Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Untung ST Engineering naik 19.7% pada separuh pertama 2025

Didorong segmen aeroangkasa, pertahanan dan keselamatan awam
Aug 14, 2025 | 6:04 PM
st engineering, ekonomi
Peningkatan pendapatan ini didorong oleh pertumbuhan dalam keuntungan, khususnya daripada segmen aeroangkasa komersial serta pertahanan dan keselamatan awam. - Foto fail

Singapore Technologies Engineering (ST Engineering) pada 14 Ogos melaporkan keuntungan bersih bagi separuh pertama 2025 yang berakhir pada Jun meningkat 19.7 peratus kepada $402.8 juta, berbanding $336.5 juta yang dicatatkan pada separuh pertama 2024.

Ini didorong oleh pertumbuhan dalam keuntungan, khususnya daripada segmen aeroangkasa komersial serta pertahanan dan keselamatan awam, meskipun terjejas oleh kesan negatif pertukaran mata wang asing dan tarif Amerika Syarikat.

Perolehan setiap saham turut meningkat kepada 12.93 sen bagi separuh pertama 2025, berbanding 10.8 sen pada separuh pertama 2024.

Pendapatan syarikat naik 7.2 peratus kepada $5.9 bilion, berbanding $5.5 bilion sebelum ini.

Menurut ST Engineering, pendapatan syarikat sepatutnya boleh meningkat 8 peratus jika ia tidak terjejas oleh kesan pertukaran mata wang asing susulan dolar Amerika yang lebih lemah berbanding dolar Singapura.

Namun, kesannya terhadap keuntungan bersih syarikat adalah kecil.

Kumpulan itu menambah bahawa kesan keseluruhan tarif terhadap keputusan kewangan separuh pertama 2025 tidak begitu ketara selepas langkah pengurangan kesan tarif dilaksanakan.

Pendapatan daripada segmen aeroangkasa komersial meningkat 5 peratus kepada $2.4 bilion, berbanding $2.2 bilion sebelum ini, lapor The Business Times (BT).

Pendapatan daripada pertahanan dan keselamatan awam pula meningkat 12 peratus kepada $2.7 bilion, berbanding $2.4 bilion pada separuh pertama 2024, manakala pendapatan bagi penyelesaian bandar dan perhubungan satelit kekal pada $921 juta.

Kumpulan itu memperolehi kontrak baru bernilai $9.1 bilion bagi separuh pertama 2025, menjadikan keseluruhan nilai kontrak yang masih dalam proses pelaksanaan berjumlah $31.2 bilion pada akhir Jun. 

Ia menjangka akan melaksanakan sekitar $5 bilion daripada kontrak tersebut pada baki 2025.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ST Engineering, Encik Vincent Chong, berkata:

“Kontrak sedia ada yang kukuh terus menjamin aliran pendapatan bagi kumpulan.

“Langkah pemberhentian pelaburan yang dibuat baru-baru ini sejajar dengan strategi penyusunan semula portfolio kami untuk keluar daripada perniagaan bukan teras dan mengitar semula modal. 

“Kami tetap komited untuk memperkukuh perniagaan teras kami.”

ST Engineering telah menetapkan dividen interim sebanyak empat sen setiap saham bagi suku kedua – di mana pembayarannya akan dilakukan pada 5 September – kekal sama dengan bayaran pada separuh pertama 2024.

Harga saham ST Engineering jatuh pada 14 Ogos meskipun keuntungan syarikat dilaporkan meningkat.

Ia susut 6.25 peratus, atau 56 sen, kepada $8.40 pada kira-kira 5 petang.

Namun, saham syarikat telah meningkat 92 peratus sejak awal tahun sehingga 13 Ogos, apabila ia mencatatkan harga tertinggi setakat ini, iaitu $8.96.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg