Pengeluaran kilang Singapura bertambah baik secara menyeluruh pada Ogos, dengan pengeluaran elektronik meningkat ke tahap tertinggi dalam tempoh enam tahun dan keseluruhan aktiviti perkilangan berada pada tahap terbaik dalam tempoh tiga tahun.
Indeks pengurus pembelian (PMI), barometer sektor perkilangan, meningkat kepada 50.9 mata pada Ogos, naik daripada 50.7 mata pada bulan sebelumnya, menurut data terkini yang dikeluarkan oleh Institut Pembelian dan Pengurusan Bahan Singapura (SIPMM) pada 2 September.
Sementara itu, PMI elektronik, sektor utama perkilangan, meningkat kepada 51.3 mata, daripada 51 mata bulan sebelumnya.
Bacaan di atas 50 mata menunjukkan pertumbuhan manakala di bawah 50 menunjukkan penguncupan.
Ini merupakan pengembangan bulan ke-12 berturut-turut PMI perkilangan, manakala segmen elektronik melanjutkan trend pertumbuhannya untuk bulan ke-10, lapor The Straits Times (ST).
Yang ketara, sub-indeks sektor perkilangan untuk pekerjaan dan penghantaran pembekal – dua komponen asas utama yang sebelum ini mengalami penguncupan – bertukar positif pada Ogos.
Sebaliknya, hanya indeks penghantaran pembekal bagi elektronik kekal kurang memuaskan bagi bulan keempat berturut-turut, walaupun mencatatkan peningkatan 0.2 mata berbanding sebulan lalu.
Di tempat lain di rantau ini, Korea Selatan dan Taiwan mengekalkan trajektori peningkatan mereka.
Sebagai perbandingan, data dari China menunjukkan jurang antara pengeluar yang lebih kecil yang khusus bagi eksport yang kelihatan pulih, berbanding pengeluar dalam sektor lebih luas yang kelihatan tersekat.
Turut menguncup adalah Jepun, walaupun impaknya dikurangi oleh permintaan global yang kukuh untuk semikonduktor dan lantunan semula dalam pengeluaran kereta, manakala Malaysia dan Indonesia kekal menguncup.
Mengulas data itu, ketua bersama serantau Maybank Research, Dr Chua Hak Bin, berkata: “Ini angka yang sangat baik terutama memandangkan PMI perkilangan China yang lebih lemah.”
Menyetujui pendapat itu, pakar ekonomi DBS Bank, Encik Chua Han Teng, berkata: “Kami melihat peningkatan menyeluruh sebagai petanda yang menggalakkan untuk pemulihan kilang Singapura secara beransur-ansur pada separuh kedua.”
Beliau berkata ini disokong oleh data terkini yang lain seperti pengeluaran perkilangan, yang memulakan suku ketiga dengan positif.
Pada masa yang sama, Encik Chua percaya bahawa pengembangan berterusan PMI elektronik menunjukkan potensi untuk kluster itu mengatasi prestasi pada bulan-bulan mendatang.
Dr Chua bersetuju, sambil mengatakan bahawa pemulihan elektronik semakin meluas melangkaui permintaan untuk cip kecerdasan buatan (AI).
“Penawaran produk baru, dengan ciri AI yang dibenamkan dalam telefon mudah alih dan peranti elektronik baru, akan membantu menyokong dan meluaskan permintaan teknologi,” katanya.
Beliau menambah bahawa pengilang di sini juga mendapat manfaat daripada kepelbagaian rantaian permintaan dan bekalan di luar China, di tengah-tengah peningkatan sekatan teknologi Amerika Syarikat di tanah besar China.
Melihat ke hadapan, prospek ekonomi mungkin diselubungi faktor-faktor seperti prospek pertumbuhan Amerika yang perlahan dan ketidakpastian pilihan raya presiden Amerika pada November.
Dr Chua daripada Maybank berkata beliau menjangka kemenangan Encik Donald Trump akan mengakibatkan kenaikan tarif Amerika yang menyeluruh ke atas China dan seluruh dunia, mengganggu perdagangan dan pelaburan, manakala kemenangan Cik Kamala Harris mungkin kurang mengganggu – sebarang kenaikan tarif akan lebih disasarkan kepada China dan kurang meluas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg