Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenali firma AI China, DeepSeek

Jan 28, 2025 | 3:27 PM
DeepSeek ditubuhkan pada 2023 oleh Encik Liang Wenfeng, ketua dana perlindungan berasaskan AI, High-Flyer.
DeepSeek ditubuhkan pada 2023 oleh Encik Liang Wenfeng, ketua dana perlindungan berasaskan AI, High-Flyer. - Foto REUTERS

BENGALURU (India): DeepSeek, syarikat pemula kecerdasan buatan (AI) asal China yang ditubuhkan pada 2023, telah mencetuskan kekaguman serta menimbulkan kebimbangan di Silicon Valley, Amerika Syarikat, selepas ia melancarkan model AI yang cemerlang dan mampu menawarkan khidmat setanding dengan chatbot terbaik dunia pada harga yang jauh lebih rendah.

Kemunculan DeepSeek membangkitkan pandangan berbeza dalam kalangan pembangun, yang secara amnya percaya bahawa usaha membangunkan AI memerlukan kuasa dan tenaga yang tinggi.

Harga saham teknologi global jatuh seiring dengan peningkatan perhatian pelabur terhadap inovasi DeepSeek dan mereka mula memikirkan kesan inovasi tersebut terhadap syarikat pesaing dari Amerika dan pembekal perkakasan mereka.

Kenali DeepSeek

DeepSeek ditubuhkan oleh Encik Liang Wenfeng, ketua dana perlindungan berasaskan AI, High-Flyer.

Syarikat itu membangunkan model AI sumber terbuka, di mana pembangun perisian mengeluarkan kod produk, untuk membenarkan sesiapa sahaja memeriksa dan membaiki perisian tersebut mengikut keinginan mereka, lapor Bloomberg.

Aplikasi mudah alih DeepSeek mengambil tangga teratas dalam carta muat turun iPhone, Apple App Store, di Amerika selepas dilancarkan pada awal Januari.

Perbezaan aplikasi ini dengan chatbot lain seperti ChatGPT milik OpenAI, ialah pada kemampuannya untuk menyatakan sebab di sebalik jawapan yang diberikan, berbanding terus memberikan respons tanpa disokong bukti.

Syarikat itu mendakwa prestasi model AI terbarunya, R1, setanding dengan model terbaru OpenAI.

DeepSeek juga telah mengeluarkan lesen kepada individu yang berminat untuk membangunkan chatbot menggunakan teknologi tersebut.

Kelebihan R1 DeepSeek

Walaupun tidak diperincikan sepenuhnya oleh syarikat, pembangunan model DeepSeek dianggarkan tidak memakan belanja sebesar produk OpenAI atau Meta Platforms.

Kecekapan model itu turut menimbulkan tanda tanya tentang keperluan syarikat berbelanja besar untuk memperoleh pemecut AI paling canggih seperti yang ditawarkan oleh Nvidia.

Perhatian kian meningkat susulan langkah Amerika melarang eksport teknologi semikonduktor canggih ke China, dengan tujuan menyekat kemajuan seperti yang telah dicapai DeepSeek.

Menurut DeepSeek, prestasi R1 setara atau lebih baik daripada model pesaing dalam beberapa penanda aras utama seperti AIME 2024 untuk tugasan matematik, MMLU untuk pengetahuan am dan AlpacaEval 2.0 untuk prestasi soal jawab.

Ia juga tersenarai sebagai antara chatbot yang terbaik dalam carta kedudukan kendalian UC Berkeley, Chatbot Arena.

Implikasi kepada pasaran AI global

Kejayaan DeepSeek mungkin mendorong OpenAI dan pembangun AI Amerika lain untuk menurunkan harga bagi mengekalkan kedudukan mereka.

Jika model yang lebih cekap seperti DeepSeek hanya memerlukan perbelanjaan jauh lebih rendah untuk pembangunan AI, ia menimbulkan persoalan sama ada perbelanjaan besar oleh Meta dan Microsoft, masing-masing bernilai AS$65 bilion ($87.7 bilion) pada 2025, berbaloi.

Persoalan tersebut telah menggoncang pasaran saham global apabila pelabur menjual saham mereka dalam syarikat seperti Nvidia dan ASML Holding yang meraih manfaat daripada permintaan tinggi untuk perkhidmatan AI. 

Pada masa yang sama, saham syarikat China yang berkaitan dengan DeepSeek, seperti Iflytek, mencatat kenaikan nilai pasaran.

Pembangun di seluruh dunia kini sedang bereksperimentasi dengan perisian DeepSeek dan mencari peluang untuk membangunkan alat lain menggunakan teknologi tersebut.

Ini boleh mempercepatkan pembangunan model pemikiran AI lanjutan, yang mungkin mencetuskan kebimbangan mengenai kawalan undang-undang terhadap penggunaannya. 

Kekurangan DeepSeek

Serupa dengan model AI China lain, DeepSeek menyekat kandungan yang dianggap sensitif di China seperti Tiananmen Square, Taiwan dan pemimpin China. 

Infrastruktur awan DeepSeek juga telah mengalami masalah yang besar pada 27 Januari dan mungkin bakal menghadapi kesukaran untuk menangani jumlah pengguna yang semakin meningkat seiring dengan tahap popularitinya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg