Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ST Engineering raih kontrak $1.4b untuk laluan Biru MRT Taichung di Taiwan

Apr 10, 2025 | 4:03 PM
Laluan Biru MRT Taichung yang automatik sepenuhnya itu dijangka sepanjang 24.8 km, dan terdiri daripada lapan stesen bertingkat dan 12 stesen bawah tanah.
Laluan Biru MRT Taichung yang automatik sepenuhnya itu dijangka sepanjang 24.8 km, dan terdiri daripada lapan stesen bertingkat dan 12 stesen bawah tanah. - Foto TAICHUNG CITY GOVERNMENT

ST Engineering mengumumkan pada 10 April bahawa perniagaan penyelesaian bandarnya memperoleh kontrak $1.4 bilion untuk menyediakan perkhidmatan rel siap guna bagi laluan Biru pengangkutan gerak cepat (MRT) Taichung baru Taiwan.

Perjanjian itu telah dianugerahkan oleh Biro Sistem Gerak Cepat Pemerintah Bandar Taichung.

Ia adalah sebahagian daripada kontrak yang lebih luas dengan rakan kongsi konsortium, Alstom Transport; syarikat kejuruteraan pembinaan Taiwan, CTCI; dan pengeluar kereta api Korea Selatan, Hyundai Rotem; yang masing-masing akan menyediakan sistem isyarat, sistem bekalan kuasa dan kereta api, lapor The Business Times.

ST Engineering Urban Solutions akan mengetuai keseluruhan pengurusan projek dan penyepaduan sistem tersebut, dan menyediakan sistem elektronik bagi rel termasuk sistem komunikasi dan sistem kutipan tambang automatik, sambil menyelia pembangunan depoh kereta api di atas tanah.

Dengan kontrak itu, jejak rel kumpulan tersebut di Taiwan berkembang, kerana anak syarikat penyelesaian bandarnya telah menyediakan penyelesaian elektronik rel untuk laluan Hijau MRT Taichung dan menyediakan perkhidmatan rel siap guna penuh untuk projek di beberapa bandar Taiwan yang lain juga.

Laluan Biru yang automatik sepenuhnya itu dijangka sepanjang 24.8 km, dan terdiri daripada lapan stesen bertingkat dan 12 stesen bawah tanah, menghubungkan timur dan barat Taichung sambil disepadukan dengan laluan Hijau bandar itu.

Ruang lingkup yang dikontrakkan meliputi tempoh kira-kira 14 tahun dan dijangka bermula pada suku kedua 2025.

Pada 28 Mac, ketua eksekutif (CEO) ST Engineering, Encik Vincent Chong, berkata pada acara hari pelabur syarikat itu bahawa kumpulan itu menjangka memperoleh $3.2 bilion daripada unit penyelesaian bandar dan komunikasi satelitnya menjelang 2029.

ST Engineering mencatatkan hasil pendapatan $11.3 bilion dan untung bersih $702.3 juta untuk tahun kewangan 2024, dengan buku pesanannya berjumlah $28.5 bilion.

Saham ST Engineering di paras 5.08 peratus atau $0.32 lebih tinggi pada $6.62 pada 2 petang, 10 April.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg