap penyakit ini pada masa depan.
Jika penggantungan tersebut dilaksanakan, Cordlife tidak akan dapat menyimpan CBU baru, tetapi ia masih boleh meneruskan operasi dan perlu memberi tumpuan kepada penyelenggaraan yang betul terhadap keselamatan dan mutu semua CBU yang sedia ada.
Dalam pemfailan bursa pada 6 Oktober, Cordlife berkata jika penggantungan itu berkuat kuasa, operasi syarikat akan diteruskan untuk tempoh 12 bulan berikutnya hingga 30 September 2026, tetapi masa depan syarikat itu selepas itu masih tidak pasti.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg