Singapura menyaksikan peningkatan 6.1 peratus dalam isi padu kontena yang dikendalikan dalam tempoh empat bulan pertama 2025 berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Ini meskipun terdapat gangguan kepada rantaian bekalan ekoran tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.
Dari Januari hingga April, Singapura mengendalikan 14.18 juta kontena perkapalan meskipun berdepan dengan ketidaktentuan sejagat dan perubahan dalam rantaian bekalan, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
“Jumlah kontena kekal kukuh walaupun keadaan tidak menentu di seluruh dunia. Saya harap ini adalah sesuatu yang boleh diteruskan. Kami memantaunya dengan teliti.
“Selain operasi pelabuhan, jika anda melihat sektor kelautan Singapura secara keseluruhan, ia juga telah mencapai prestasi yang baik, dan saya fikir perkara itu agak memberangsangkan,” kata Encik Chee.
Bercakap kepada media selepas lawatannya ke Terminal Pasir Panjang PSA pada 16 Mei, Encik Chee berkata lebih banyak syarikat perkapalan seperti Ocean Network Express dan Berge Bulk ingin mengembangkan rangkaian mereka di Singapura.
Beberapa pertubuhan pensijilan kapal antarabangsa seperti Biro Perkapalan Amerika, Persatuan Klasifikasi China dan Pertubuhan Rina dari Italy turut bakal melabur lebih $20 juta dalam tempoh lima tahun akan datang untuk memberi tumpuan kepada bidang seperti keselamatan maritim dan pengelektrikan.
Pada 2024, pelabuhan Singapura mencatat rekod 3.11 bilion tan kasar dalam trafik kapal yang tiba, berbanding 3.09 bilion tan kasar pada 2023.
Pelabuhan itu juga mengendalikan 41.12 juta kontena perkapalan pada 2024, mengatasi rekod 2023 sebanyak 39.01 juta kontena.
Malahan, Pelabuhan Singapura juga merupakan pelabuhan kontena kedua tersibuk di dunia selepas Shanghai.
“Kami mahu bekerjasama rapat dengan syarikat yang ingin melakukan lebih banyak inovasi dan mengambil bahagian dalam beberapa ujian dan ‘sandbox’ (kawasan terpisah untuk ujian) kawal selia yang telah disediakan oleh Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA).
‘Saya rasa program yang telah kami lancarkan untuk menggalak syarikat teknologi marin adalah sesuatu yang kami harap dapat dikembangkan lagi,” kata Encik Chee.
Di Terminal Pasir Panjang PSA pada 16 Mei, Encik Chee turut diberi taklimat oleh pegawai PSA tentang bagaimana syarikat tersebut telah memasang semula trak besar atau ‘prime mover’ berkuasa diesel yang digunakan pada masa lalu, menjadi kenderaan kontena berautonomi yang tidak memerlukan pemandu untuk mengemudi di sekitar pelabuhan.
Daripada 1,400 trak besar berkuasa diesel yang dimilikinya, PSA telah memasang semula 30 kenderaan sedemikian untuk menjadi kenderaan elektrik berautonomi yang boleh diurus dan dipantau oleh kakitangan dari bilik kawalan.
PSA juga sedang mencuba dua kenderaan berautonomi baru untuk mengkaji keupayaannya sebelum membuat keputusan sama ada untuk mengembangkan kumpulan kenderaan itu.
“Tahun ini (2025), perairan pelabuhan di Singapura akan diliputi sepenuhnya oleh capaian 5G.
“Maka itu akan memberikan kami satu lagi rangsangan dari segi liputan capaian kami dalam perairan pelabuhan kami, yang boleh memudahkan operasi dron dan peningkatan keselamatan pengemudian (kapal),” tambah Encik Chee.
Memberi perkembangan terkini mengenai pembangunan Pelabuhan Tuas, Encik Chee berkata operasinya sedang berjalan lancar dengan 11 tempat himpitan kapal (‘berth’) yang sudah beroperasi, dan PSA bakal menambah satu lagi tempat himpitan kapal menjelang akhir 2025.
Empat lagi kemudahan itu akan ditambah pada 2026, manakala tambahan dua lagi akan dibuat menjelang 2027.
Secara keseluruhan, Pelabuhan Tuas akan mempunyai 66 tempat himpitan kapal apabila siap pada 2040-an.
Pelabuhan Tuas sedang dibangunkan dalam empat fasa dan akan menjadi pelabuhan automatik sepenuhnya yang terbesar di dunia apabila siap pada 2040-an.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg