Gergasi farmaseutikal global, AstraZeneca akan mewujudkan lebih 800 jawatan melibatkan pelbagai kemahiran, untuk kemudahan pengilangan barunya di Tuas South yang dijangka akan mula beroperasi menjelang 2029.
Jawatan-jawatan tersebut merangkumi bidang kejuruteraan dan perkhidmatan teknikal, serta jawatan dalam fungsi rantaian bekalan global.
Kemudahan baru itu akan menghasilkan konjugat ubat antibodi (ADCs), iaitu kelas ubat biofarmaseutikal yang direka sebagai terapi sasaran bagi membunuh sel-sel barah.
Ia akan menjadi tapak pengeluaran ADC pertama AstraZeneca di peringkat global, yang secara menyeluruh menggabungkan kesemua langkah dalam proses pengilangan ADC pada skala komersial, kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada 7 November.
Pada Mei, AstraZeneca telah mengumumkan hasratnya untuk membina kemudahan bernilai AS$1.5 bilion ($2 bilion) di Singapura, namun tidak memberi perincian lanjut mengenai lokasi dan anggaran jumlah kakitangan yang diperlukan, lapor The Straits Times.
Dalam majlis perasmian tapak seluas 23.5 hektar pada 7 November, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong berkata tapak baru itu membuktikan keyakinan AstraZeneca terhadap Singapura sebagai lokasi yang berdaya saing untuk pengilangan biofarmaseutikal.
Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, berkata: “Kemudahan ini akan memacu industri biofarmaseutikal Singapura dengan keupayaan teknologi ADC yang terkemuka di dunia, serta memperkukuh kelebihan daya saing kita dalam pengilangan ADC.
Ia juga akan memberi manfaat kepada ekosistem pengilangan yang lebih luas, dan memperkasa rakyat Singapura untuk memperoleh kemahiran baru yang diperlukan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.”
Encik Gan menambah bahawa Singapura akan meneruskan usaha untuk menjadikan bandar ini lokasi yang lebih menarik untuk pengilangan biofarmaseutikal, dengan melabur dalam inovasi dan teknologi baru, mengembangkan bakat tempatan, dan memperkasa kemampanan sektor pengilangan.
“Selain mewujudkan pekerjaan yang bermakna untuk rakyat Singapura, kemudahan AstraZeneca selari dengan usaha Singapura ke arah pengilangan mampan dan sasaran nasional untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” kata Cik Jacqueline Poh, pengarah urusan Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB).
Ketua eksekutif AstraZeneca, Encik Pascal Soriot, turut hadir dalam majlis tersebut.
Beliau berkata pemilihan Singapura sebagai lokasi kemudahan pengilangan mereka “adalah satu keputusan yang mudah”.
“Kami telah membawa ubat-ubatan inovatif kami ke bandar hebat ini selama hampir empat dekad, bekerjasama dengan doktor dan pengamal penjagaan kesihatan (di sini) untuk menangani cabaran kesihatan paling mendesak di Singapura,” tambah Encik Soriot.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pemerintah dan EDB atas kerjasama mereka.
“Singapura juga mempunyai reputasi yang baik dalam pengilangan yang kompleks, disokong oleh kumpulan bakat yang baik, dan ini menjadikannya salah satu lokasi pelaburan paling menarik di dunia,” kata Encik Soriot.
Menurut EDB, industri sains bioperubatan adalah penyumbang utama kepada ekonomi Singapura.
Pada 2022, industri ini menyumbang sebanyak 2.3 peratus kepada Hasil Dalam Negari Kasar (GDP) Singapura dan menghasilkan produk yang bernilai hampir $39 bilion untuk pasaran global.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg