Bank-bank di sini mesti menyekat atau menahan selama 24 jam urus niaga mencurigakan yang melibatkan lebih $25,000.
Langkah ini mesti menjadi sebahagian daripada pengawasan penipuan masa nyata bank untuk mengurangkan dengan ketara kes pelanggan yang mempunyai sejumlah besar wang yang cepat habis daripada akaun tanpa pengetahuan mereka.
Ini diumumkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 24 Oktober.
Akaun dianggap cepat habis jika lebih separuh daripada baki sekurang-kurangnya $50,000 dipindahkan keluar secara kumulatif selama sehari lapor The Straits Times.
Ia adalah antara langkah yang baru diumumkan untuk menentang penipuan pancingan data yang boleh menjejas keyakinan terhadap sistem perbankan dan pembayaran digital Singapura.
Ini dinyatakan di bawah Rangka Kerja Tanggungjawab Bersama (SRF) yang dimuktamadkan bagi penipuan pancingan data, yang diumumkan pada 24 Oktober.
Dalam satu kenyataan media bersama pada 24 Oktober, MAS dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) berkata SRF yang diterbitkan bagi perundingan pada 25 Oktober 2023, akan dilaksanakan pada 16 Disember.
SRF melengkapkan langkah sedia ada yang telah dibuat untuk menentang penipuan.
Sebagai contoh, bank runcit utama mengehadkan akses kepada aplikasi mereka jika pelanggan telah memuat turun aplikasi daripada sumber yang tidak boleh dipercayai atau aplikasi yang berisiko, untuk mengatasi penipuan berkaitan perisian hasad.
Bank mempunyai enam bulan dari 16 Disember, tarikh SRF bermula, untuk melaksanakan langkah baru ini.
SRF yang dimuktamadkan mentadbir cara institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi mungkin perlu berkongsi dalam membayar pampasan kepada mangsa kerugian mereka berikutan penipuan pancingan data tertentu jika institusi ini gagal melaksanakan tugas mereka.
Ia bertujuan menjimatkan kerumitan pengguna apabila mereka mencari bayaran balik.
Pada masa ini, tanggungjawab berada di bahu pengguna untuk memberikan bukti bahawa kerugian itu bukan disebabkan kecuaian mereka sendiri.
Secara keseluruhannya, bank perlu memenuhi lima tugas utama, dan syarikat telekomunikasi tiga tugas utama, di bawah SRF.
Jika institusi ini melakukan apa yang perlu di bawah rangka kerja, pelanggan akan menanggung kerugian sepenuhnya.
Rangka kerja itu, yang pertama kali dicadangkan pada 2023, menetapkan tanggungjawab institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi untuk mencegah penipuan pancingan data dan menyediakan jalan penyelesaian yang munasabah untuk mangsa penipuan.
Daripada 72 maklum balas yang diterima dalam rundingan awam oleh MAS dan IMDA, kira-kira separuh daripadanya adalah daripada orang awam, dan selebihnya daripada syarikat telekomunikasi dan institusi kewangan.
“Secara keseluruhannya, responden mengalu-alukan Rangka Kerja Tanggungjawab Bersama dan menyokong usaha melindungi pengguna dengan lebih baik,” kata MAS dan IMDA.
Pengarah Persatuan Bank di Singapura, Cik Ong-Ang Ai Boon dalam satu kenyataan media pada 24 Oktober berkata sepanjang dua tahun lalu, industri perbankan telah melaksanakan satu siri langkah dan perluasan anti-penipuan bagi melindungi pelanggan, seperti alat pengesanan anti pengisian hasad dan ciri-ciri mengunci wang.
Ini sedang langkah pendidikan dan perhubungan dipertingkat bagi kesedaran orang ramai mengenai jenis penipuan baru dan tindakan yang patut diambil pelanggan bagi melindungi diri mereka, kata beliau.
Syarikat telekomunikasi M1, Singtel, StarHub dan SIMBA dalam satu kenyataan bersama berkata mereka kekal komited bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk melaksanakan langkah pencegahan yang berkesan terhadap taktik penipuan yang baru dan berkembang bagi melindungi pelanggan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg