Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenali pemilik Simba, syarikat yang beli M1

Aug 11, 2025 | 5:44 PM
Simba akan memperoleh M1 daripada Keppel dalam satu urus niaga bernilai $1.43 bilion.
Simba akan memperoleh M1 daripada Keppel dalam satu urus niaga bernilai $1.43 bilion. - Foto ST

Keppel akan menjual perniagaan telekomunikasi anak syarikatnya, M1, kepada pesaingnya, Simba Telecom, dengan nilai $1.43 bilion.

Jualan itu telah lama dijangka oleh pengamat pasaran, namun spekulasi lebih tertumpu kepada StarHub sebagai pembeli berbanding Simba, lapor The Straits Times (ST).

Menurut Keppel, penjualan M1 kepada Simba dijangka mencipta lebih banyak aliran pendapatan dan peluang kerjaya.

Berikut adalah keterangan mengenai siapa itu Simba, penyedia perkhidmatan telekomunikasi keempat di Singapura, dan impak penjualan itu bagi pengguna.

Siapa Simba?

Simba, yang sebelum ini dikenali sebagai TPG Singapore, menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi keempat di Singapura pada 2016 selepas memenangi lelongan gelombang udara yang dianjurkan oleh Penguasa Pembangunan Infokom (IDA), kini dikenali sebagai Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Simba dimiliki oleh syarikat yang disenaraikan di Australia, Tuas, yang ditubuhkan pada Mac 2020 sebagai sebahagian daripada Kumpulan TPG Australia. 

Selepas penggabungan TPG Australia dan Vodafone Hutchison Australia pada Jun 2020, perniagaan mudah alih Singapura dipisahkan daripada Kumpulan TPG dan semua sahamnya dipindahkan ke Tuas.

Pada 2022, Simba menukar jenamanya setelah hak penggunaan jenama TPG tamat.

Simba hanya beroperasi di Singapura dan meluangkan beberapa tahun untuk melancarkan rangkaian mudah alih dan jalur lebar tetapnya, serta memulakan perkhidmatan komersial pada 2020.

Produk pertama mereka adalah pelan SIM sahaja yang menawarkan 50 gigabait (GB) data dengan harga $10 sebulan – paling murah di pasaran.

Bilionair Australia, Encik David Teoh, adalah pengerusi eksekutif Tuas dan pengerusi Simba.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) Simba adalah Encik Richard Tan yang berpangkalan di Singapura.

Apa yang buat Simba terkenal?

Simba terkenal dengan pelan mudah alih yang berpatutan dan murah, bermula pada harga $5 sebulan untuk 400GB data bagi warga emas.

Pelan 5G mereka merangkumi 400GB hingga 700GB, menawarkan sambungan lancar di destinasi serantau. 

Pelan asas untuk dewasa, SuperRoam10, menawarkan 400GB data untuk Singapura, Malaysia, Indonesia, dan Hong Kong pada harga $10 sebulan.

Berapa ramai pelanggan Simba di Singapura?

Simba mempunyai lebih satu juta pelanggan mudah alih pada Disember 2024 dan merupakan penyedia perkhidmatan telekomunikasi keempat terbesar di Singapura.

Singtel menguasai separuh daripada jumlah pelanggan mudah alih di Singapura dengan 4.5 juta pelanggan, manakala StarHub dan M1 masing-masing mempunyai sekitar dua juta pelanggan.

Impak pengambilalihan M1 oleh Simba kepada pelanggan

Menurut Keppel, transaksi itu dijangka memberi manfaat kepada pengguna melalui penyatuan pasaran dan memanfaatkan sinergi antara kedua-dua syarikat telekomunikasi.

“Transaksi yang dicadangkan menawarkan laluan strategik untuk pertumbuhan mampan bagi sektor telekomunikasi Singapura,” kata CEO Keppel, Encik Loh Chin Hua.

“M1 dan Simba adalah gabungan yang sangat baik. Bersama, mereka boleh berkembang dengan lebih cekap, memperbaiki infrastruktur, dan mempercepatkan pelaburan dalam 5G serta teknologi digital, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan menyumbang kepada industri telekomunikasi yang lebih tahan lasak dan siap menghadapi masa depan,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg