Hubungan dua hala kukuh antara Singapura dan Jerman mengukuhkan peranan Singapura sebagai pintu masuk strategik bagi perniagaan Jerman di Asia, khususnya Asean, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.
Beliau berkata demikian semasa satu lawatan kerja ke Jerman pada 26 hingga 31 Januari.
Memperingati 60 tahun hubungan diplomatik, Encik Heng bertemu pemimpin Jerman dan menyampaikan ucap tama di edisi ke-16 Sidang Puncak Ekonomi Welt di Berlin.
Dalam ucapannya beliau berkata lebih 2,300 syarikat Jerman, termasuk lebih 75 peratus syarikat DAX40, iaitu 40 syarikat terbesar Jerman dari segi modal pasaran dan kecairan, beroperasi di Singapura.
“Ramai menggunakan Singapura sebagai hab serantau bagi Asean dan Asia, termasuk SAP, BASF, Evonik, Infineon, Porsche, BMW, DHL dan DB Schenker serta syarikat bersaiz sederhana seperti Heraeus dan Merck.”
Encik Heng juga bercakap tentang cabaran global yang dihadapi ekonomi dunia, yang beliau rujuk sebagai ‘4D’ – deglobalisasi, pendigitalan, demografik dan dekarbonisasi.
“Syarikat hari ini beroperasi dalam persekitaran yang mencabar, menghadapi 4D.
“Untuk terus berkembang, Singapura dan Jerman mesti terus memanfaatkan peluang global, sambil meneruskan pembaharuan struktur,” kata Encik Heng.
Sebagai sebahagian daripada pembaharuan itu, beliau berkata “pelaburan dalam pendigitalan dan kemampanan menjadi kunci kepada pertumbuhan ekonomi masa depan”.
Sejajar dengan komitmen tersebut, Singapura telah memperuntukkan $28 bilion bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dari 2021 hingga 2025, dengan tumpuan pada bidang seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan kemampanan, kata Encik Heng.
“Dengan membina kekuatan sedia ada dan membangunkan keupayaan baru dalam teknologi digital dan hijau, kekuatan daya saing baru akan muncul,” ujarnya.
Encik Heng turut menonjolkan kepentingan pensejagatan dan pembaharuan struktur dalam memacu pertumbuhan ekonomi masa depan, menekankan perlunya mengekalkan perdagangan dan inovasi global sambil mengukuhkan keupayaan tenaga kerja.
Semasa lawatannya ke Jerman, beliau bertemu Naib Canselor merangkap Menteri Ehwal Ekonomi dan Tindakan Iklim, Dr Robert Habeck; Ketua Canselori Persekutuan dan Menteri Persekutuan bagi Tugas-Tugas Khas, Encik Wolfgang Schmidt; dan Pengerusi Kesatuan Demokratik Kristian (CDU), Encik Friedrich Merz.
“Mereka mengesahkan semula hubungan dua hala yang teguh dan terjalin lama dan berharap mengeratkan hubungan di bawah Perkongsian Strategik Singapura-Jerman,” kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 31 Januari.
Encik Heng juga melawat Siemens Energy dan SAP, masing-masing pemimpin global dalam teknologi tenaga dan aplikasi perusahaan dan AI perniagaan.
Semasa lawatan ke dua syarikat itu, beliau mengadakan perbincangan dengan pemimpin perniagaan, termasuk dalam satu perbincangan meja bulat anjuran Landesbank Baden-Württemberg (LBBW) dan CDU Wirtschaftsrat (Majlis Ekonomi).
Antara perkara dalam perbincangan tersebut ialah mengenai peranan Singapura sebagai pintu masuk strategik untuk perniagaan Jerman yang meneroka peluang di Asia, khususnya di Asean, serta sebagai nod Global-Asia bagi teknologi, inovasi dan perusahaan.
Encik Heng juga menekankan potensi peningkatan kerjasama dalam bidang seperti pendigitalan, kemampanan dan kewangan.
Beliau turut melawat institut penyelidikan utama dan syarikat baru yang inovatif untuk memperdalam kerjasama dan membincangkan cara memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi untuk membina masyarakat yang lebih kukuh dan ekonomi yang lebih produktif.
Semasa di Berlin, Encik Heng bertemu warga Singapura di sebuah majlis resepsi menyambut Tahun Baru Cina dan kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg