Lebih banyak syarikat telekomunikasi tempatan kini menawarkan pelan mudah alih tanpa sempadan pada harga terendah untuk menarik minat pengguna yang kerap mengembara.
Pelan seperti ini membolehkan pengguna menggunakan data mudah alih dalam jumlah yang banyak merentasi negara tanpa bayaran tambahan atau mengaktifkan e-SIM pelancongan atau ciri perayauan, atau roaming.
Syarikat terbaru menyertai trend ini ialah M1, dengan pelan Maxx yang menawarkan 290 gigabait (GB) data untuk digunakan di Singapura dan Malaysia pada harga serendah $7.90 sebulan.
Pelan ini juga merangkumi 10GB data untuk digunakan di Indonesia, Bangladesh, Malaysia, Thailand dan Taiwan.
Ini menyusuli pelancaran pelan SuperRoam 10 oleh Simba Telecom pada Januari, yang menawarkan 300GB data 5G untuk digunakan di Singapura, Malaysia dan Hong Kong dengan bayaran $10 sebulan.
Ia turut merangkumi 12GB data perayauan untuk tujuh destinasi lain di Asia.
Syarikat telko Circles Life memulakan trend tanpa sempadan ini di Singapura pada September 2023, apabila syarikat itu membenarkan pelanggan menggunakan 100GB data merentasi lapan destinasi Asia (Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Taiwan, Hong Kong, Sri Lanka dan Bangladesh).
Pelan ini berharga $30 untuk tiga bulan pertama dan $37 selepas itu.
Encik Fabian Sossa, naib presiden pemasaran korporat dan global di Circles Life berkata: “Pelan ini direka khas untuk golongan karyawan, pengembara digital, pelajar, pelancong dan keluarga yang mempunyai hubungan rentas negara... ringkasnya, sesiapa sahaja yang perlukan sambungan di beberapa negara tanpa gangguan.”
Sejak itu, syarikat telko lain turut mengikuti langkah yang sama.
Kebanyakan pelan ini kini merangkumi sambungan di Malaysia dan beberapa lagi termasuk destinasi popular Asia seperti Indonesia, Thailand, Taiwan dan Hong Kong.
Peningkatan perjalanan rentas sempadan selepas pandemik Covid-19 menjadi pemangkin utama bagi pelan tanpa sempadan ini.
Sebagai contoh, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), jumlah purata harian pelawat di Pusat Pemeriksaan Woodlands adalah 327,000 pada 2024 – peningkatan 22 peratus berbanding 269,000 pada 2023.
Pada 2024, Indonesia menerima 1.4 juta pelawat dari Singapura, manakala Singapura menerima 2.49 juta pelawat dari Indonesia.
Singapura merupakan antara lima negara penyumbang pelawat terbesar ke Indonesia, manakala Indonesia ialah sumber kedua terbesar pelawat ke Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg