Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura peroleh lebih banyak pelaburan pengeluar cip utama

Antara usaha atasi risiko rantaian bekalan
Jul 11, 2024 | 6:16 PM
Pengeluar utama semikonduktor sejagat sedang menubuhkan loji baru dan kampus penyelidikan dan pengembangan (R&D) di Singapura dan juga di negara Asia Tenggara terpilih yang lain.
Pengeluar utama semikonduktor sejagat sedang menubuhkan loji baru dan kampus penyelidikan dan pengembangan (R&D) di Singapura dan juga di negara Asia Tenggara terpilih yang lain. - Foto REUTERS

Singapura terus mengekalkan statusnya sebagai hab pengeluaran semikonduktor sejagat, dengan lebih banyak pengeluar cip dan perniagaan berkaitan berpindah ke sini untuk menubuhkan kilang baru.

Jumlah aliran pelaburan mungkin berbeza dari tahun ke tahun, tetapi arah alirannya jelas, lapor The Straits Times.

Pemain utama semikonduktor sejagat sedang menubuhkan loji baru dan kampus penyelidikan dan pengembangan (R&D) di Singapura dan juga di negara Asia Tenggara terpilih lain.

Ini adalah untuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan mereka, dan mengelak daripada terjerat dalam konflik geopolitik yang semakin meruncing, antara dua ekonomi terbesar dunia iaitu Amerika Syarikat dan China.

Walaupun Singapura dan Malaysia adalah satu-satunya negara Asia Tenggara, dengan faundri semikonduktor menghasilkan wafer bagi mencipta cip, pemproses hiliran seperti syarikat pemasangan, ujian dan pembungkusan (ATP), juga tersebar di seluruh Filipina, Thailand dan Vietnam.

Pelaburan – sama ada dalam projek lapangan hijau atau dalam pengembangan kapasiti sedia ada – juga telah mengukuhkan kekuatan Singapura dalam beberapa segmen industri cip.

Ia adalah cip logik terunggul, cip memori terdepan, bahan semikonduktor, peralatan dan alatan pembuatan cip, serta ATP.

Pelaburan meningkat selepas lonjakan permintaan bagi barangan elektronik semasa pandemik Covid-19, membuatkan industri sedar bahawa ia perlu menambah lebih banyak kapasiti pengeluaran.

Walaupun selepas itu, permintaan elektronik sejagat berkurang di tengah-tengah inventori yang melimpah-ruah, peningkatan pengeluaran kenderaan elektrik, panel suria dan permintaan cip yang sangat pesat baru-baru ini, yang diperlukan untuk menggerakkan aplikasi kecerdasan buatan (AI), telah mengekalkan industri tersebut.

Singapura telah menyaksikan pengumuman beberapa komitmen pelaburan sejak dua tahun lalu.

Pelaburan baru semakin mencurah-curah walaupun beberapa syarikat baru memulakan pengeluaran awal.

Pada Jun 2024, Vanguard International Semiconductor – sekutu TSMC Taiwan, pengeluar cip kontrak terbesar di dunia – berkata ia akan melabur AS$7.8 bilion ($10.5 bilion) bersama pengeluar cip terkemuka Eropah, NXP, untuk membina faundri cip baru di sini.

Usaha sama itu, dinamakan Syarikat Pengilang Semikonduktor VisionPower, dan akan mula membuat wafer semikonduktor pada 2027.

Ia mengikuti kemudahan pengilangan serupa di sini bernilai AS$5 bilion, yang diumumkan oleh United Microelectronics Corporation Taiwan pada 2022, dan dijangka mula beroperasi pada 2024.

Penganalisis seperti pakar ekonomi Asia HSBC yang berpangkalan di Hong Kong, Encik Justin Feng, percaya bahawa lebih banyak pelaburan asing berkemungkinan menyusul, apabila industri semikonduktor sejagat, yang kini berada di sekitaran konflik Amerika-China dan tertakluk kepada kenaikan tarif, kawalan eksport dan juga sekatan mineral kritikal, berusaha untuk menghapuskan risiko rantaian bekalannya.

“Penerima akhir terbesar bagi konfigurasi semula rantaian bekalan Asia mungkin Asean,” kata Encik Feng.

Beliau menambah bahawa Singapura dan Malaysia merupakan dua ekonomi Asean yang mempunyai keupayaan pembuatan cip yang ketara.

Kedua-dua negara adalah antara penerima awal pelaburan daripada pembuat cip Amerika, yang pada 1960-an memulakan bahagian luar pesisir proses pengeluaran mereka ke ekonomi Asia – termasuk Hong Kong dan Taiwan – dengan kos buruh yang lebih rendah dan tenaga kerja yang cukup mahir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg